Jawapan
Y.B. DATO MANSOR BIN HAJI OTHMAN
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
3. Pihak UDA telah membentangkan konsep Cadangan Kawasan/Galeri Warisan bagi projek pembangunan semula Kampung Tanjung Tokong di dalam Mesyuarat Exco pada 8 Februari 2012 dan secara dasarnya telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri. Konsep Kawasan/Galeri Warisan yang dicadangkan mengabungkan tapak Galeri Warisan, tapak cadangan pasar awam dan juga cadangan pembinaan rumah kedai dua tingkat yang akan menggunakan elemen dan ciri-ciri heritage.
Galeri Warisan yang dicadangkan akan memaparkan sejarah awal pengujudan Kampung Tanjung Tokong serta diikuti dengan perkembangan pembangunan di kawasan berkenaan sejajar dengan pembangunan di sekeliling kampung Tanjung Tokong. Turut akan dipamerkan adalah beberapa unit rumah kampung (asal) sebagai contoh dan tatapan generasi akan datang. Galeri Warisan yang dijangka dapat menjadi sumber tarikan pelancong dalam dan luar negeri akan digabungkan dengan cadangan rumah kedai di mana peniaga-peniaga tempatan dapat menjalankan perniagaan yang berkait rapat dengan barangan/makanan tradisional khususnya yang berkait dengan negeri Pulau Pinang sendiri.
Tapak yang dicadangkan terletak di Parcel 4B yang akan dikosongkan setelah penduduk terlibat ditempatkan semula di Parcel 4C Pangsapuri Warisan Tanjung (Fasa Kedua).
Konsep secara terperinci masih belum dimuktamadkan dan pihak UDA akan berbincang dengan pihak Kerajaan Negeri atau dengan jawatankuasa yang ditubuhkan bersama Kerajaan Negeri sebelum pelan berkenaan dimuktamadkan untuk kelulusan MPPP.
Kerajaan Negeri juga sentiasa membuka ruang kepada pihak-pihak lain termasuk NGO atau mana-mana persatuan untuk sama-sama berkongsi pendapat atau cadangan bagi merealisasikan impian Zon Warisan Kampung Tanjung Tokong ini.