MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
24/10/2011
Soalan Apakah tindakan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Polis DiRaja Malaysia dalam mengatasi gejala kedai siber kafe yang semakin berleluasa. Bagaimana pihak berkuasa mengawal judi haram dalam siber kafe?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
23. Di antara usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasi gejala siber kafe yang semakin berleluasa ialah dengan melesenkan premis serta menguatkuasakan syarat-syarat pelesenan. Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi pengusaha pusat siber berlesen yang didapati menjalankan aktiviti perjudian (jika ada). Sehingga kini, MPPP dan MPSP melesenkan premis siber kafe baru sejak ia dibenarkan semula mulai 1 Januari 2011 selepas dibekukan sejak tahun 2004. Selain itu, tindakan kompaun harian turut dikeluarkan secara berperingkat kepada pengusaha yang menjalankan aktiviti –aktiviti siber kafe tanpa lesen.

Selain dari usaha pembanterasan yang dijalankan Kerajaan Negeri dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri turut mendapatkan bantuan dan kerjasama pihak Polis bagi membuat pemeriksaan dan serbuan di pusat cyber café yang disyaki menjalankan aktiviti mesin perjudian. Dalam tempoh Januari sehingga September 2011, sebanyak 2,068 serbuan telah dijalankan, di mana berjaya menangkap seramai 727 orang, terdiri daripada penjaga-penjaga premis dan pemain-pemain terlibat dalam aktiviti perjudian, serta merampas sejumlah 7,460 komputer dengan perisian perjudian. Kebanyakan kes-kes perjudian komputer disiasat di bawah Sekyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953/Pindaan 2001 dan juga di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 kerana tidak mempunyai sebarang lesen hiburan.

Seterusnya tindakan-tindakan pro-aktif oleh pihak Polis bagi memerangi gejala ini adalah seperti berikut :

(a) Pengumpulan maklumat risikan, perancangan & pelaksanaan operasi.

Maklumat yang diterima akan disiasat bagi mengesahkan kesahihan dan seterusnya akan diambil tindakan sekiranya berasas dengan menjalankan tindakan serbuan berlandaskan undang-undang. Kesemua mereka yang dijumpai dalam aktiviti perjudian akan ditangkap dan kesemua komputer yang digunakan dalam aktiviti perjudian akan dirampas bagi memastikan kegiatan perjudian tidak berterusan dalam premis tersebut.

(b) Penyiasatan & pengumpulan keterangan untuk tujuan pendakwaan.

Bagi tujuan penyiasatan kesemua tangkapan selalunya di reman di bawah Seksyen 117 KPJ bagi membantu siasatan, bagi melengkapkan siasatan bagi tujuan pertuduhan mahkamah dan juga untuk mengenal pasti penganjur dan juga sindiket yang terlibat bagi tindakan di bawah undang-undang pencegahan. Tangkapan dituduh di bawah Seksyen 4B(a) ARJT 1953 dan Sek. 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998. Semasa pertuduhan di mahkamah, cadangan juga dibuat bagi untuk melupuskan kesemua exibit yang dirampas, supaya exibit yang dirampas tidak digunakan semula dalam aktiviti perjudian.
 
Kembali