Jawapan
10. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan tanah seluas lebih 100 ekar di Penang Science Park, Bukit Minyak untuk dibangunkan sebagai Taman Perindustrian Halal yang pertama di Pulau Pinang. Sejumlah 60.95 ekar daripada keseluruhan tanah (100 ekar) telah siap untuk dipelawa kepada pelabur manakala kawasan selebihnya iaitu seluas 40.5 ekar dijangka siap pada suku keempat tahun 2013.
Sehingga tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM345 juta dengan menempatkan lima (5) buah syarikat melalui enam (6) perjanjian jual beli tanah (S&P) dalam industri pemprosesan makanan sejuk-beku berasaskan bioteknologi marin, industri pembuatan dan pemprosesan ekstrak herba, bahan aditif, produk bakeri, syarikat pemprosesan makanan dan minuman bertin dan industri pemprosesan produk makanan berasaskan soya. Kelima-lima buah syarikat ini telah menandatangani perjanjian jual beli tanah (S&P) dan telah membuat pembayaran pertama iaitu 20% daripada jumlah pembelian pada April 2011. Senarai nama pelabur-pelabur dan jumlah pelaburan di TPHPP adalah seperti di Lampiran 1.
Pencapaian terkini untuk Kerajaan Negeri ialah Halal Penang telah menerima sembilan (9) permohonan baru tanah industri di TPHPP. Kejayaan ini telah menunjukkan keberkesanan promosi dan usaha Kerajaan Negeri yang agresif dalam membangunkan industri Halal melalui penyertaan di pameran perdagangan dan melalui pendekatan ‘outreach’ secara berterusan. Permohonan yang telah diterima adalah daripada industri Halal yang menjalankan aktiviti pemprosesan produk kekacang, pemprosesan produk kopi, pemprosesan produk coklat, pemprosesan produk berasaskan soya, pemprosesan ekstrak herba, pemprosesan makanan siap (ready-to-serve food) dan pemprosesan gelatin Halal. Keseluruhan permohonan ini berjumlah 45.7 ekar tanah dengan nilai pelaburan sebanyak RM248.08 juta.
Senarai permohonan tanah industri baru yang sedang diproses untuk ditempatkan di TPHPP adalah seperti di Lampiran 2. Namun begitu, permohonan baru tidak dapat menampung permintaan pelabur kerana baki tanah yang sedia ada (readily available land) hanya 15.1 ekar tanah sahaja. Maka, Halal Penang akan memohon 100 ekar tanah lagi dari Kerajaan Negeri untuk dibangunkan sebagai Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang.