Jawapan
Kerajaan Negeri sememangnya mengutamakan keselamatan bangunan kerajaan khususnya di KOMTAR dan antara langkah- langkah keselamatan yang diambil ialah:-
(a) Mengadakan pemeriksaan menyeluruh bangunan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan kesemua sistem keselamatan kebakaran di bangunan KOMTAR sentiasa berfungsi dengan baik. Bangunan KOMTAR sendiri telah mempunyai sistem keselamatan kebakaran sejak pembinaannya lagi yang terbahagi kepada dua sistem utama iaitu Sistem Pasif dan Sistem Aktif. Sistem Pasif merujuk kepada struktur bangunan KOMTAR seperti tangga keselamatan dan ruang akses menentang kebakaran manakala, Sistem Aktif merujuk kepada sistem kebakaran yang dipasang pada bangunan KOMTAR seperti sprinkler system, wet riser system, break glass dan sistem bantu mula hose reel. Pihak Bomba juga telah menjadualkan pemeriksaan Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) secara berkala iaitu setahun sekali bagi memastikan kedua-dua sistem tersebut berada dalam keadaan baik dan boleh berfungsi ketika kecemasan. Pemeriksaan sistem berkenaan bagi tahun 2011 telah diadakan pada bulan Januari lalu;
(b) Mengadakan Latihan Simulasi Kebakaran dan Gempa Bumi bagi meningkatkan tahap keselamatan kebakaran. Selain memberikan tumpuan kepada sistem pasif dan aktif di KOMTAR, kesedaran penghuni bangunan tentang bahaya kebakaran perlu juga diterapkan. Justeru, Jabatan Bomba dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) dan syarikat pengurus bangunan iaitu PDC Setia Urus Sdn Bhd mengambil langkah untuk mengadakan latihan pengungsian bangunan (fire drill) bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran mengenai bahaya kebakaran di kalangan warga kerja bangunan KOMTAR. Tujuan latihan ini adalah untuk melatih warga kerja di bangunan KOMTAR supaya tahu tentang tindakan yang patut diambil sekiranya berlaku sesuatu kecemasan. Antara penekanan utama di dalam latihan fire drill ini adalah mengajar warga kerja di bangunan KOMTAR tentang jalan keluar yang paling selamat, tempat berkumpul, cara-cara menggunakan sistem keselamatan kebakaran seperti hose reel, alat pemadam api mudah alih serta mendedahkan warga kerja bangunan KOMTAR tentang bahaya kebakaran (fire hazard) yang terdapat di dalam bangunan KOMTAR tersebut. Mereka akan didedahkan dengan tatacara mengosongkan bangunan secara teratur dan laluan-laluan yang perlu digunakan serta lokasi berkumpul;
(c) Melantik Pegawai Keselamatan Tingkat bagi setiap tingkat di KOMTAR untuk bertindak sebagai pegawai yang menyalurkan maklumat kepada anggota di pentadbiran masing-masing sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan. Lantikan ini pula sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa sekiranya pegawai berkenaan bertukar jabatan, berhenti dan sebagainya;
(d) Menghantar Pegawai Keselamatan Tingkat menghadiri latihan mencegah kebakaran dengan pendedahan mengenai alat-alat memadam api serta cara-cara hendak memadamkan api dengan betul. Latihan ini dijalankan dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; dan
(e) Memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan keselamatan bangunan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). PDC melalui PDC Setia Urus Sdn Bhd turut menambah baik tahap keselamatan dengan memasang pintu keselamatan di Paras 2 dan menambah bilangan CCTV di lokasi-lokasi strategik di KOMTAR. PSUK juga memasang dan menaik taraf sejumlah CCTV sokongan di laluan VIP Paras 2 dan kawasan kaunter pelanggan di Paras 3 KOMTAR pada tahun 2011. Pemasangan CCTV oleh PDC Setia Urus Sdn Bhd dan PSUK bukan sahaja dapat merakam sebarang pergerakan pihak- pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengancam keselamatan warga kerja dan pejabat di KOMTAR tetapi juga ancaman lain seperti kebakaran.
Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di bangunan KOMTAR, PDC Setia Urus Sdn Bhd telah menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM20,000.00 untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem kebakaran di KOMTAR dan sedang menyediakan kajian lanjut berkenaan kerja-kerja menaik taraf sistem pencegahan kebakaran di KOMTAR.