MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
24/10/2011
Soalan Sila senaraikan secara terperinci laporan tindakan salah guna dadah bagi semua kategori di Negeri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2011 dan berapakah peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri kepada PEMADAM-PEMADAM Daerah mengikut daerah dari 2008 hingga 2011.
Dun -
Exco
Perkara Masalah Penagihan

Jawapan
4. Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merupakan antara agensi utama yang bertanggungjawab menangani masalah penyalahgunaan dadah di Negeri Pulau Pinang. Laporan bagi tangkapan kes-kes dadah oleh PDRM adalah seperti di Lampiran A.

AADK pula bertanggungjawab menangani penyalahgunaan dadah melalui tiga (3) teras perkhidmatannya iaitu Pencegahan, Pemulihan dan Penguatkuasaan.

(a) Pencegahan

Program pencegahan adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka yang belum terlibat dengan memberi tumpuan kepada kumpulan sasar utama pencegahan iaitu :

i. Keluarga;
ii. Institusi Pendidikan;
iii. Tempat Kerja; dan
iv. Komuniti.

Program-program pencegahan juga terus digiatkan dengan mengadakan program-program seperti Family on Alert, Let’s Talk About Health & Drugs, SHIELDS, Program Institusi Pendidikan Bebas Dadah, Program Tempat Kerja Bebas Dadah dan Program Komuniti Bebas Dadah.

(b) Pemulihan

Melalui program pemulihan, mereka yang terlibat dengan dadah dimasukkan ke dalam program-program rawatan dan pemulihan sama ada melalui perintah mahkamah atau secara sukarela.

Bermula pada tahun 2008, usaha-usaha telah dilaksanakan untuk menggerakkan masyarakat sivil supaya bangun bersama-sama memerangi dadah. Kebanyakan program-program pencegahan dan pemulihan yang dijalankan melibatkan masyarakat atau community base programme.

Pada tahun 2010 dan 2011, selaras dengan transformasi yang dilaksanakan oleh AADK, program-program pemulihan penagih dadah telah diberi keutamaan yang berteraskan open access services dengan mewujudkan Klinik Cure & Care 1Malaysia seperti yang terdapat di Bukit Mertajam. Selain daripada itu juga, Cure & Care Services Center (CCSC) juga telah diwujudkan di Kampung Selamat, Balik Pulau dan Teluk Bahang yang mana kesemuanya berteraskan konsep kesukarelaan.

Selain daripada itu, Rumah Komuniti (Caring Community House) diwujudkan bagi membolehkan komuniti setempat bersama-sama terlibat dalam usaha pencegahan dan pemulihan dadah. Sehingga kini terdapat dua buah rumah iaitu di Jalan Scotland, George Town dan di Pinang Tunggal. Dua buah lagi rumah komuniti sedang dalam perancangan untuk dibuka iaitu di Teluk Air Tawar dan Seberang Perai Selatan.


(c) Penguatkuasaan

Dari segi penguatkuasaan pula, AADK mengambil tindakan terhadap Orang Kena Pengawasan (OKP) yang tidak patuh kepada program pemulihan yang diperintahkan oleh mahkamah dan tindakan terhadap mereka yang tidak mahu mengikuti program rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Berkaitan dengan peruntukan, Kerajaan Negeri ada menyediakan sejumlah RM55,000.00 setahun kepada PEMADAM dari tahun 2008 sehingga 2011. Peruntukan ini disediakan di bawah Maksud Bekalan di bawah peruntukan Jawatankuasa MMK Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

Peruntukan ini digunakan PEMADAM Negeri untuk membiayai penyenggaraan dan urusan pentadbiran Kompleks Insaniah di Simpang Ampat (Outreach Centre) iaitu di bawah kelolaan PEMADAM Negeri. PEMADAM Negeri juga menggunakan peruntukan tersebut untuk membiayai program-program di mana pesertanya terdiri dari ahli-ahli PEMADAM Daerah di samping membiayai bayaran penginapan kepada ahli-ahli PEMADAM dari kelima-lima PEMADAM Daerah untuk menghadiri Kursus Anti Dadah tahunan yang dianjurkan oleh PEMADAM Kebangsaan.

Selain itu, PEMADAM Negeri juga menyalurkan bantuan dengan membiayai program anjuran PEMADAM Daerah-daerah berdasarkan core program yang dijalankan dan pembiayaan ini dibuat berdasarkan pemohonan dengan kadar maksimum RM1,500.00 bagi satu program. Namun begitu PEMADAM-PEMADAM Daerah juga menerima pembiayaan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti mereka daripada Ahli-ahli Yang Berhormat. Sebagai contoh pada tahun 2008 dan 2009, Y.B. Tuan Phee Boon Poh selaku Pengerusi PEMADAM Negeri telah memberi sumbangan RM5,000.00 dari peruntukan beliau kepada PEMADAM Seberang Perai Utara dan PEMADAM Daerah Barat Daya dalam menganjurkan program yang dijalankan.

Pada masa yang sama , kegagalan Kementeriam Dalam Negeri untuk membuat Pusat Tahanan Remand bermakna hampir semua penagih dadah yang ditahan terpaksa dilepaskan begitu sahaja. Adalah diharapkan satu Pusat Remand baru boleh dibina secepat mungkin.
Kembali