Jawapan
7. Pusat Pertanian Relau adalah diselenggarakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan sebarang kegunaan atau pembangunan perlu mendapat kelulusan pihak Kementerian. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian telah merangka Pelan Pembangunan Pusat Pertanian Relau Sebagai Pusat Agro Pelancongan Relau Tahun 2011-2015.
Pusat Pertanian Relau telah ditukarkan secara rasmi kepada Pusat Agro Pelancongan Relau pada tahun 2011. Penjenamaan semula Pusat ini adalah signifikan dengan fungsi dan misi Pusat sebagai pusat teknologi pertanian dan pusat agro pelancongan di mana kemudahan yang disediakan boleh digunakan secara optimum oleh orang awam sama ada untuk pertanian, pelancongan atau rekreasi.
Pusat Agro Pelancongan Relau mempunyai kedudukan yang strategik iaitu terletak 20 km dari pusat Bandar George Town dan berhampiran dengan kawasan Paya Terubong di bahagian utara dan Bayan Baru di bahagian selatan. Pusat Agro Pelancongan Relau mempunyai keluasan 24.90 ha dan terbahagi kepada:
Kawasan buah-buahan
17.50 ha
Kawasan bunga-bungaan dan landskap
1.90 ha
Tapak semaian
1.90 ha
Tanaman herba
0.10 ha
Kolam rekreasi
1.80 ha
Bangunan & Jalan
1.70 ha
JUMLAH
24.90 ha (65 Ekar)
Selain itu, Pusat ini dapatkan dihubungkan dengan sistem perhubungan dan pengangkutan awam yang efisien dan di sekitar lokasinya merupakan kawasan pembangunan yang aktif. Selain daripada kawasan yang strategik, topografinya yang berbukit dan tanah yang subur menjadikan tapak Pusat yang sedia ada sangat signifikan dengan fungsinya pada masa kini.
Pusat Agro Pelancongan Relau mempunyai topografi semula jadi yang sesuai untuk aktiviti rekreasi dan pelancongan. Usaha pihak Kerajaan Negeri menaik taraf dan menambah baik kemudahan sedia ada menjadikan Pusat ini sebagai lokasi yang ideal untuk pelbagai aktiviti riadah. Ini ditambah pula dengan lokasinya yang strategik berhampiran dengan kawasan perumahan mampu menjadi kawasan tumpuan pengunjung setempat disamping sebagai green lung bagi kawasan pembangunan sedia ada. Antara kemudahan yang telah dibangunkan adalah kolam rekreasi, laluan pejalan kaki dan gazebo untuk kegunaan pelawat.
Pusat Promosi dan Jualan juga telah dibangunkan bagi mempromosi pelbagai produk industri asas tani untuk dijadikan buah tangan untuk pelawat yang datang ke sini. Pusat ini juga dilengkapi kemudahan untuk penganjuran pelbagai program dan acara seperti Pusat Informasi pelbagai guna dan tapak di sekitar Pusat. Selain itu, terdapat pelbagai koleksi pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, mangga, pitaya, dan pokok nadir yang boleh dikomersilkan sebagai produk agro pelancongan. Koleksi pokok-pokok yang telah dibangunkan juga adalah untuk tujuan pembelajaran dalam bentuk muzium tanaman memandangkan sebahagian daripada variati yang ditanam semakin pupus.
Pusat Agro Pelancongan Relau pada awal penubuhannya adalah untuk mempamerkan pelbagai pakej teknologi pertanian kepada orang awam dan sebagai pusat rujukan kepada para petani dan usahawan. Pakej-pakej teknologi pertanian masih lagi diaplikasikan namun demikian elemen komersil telah ditambah seiring dengan penjenamaan semula Pusat ini. Antara projek yang dibangunkan untuk tujuan ini ialah Zon Pemprosesan Makanan (ZPM) dan Pusat Promosi dan Jualan, Program Inkubator dan pembangunan petak demonstrasi.
Terdapat tiga (3) lot pemprosesan yang ditawarkan kepada peserta di bawah bimbingan pihak Jabatan Pertanian Negeri. Produk yang diproses adalah karipap sejuk beku, hasilan kelapa dan jus pala. Jabatan Pertanian Negeri memberi sokongan dari segi insentif peralatan, khidmat nasihat, latihan dan ruang pemprosesan untuk produk.
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri telah membantu dan memberi khidmat nasihat serta insentif kepada peserta bagi penternakan kambing, akuakultur, nurseri tanaman hiasan, cendawan, tanaman organik dan fertigasi melalui program inkubator. Sehingga kini sebanyak sembilan (9) peserta inkubator telah dibimbing melalui program ini. Peserta-peserta dibimbing ke arah Good Agriculture Practice (GAP) dan Good Animal Husbandry Practice (GAHP) supaya kualiti produk dapat dikawal disamping dapat menjamin pasaran semasa.
Pihak Jabatan Pertanian Negeri memberi sokongan dari segi insentif peralatan, input, khidmat nasihat, latihan dan tapak untuk memulakan perusahaan. Projek yang dibangunkan di bawah Program Inkubator bukan sahaja memberikan hasil kepada peserta malahan dapat membantu Pusat Agro Pelancongan Relau menambahkan aktiviti hiliran lain yang bercorak pendidikan misalnya farm tour.
Terdapat lapan (8) lot di Pusat Promosi dan Jualan dan telah mula beroperasi pada bulan Mac 2012. Tujuan pembangunan Pusat Promosi ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan IAT atau tani untuk mempromosikan produk masing-masing secara terus.
Pusat Agro Pelancongan Relau diliputi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan dan tanaman-tanaman lain yang ditanam untuk tujuan konservasi dan sebagai tanaman untuk petak demonstrasi bagi mempromosikan pakej teknologi pertanian kepada para petani dan orang awam.
Terdapat 48 klon buah durian yang telah ditanam yang terdiri daripada 352 pokok kesemuanya. Dusun durian tersebut terletak di kawasan seluas 12 ha di Pusat berkenaan. Selain daripada untuk tujuan jualan segar, pihak jabatan juga bercadang untuk menggunakan dan menjadikan dusun durian ini sebagai produk agro pelancongan Pusat ini.
Terdapat juga 19 klon rambutan, pokok-pokok buah nadir, mangga, pitaya dan belimbing yang ditanam untuk pembelajaran kepada orang awam. Umum sedia ada maklum, Negeri Pulau Pinang mempunyai keluasan tanah yang terhad. Di sinilah fungsi Pusat dilihat amat relevan untuk menjadi hub kepada semua tanaman yang tidak dapat lagi diperolehi di luar.
Disamping itu, makmal kultur tisu yang terdapat di sini dijadikan tempat bagi menyediakan anak-anak benih orkid. Sebahagian anak-anak benih orkid ditanam di tapak semaian orkid dan sebahagian dijual kepada pelawat yang berminat. Objektif utama pembangunan makmal ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai kultur tisu kepada pelawat.
Pusat Agro Pelancongan Relau telah dilengkapi dengan kemudahan untuk penganjuran latihan seperti asrama, bilik kuliah, dewan makan dan surau untuk kegunaan mana-mana agensi yang berminat untuk menggunakan ameniti ini. Oleh kerana Pusat Agro Pelancongan Relau
telah dibangunkan dengan pelbagai projek dan program termasuk petak demonstrasi, Pusat ini sesuai untuk dijadikan lokasi untuk latihan hands-on sama sama ada untuk pegawai atau orang awam.
Pada tahun 2012 dan 2013 beberapa kerja menaik taraf dicadangkan bagi menambahkan keselesaan dan kemudahan kepada stakeholders. Antaranya ialah menambahkan ruang tempat letak kenderaan, menaik taraf pintu masuk kedua (entrance facelift) dan menyediakan dataran pelbagai guna untuk kemudahan semasa penganjuran program.
Pada tahun ini juga telah diadakan Hari Terbuka Pusat Agro Pelancongan Relau bagi mempromosikan Pusat ini sebagai tempat kunjungan awam dan sebagai tempat penganjuran aktiviti. Seperti yang sedia maklum, kawasan sekitar terdiri daripada kawasan perumahan dan komersil yang padat. Sehubungan itu, kawasan seperti di Pusat ini amat sesuai untuk dijadikan tempat bagi penganjuran pelbagai aktiviti dan program sama ada program komuniti atau rasmi Memandangkan lokasinya yang strategik dan telah dilengkapi dengan kemudahan asas yang baik.
Kerajaan Negeri telah membangunkan pelbagai kemudahan di kawasan Pusat Agro Pelancongan Relau dengan amaun peruntukan yang besar telah digunakan supaya kawasan ini dapat digunakan secara optimum.
Pembangunan di kawasan Pusat Agro Pelancongan Relau perlu mengambil kira stakeholders yang sedia ada seperti peserta inkubator, ZPM dan Pusat Promosi dan Jualan yang masih memerlukan sokongan dan bantuan dari pihak Jabatan.
Pusat Agro Pelancongan Relau boleh digunapakai untuk pelbagai aktiviti sama ada untuk majlis rasmi kerajaan atau persendirian, latihan dan sebagainya memandangkan kawasan yang terhad untuk penganjuran program di bahagian pulau.
Pusat Agro Pelancongan Relau juga berpotensi dimajukan sebagai destinasi pelancongan yang berkonsepkan pertanian dan ditambah dengan elemen pendidikan dan teknologi hijau.