Jawapan
4. Sehingga April 2011, Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) telah menerima enam (6) pelaburan dari lima (5) buah syarikat yang terdiri daripada industri pemprosesan makanan laut sejuk beku, pemprosesan produk bakeri, ekstrak herba, penambah perisa makanan, produk makanan dan minuman bertin dan produk berasaskan soya dengan nilai pelaburan berjumlah RM345 juta. Syarikat-syarikat tersebut telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) tanah dan telah membuat pembayaran pendahuluan sebanyak 20% berjumlah RM3.299 juta. Manakala syarikat Jeenhuat Foodstuffs Industries Sdn. Bhd (JEFI) iaitu syarikat pertama yang melabur telah membuat pembayaran sepenuhnya berjumlah RM7 juta. Sehingga kini, Halal Penang telah menerima sembilan (9) lagi permohonan tanah perindustrian oleh syarikat yang terlibat dalam pemprosesan produk kekacang, kopi, coklat, soya, ekstrak herba, makanan siap (ready to serve food) dan gelatine Halal yang memohon 45.7 ekar tanah dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM248.08 juta. Senarai syarikat-syarikat yang telah melabur di TPHPP adalah seperti di Lampiran 1.
(a) Sejumlah lima (5) buah syarikat yang telah menandatangani perjanjian jual beli tanah (S&P) hanya boleh memulakan pembinaan kilang di TPHPP apabila menjelaskan 50% bayaran jual beli tanah. Mengikut rekod, semua syarikat tersebut telah mengikut tempoh yang telah dijanjikan dan sehingga kini, syarikat Jeenhuat Foodstuffs Industries Sdn. Bhd. iaitu syarikat pertama yang melabur di TPHPP telah membuat pembayaran sepenuhnya berjumlah RM7 juta dan telah memulakan pembinaan kilang.
Manakala empat (4) syarikat yang lain setakat ini telah menjelaskan pembayaran pertama (20%) berjumlah RM3.299 juta dan sedang dalam proses perancangan pembinaan kilang. Kelima-lima syarikat tersebut hanya akan dibenarkan memulakan pembinaan kilang apabila telah memenuhi syarat pembayaran 50% bayaran jual beli tanah.
(b) Apabila pembinaan kilang telah siap, kelima-lima syarikat yang telah melabur di TPHPP akan menghasilkan produk Halal yang berkualiti tinggi seperti yang tersenarai di Lampiran 2.
(c) Untuk memastikan produk yang dihasilkan mematuhi syarat halal, syarikat-syarikat tersebut diwajibkan untuk memohonpersijilan Halal Malaysia dan Bahagian Pensijilan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) akan mengaudit kilang pemprosesan makanan syarikat-syarikat tersebut bagi memastikan syarat-syarat yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya.