MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
24/10/2011
Soalan Kawasan Persiaran Gurney semakin kotor kebelakangan ini terutamanya akibat masalah lumpur yang semakin serius. Laporan telah diminta daripada Jabatan Alam Sekitar sejak bulan Ogos tetapi tiada sebarang maklum balas. Adakah kerja penyelidikan dijalankan terhadap masalah tersebut? Jika ya, sila kemukakan laporan tersebut. Berapa lamakah yang diperlukan oleh pihak DOE untuk menjalankan penyelidikan tersebut?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah yang serius terhadap masalah mendapan lumpur di Persiaran Gurney. Salah satunya adalah Program Kajian Pelan Pengurusan Persisiran Pantai Bersepadu atau Integrated Shoreline Management Plan (ISMP) yang telah pun siap pada bulan Ogos 2010. Kajian ini merangkumi kerja-kerja pengambilan sampel air laut di beberapa lokasi tercemar termasuklah di Persisiran Gurney.

ISMP menyediakan garis panduan pembangunan dan cadangan-cadangan terbaik kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak-pihak yang terlibat dalam perancangan projek-projek serta pembangunan bukan sahaja di Persiaran Gurney malah di seluruh kawasan zon pantai Negeri Pulau Pinang.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah untuk menebus guna tanah di sekitar Persiaran Gurney. Apabila kawasan pemendapan ini telah diambil alih oleh tanah yang ditebus guna, maka masalah pemendapan lumpur tidak akan berlaku lagi di Kawasan Persiaran Gurney.
Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum menerima apa-apa permohonan rasmi untuk cadangan tebus guna tanah di kawasan Persiaran Gurney. Manakala Projek tebus guna kawasan Gurney Drive yang merupakan sebahagian daripada konsesi pembangunan Lebuh Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR), hanya akan dilaksanakan selepas pembangunan PORR diluluskan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah mempraktikkan kaedah penggunaan Effective Microorganism (EM) Mudball sebagai tindakan jangka pendek untuk mengurangkan kandungan pencemaran air laut di sekitar persisiran pantai.

Kerajaan Negeri telah merangka satu projek Pemulihan Pantai Pelancongan dan ini termasuklah kawasan di sekitar Gurney. Ia masih dalam proses permohonan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10). Projek ini merangkumi cadangan awal pembinaan prasarana menghalang mendapan dari terus masuk ke kawasan persisiran Gurney dan menggalakkan perjalanan arus dan pasir ke tepian pantai.
Kembali