MESYUARAT KEDUA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2012
Soalan Jelaskan pelaksanaan Hab Halal dan kejayaannya. Berapakah jumlah perbelanjaan oleh pihak Kerajaan dan pulangan kepada Kerajaan dan ahli perniagaan sejak ditubuhkan?
Dun -
Exco YB. DATO HAJI ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
Perkara Halal Hab

Jawapan
Y.B. DATO' HAJI ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

21. Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Halal Penang) yang dibangunkan sejak Ogos 2008 mempunyai visi untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai Global Halal Centre berteraskan kepada 10 kluster halal utama merangkumi keseluruhan gaya hidup berkonsepkan halal yang dinamakan sebagai Halal Ecosystem. Usaha merealisasikan visi tersebut dilaksanakan melalui Pasukan Petugas Halal (Halal Task Force) yang dibentuk bagi menetapkan polisi dan hala tuju pembangunan industri halal di Pulau Pinang. Halal Task Force yang ditubuhkan terdiri daripada 10 Ahli Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) yang bertanggungjawab menggerakkan segala perancangan, pelaksanaan, pemantauan strategi dan pelan tindakan berdasarkan hala tuju yang ditetapkan oleh Halal Task Force. Pencapaian yang telah berjaya diperolehi adalah seperti berikut:

(i) Pencapaian Kluster Logistik (Logistics)

Pembangunan Kluster Logistik Hab Halal Antarabangsa dipengerusikan oleh Dr. Mohamad Amin Kassim, Timbalan Pengarah Urusan Century Total Logistics Sdn Bhd. Halal Penang sedang meneruskan usaha bersama-sama Penang Port Sdn Bhd dalam mencapai cita-cita meletakkan Penang Port sebagai pelabuhan strategik dalam rangkaian pelabuhan halal dunia. Pada 1 Jun 2010, Kerajaan Negeri melalui Halal Penang telah berjaya meyakinkan Penang Port Sdn Bhd untuk menjenamakan Penang Port sebagai Halal Port melalui pengiktirafan MS1900:2005 yang dikeluarkan oleh SIRIM QAS International bagi bahagian perkhidmatan kontenanya. Pengiktirafan ini diumumkan semasa berlangsungnya Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2009 yang turut disertai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat pertama kalinya. Pencapaian tersebut merupakan kejayaan pertama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam meletakkan Pulau Pinang sebagai Global Halal Centre.

Kerajaan Negeri juga turut menggerakkan inisiatif untuk mewujudkan kolaborasi strategik di antara Penang Port dan Port of Rotterdam, Netherlands di mana Port of Rotterdam telah menawarkan penghantaran kargo pertama (first shipment cargo) secara percuma kepada Penang Port. Hasil kolaborasi strategik ini telah berjaya mewujudkan perjanjian persefahaman kerjasama antara syarikat tempatan iaitu Century Total Logistics dengan Eurofrigo B.V yang merupakan pengendali halal di Rotterdam Port.

Usaha juga sedang dilaksanakan bagi membangunkan sektor kargo udara halal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Halal Penang sedang berusaha bersama beberapa pihak termasuk MAS Cargo dan beberapa syarikat penghantaran udara (air cargo service provider) bagi mewujudkan zon halal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Bagi menjayakan usaha ini, tema Exploring New Frontiers in Halal Financial Services & Supply Chain Management telah dipilih dan diangkat sebagai topik persidangan semasa persidangan Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) yang pertama pada Januari 2010. Persidangan berasaskan kepada tema tersebut telah dibarisi oleh panel-panel daripada Century Total Logistics, Jabatan STANDARDS, syarikat-syarikat logistik dan pihak-pihak berkepentingan dalam sektor produk dan perkhidmatan halal.

Selain itu, satu perjanjian persefahaman ICT Halal Superhighway telah dimeterai bersama wakil dari negara Thailand, Indonesia, Filipina dan Afrika Selatan dalam usaha membangunkan dan mewujudkan kerjasama dalam industri logistik halal.

(ii) Pencapaian Kluster Kewangan Islam (Islamic Finance)

Pembangunan Kluster Kewangan Islam dipengerusikan oleh Datuk Azahari Kamil, Ketua Eksekutif Asian Finance Bank Berhad. Jalinan kerjasama diwujudkan bersama institusi perbankan seperti Asian Finance Bank, milikan penuh Qatar Islamic Bank dan ALKHAIR International Islamic Bank (dahulu dikenali sebagai Unicorn International Islamic Bank) yang beribu pejabat di Bahrain, Maybank Islamic, Hong Kong Bank Islamic, Kuwait Finance House dan Bank Muamalat untuk menjadi panel sumber kewangan bagi pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur dalam membangunkan industri halal di Pulau Pinang. Usaha ini juga sedang diteruskan melalui penubuhan tabung pelaburan khas untuk pelabur-pelabur di dalam industri halal di samping melestarikan bidang pembangunan & penyelidikan (R&D) halal. Pembangunan Klaster Kewangan Islam turut diketengahkan pada persidangan PIHEC 2010 dengan dibarisi oleh panel speaker dari bank-bank terkemuka seperti Asian Finance Bank, CIMB Bank Islamic dan lain-lain.

(iii) Pencapaian Kluster Pembangunan dan Penyelidikan (Research & Development)

Sektor R&D memainkan peranan utama sebagai pemangkin hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan Global Halal Centre dan Halal Ecosystem di Pulau Pinang. Oleh yang demikian, satu konsep telah diutarakan bagi mewujudkan Global Halal R&D Centre yang diterajui oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bersama beberapa institusi-institusi tempatan dan antarabangsa seperti berikut:-




(a) Universiti Putra Malaysia (UPM);
(b) Universiti Islam Antarabangsa (UIA);
(c) Universiti Tjut Nyak Dhien, Medan;
(d) Chulalongkorn University, Thailand; dan
(e) Prince of Songkhla University Thailand.

Persidangan PIHEC 2011 telah menggunapakai tema Creating Opportunities Through Halal Research bagi merancakkan lagi pembangunan dan perkembangan Kluster R&D Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang. Persidangan tersebut telah mengumpulkan pakar-pakar R&D dari pelbagai institusi pengajian tinggi terkemuka dan pihak swasta seperti:-

(a) Universiti Sains Malaysia (USM);
(b) Universiti Putra Malaysia (UPM);
(c) Universiti Islam Antarabangsa (UIA);
(d) Universiti Malaya (UM);
(e) Chulalongkorn University, Thailand;
(f) Prince of Songkhla University, Thailand; dan
(g) Lahore Meat Company, Pakistan

Pihak-pihak terlibat telah berbincang, berbahas dan bertukar-tukar pendapat bagi memformulasikan kaedah pembangunan R&D sebagai elemen tambah nilai bagi produk dan perkhidmatan halal.

(iv) Pencapaian Kluster Pelancongan dan Hospitaliti (Hospitality & Tourism)

Pembangunan Kluster Pelancongan dan Hospitaliti dipengerusikan oleh Encik Johari bin Shafie, pengasas Penang War Museum. Bagi membangunkan industri perhotelan berasaskan syariah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya memeterai perjanjian persefahaman bersama Hotel Seri Malaysia dan D’Feringghi Hotel & Restaurant bagi membangunkan kedua-dua hotel sebagai perintis hotel berasaskan syariah.



Selain itu, Halal Penang turut menandatangani MOU bersama Al-Jawhara Group of Hotel pada 2009 bagi menggunakan kepakaran dan pengalaman pengurusan perhotelan berkenaan dari segi pentadbiran dan pengurusan hotel berasaskan syariah. Al-Jawhara Group Hotel yang berpusat di Dubai mempunyai beberapa rangkaian hotel berasaskan syariah. Rangkaian hotel Al-Jawhara berada dalam rangkaian S.S Lootah Group yang turut mengoperasikan Bank Islam yang pertama di Dubai dan syarikat pemprosesan makanan utama di Timur Tengah.

Halal Penang dengan kerjasama Penang Global Tourism (PGT) juga telah menerbitkan Experience Penang - Muslim Travel Guide (MTG). Terbitan MTG tersebut telah diedarkan ke seluruh dunia terutamanya di negara-negara Timur Tengah dengan versi Bahasa Arab bagi mempertingkatkan kemasukan pelancong asing terutamanya dari negara-negara Timur Tengah.

Halal Penang juga giat mempromosikan Pulau Pinang sebagai Destination of Choice & Sustainable Living kepada pelancong melalui penyertaan di pameran pelancongan seperti International Islamic Tourism & Halal Week (IISTHAL) dan Malaysian International Domestic Tourism Fair (MIDTF). Usaha Kerajaan Negeri yang berterusan untuk memposisikan Pulau Pinang sebagai hab halal antarabangsa telah membuahkan hasil apabila dianugerahkan sebagai Best Halal Facility Provider sempena berlangsungnya minggu International Islamic Tourism & Halal yang berlangsung di Sunway Pyramid Convention Centre pada tahun 2009. Pencapaian tersebut adalah satu pengiktirafan di atas kesungguhan dan usaha gigih mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab halal antarabangsa.

(v) Pencapaian Kluster Asas-Tani (Agro-Based)

Pembangunan Kluster Asas Tani dipengerusikan oleh oleh Y.B. Tuan Law Choo Kiang, Exco Jawatankuasa MMK Pertanian, Industri Asas Tani dan Tebatan Banjir Pulau Pinang. Pencapaian yang sedang diusahakan bagi pembangunan industri asas tani adalah cadangan pembangunan Halal Agro Park di Juru bagi mengeluarkan produk daging berkualiti tinggi melalui projek Juru Beef yang diadaptasikan daripada Kobe Beef. Halal Penang dengan kerjasama menerusi beberapa syarikat swasta masih belum lagi berjaya mewujudkan Halal Agro Park yang dicadangkan di Juru.

Halal Penang juga telah mengadakan kerjasama strategik bersama Global Livestock Corporation Sdn. Bhd. Fresh Frozen Resources Sdn Bhd dan Intan Farm (M) Sdn. Bhd. untuk membangunkan industri asas tani melalui projek Juru Beef yang merangkumi usahasama R&D dan teknologi dalam penternakan dan pemprosesan lembu berkualiti tinggi. Usaha ini masih ditahap kajian teknikal berikutan kekangan dari segi masalah sekatan antarabangsa.

Bagi mengembangkan lagi Kluster Asas Tani, Halal Penang telah mengadakan kerjasama antarabangsa strategik bersama Lahore Meat Company, Pakistan dengan memeterai perjanjian persefahaman bagi membangunkan rantaian pembekal daging halal dari Pakistan untuk dieksport ke Malaysia. Selain itu, Halal Penang turut bekerjasama dengan sebuah syarikat persendirian dalam usaha membangunkan Halal Feed Mill & Feed Lot.

Halal Penang juga telah bertindak sebagai pemudah cara dalam membantu dari segi konsultansi dan teknikal untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri Kedah bagi mendapatkan tanah untuk membangunkan projek Shrimp Aquaculture kepada sebuah syarikat yang telah melabur di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP).

(vi) Pencapaian Kluster Sains Kehidupan (Life Sciences)

Pembangunan Kluster Sains Kehidupan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Liver Foundation. Halal Penang telah menjalankan inisiatif untuk mengkomersialkan vaksin meningitis halal. Perbincangan awal telah diadakan pada tahun 2009, walau bagaimanpun projek tersebut masih belum mencapai matlamat yang disasarkan.

Selain itu, Halal Penang juga sedang mengusahakan Projek Pembangunan Gelatin Halal. Inisiatif projek gelatin halal dimulakan pada November 2009 bersama sebuah syarikat dengan menempatkan operasi pengeluaran gelatin halal syarikat tersebut di TPHPP. Usaha ini diteruskan lagi pada tahun 2010 apabila Halal Penang mengambil inisiatif mengumpulkan pelabur-pelabur tempatan untuk melabur dalam projek gelatin halal yang sedang dibangunkan. Pada 2011, Halal Penang telah maju setapak lagi dengan menubuhkan sebuah syarikat PH Gelatine Pharmz Sdn Bhd yang telah berjaya mendapatkan pelabur dari dalam dan luar negara khususnya Iran untuk melabur di TPHPP. Pembangunan gelatin halal yang dimajukan di TPHPP akan menggunakan teknologi pemprosesan gelatin halal dari Negara Iran.

Inisiatif pengkormersialan vaksin insulin halal telah dimulakan pada tahun 2010 dan pada akhir tahun 2011 sebuah syarikat R&D dari New Zealand telah berjaya membangunkan formula insulin Halal bagi memberi alternatif kepada Ummah. Pada masa kini, Halal Penang sedang berusaha mencari pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur di dalam projek pengkormersialan vaksin insulin halal tersebut.

(vii) Pencapaian Kluster Industri (Manufacturing)

Pembangunan Kluster Industri dipengerusikan oleh Dato’ Seri Nazir Ariff, Pengerusi The Malaysian International Chamber of Commerce and Industry ( MICCI). Usaha promosi yang agresif untuk menarik pelabur membuat pelaburan di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) telah dimulakan pada tahun 2009. Pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan 100 ekar tanah untuk dibangunkan sebagai Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) yang dibahagikan kepada empat (4) Fasa iaitu:




(a) Fasa A (15.52 ekar untuk Zon Farmaseutikal);
(b) Fasa B (28.74 ekar);
(c) Fasa C (16.6 ekar); dan
(d) Fasa D (40.5 ekar)

Dari 100 ekar tanah yang diperuntukkan, hanya 59.50 ekar sahaja yang siap dimasuki pelabur di mana 1.36 ekar tidak dapat dibangunkan atas sebab-sebab teknikal manakala baki 40.5 ekar lagi masih dalam proses pengambilan tanah.

Pada tahun 2011, TPHPP telah berjaya mendapat pengiktirafan status Halal Malaysia (HALMAS) oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) menjadikan TPHPP sebagai HDC Designated Park. Pengiktirafan tersebut membolehkan pelabur-pelabur di TPHPP menikmati insentif-insentif khas seperti pelepasan cukai dan sebagainya.

Sehingga kini, TPHPP telah menerima 10 pelaburan melibatkan sembilan (9) buah syarikat tempatan dan antarabangsa dengan nilai pelaburan berjumlah RM484 juta untuk 54.09 ekar tanah industri. Daripada 10 pelaburan yang diterima, enam (6) buah syarikat sedang dalam proses pembinaan kilang di TPHPP, dua (2) buah syarikat sedang dalam proses mereka bentuk kilang manakala dua (2) buah syarikat lagi masih dalam proses menandatangani perjanjian jual-beli tanah.

Memandangkan keberkesanan inisiatif dan promosi agresif yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam membangunkan industri halal di Pulau Pinang, Halal Penang menerima 13 lagi permohonan baru untuk menempatkan kilang di TPHPP dengan keluasan tanah berjumlah 39.77 ekar dan nilai pelaburan berjumlah RM115.29 juta. Syarikat-syarikat yang memohon terlibat dalam sektor pengeluaran seperti berikut:

(a) pemprosesan makanan;
(b) pemprosesan produk kopi pracampuran;
(c) pemprosesan produk-produk coklat;
(d) pemprosesan produk berasaskan soya;
(e) pemprosesan produk biskut dan coklat;
(f) pemprosesan minuman pracampuran;
(g) pemprosesan sos;
(h) pemprosesan produk jem buah-buahan;
(i) pemprosesan produk makanan laut sejuk beku & akuakultur R&D;
(j) pemprosesan produk penjagaan kulit;
(k) pemprosesan sarang burung & pemprosesan produk downstream;
(l) pemprosesan makanan laut sejuk beku; dan
(m) pemprosesan minyak bijan.

Walau bagaimanapun, pada ketika ini tiada tanah yang sedia ada untuk diduduki (readily available land) berikutan tanah di Fasa D yang bersaiz 40.5 ekar hanya boleh dimasuki pelabur pada tahun 2013. Berikutan kejayaan Halal Penang menarik pelabur ke TPHPP, Halal Penang telah dijadikan rujukan dan telah memeterai beberapa perjanjian dengan negara-negara luar bagi memberi khidmat konsultansi dan nasihat dalam membangunkan Taman Perindustian Halal seperti berikut:

(a) Taman Perindustrian Sana’a di Yemen;
(b) Taman Industri Halal di Pakistan;
(c) Super Halal Industrial Park (SHIP) di Wales, United Kingdom.

Selain itu, Halal Penang turut mengadakan kerjasama strategik dalam pembangunan dan perdagangan dua hala bagi membangunkan industri halal dengan Halal Industries Limited Group (HIG) di United Kingdom, Halal Serbia, Halal Development Council di Pakistan, My Gulf Investment Corporation di Yemen dan Halal Club (Wellonia Foreign Trade & Investment Agency) di Belgium.

(viii) Pencapaian Kluster Pembangunan Sumber Tenaga Manusia (Human Capital)

Pembangunan Kluster Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dipengerusikan oleh Dato’ Boonler Somchit, Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Skills Development Centre. Halal Penang merancang untuk membangunkan badan profesional pengauditan halal dengan memeterai satu memorandum persefahaman bersama International Halal Integrity Alliance (IHI Alliance) bagi mengetengahkan pengaudit halal (halal auditor) sebagai satu profesion bertaraf professional setaraf dengan profesion lain seperti arkitek, jurutera, akauntan dan sebagainya. Halal Penang juga turut mengadakan beberapa perbincangan dengan Essex University, United Kingdom bagi mewujudkan “Faculty of Halal Food & Catering” di beberapa universiti di Britain dan Wales. Selain itu, Halal Penang telah bekerjasama dengan Halal Feed and Food Inspection Authority (HIFFIA), Netherlands dengan memeterai satu perjanjian usaha sama untuk membangun dan melatih sumber manusia dalam bidang pengauditan halal.

(ix) Pencapaian Kluster Promosi & Pemasaran (Marketing & Promotion)

Kluster Promosi & Pemasaran dipengerusikan oleh Dato' Faudzi Naim Noh, Pengerusi IMTGT–JBC. Selain daripada aktiviti Halal Penang membangunkan konsep 10 kluster utama, Halal Penang turut mempromosikan perdagangan halal dua hala dengan menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Wellcome di Hong Kong yang merupakan satu daripada pasaraya terbesar yang dimiliki oleh Jardine Matheson Holdings yang mempunyai rangkaian pasar raya di China. Halal Penang turut bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan Group Casino yang merupakan sebuah rangkaian pasar raya di Paris bagi melancarkan produk halal sendiri jenama “Wassila” dan juga rangkaian pasaraya Tesco UK.

(x) Pencapaian Kluster Pembangunan Usahawan Halal (Entrepreneur Development)

Kluster Pembangunan Usahawan Halal dipengerusikan oleh Dr. Asarudin Haji. Ashari, Pengarah Urusan Jasa Tani (M) Sdn Bhd. Walaupun kluster ini berkembang dalam kadar yang perlahan, Halal Penang telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Dewan-dewan Perniagaan bagi membangunkan usahawan halal IKS supaya lebih kompetitif dengan membawa mereka menyertai pameran tempatan dan antarabangsa seperti di Lampiran A.

PENCAPAIAN PENSIJILAN HALAL PULAU PINANG

Pada tahun 2008, statistik pemegang sijil halal hanya berjumlah 55 buah syarikat sahaja dan statistik pemegang sijil halal telah meningkat kepada 165 buah syarikat pada tahun 2009. Penjenamaan semula Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP pada tahun 2010 menunjukkan jumlah pemegang sijil halal telah bertambah kepada 210 syarikat dan terus menunjukkan peningkatan pada tahun 2011 iaitu sebanyak 290 syarikat. Sehingga September 2012, Pulau Pinang telah mempunyai sebanyak 388 syarikat pemegang sijil halal. Kerjasama antara Halal Penang dan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dalam menganjurkan program outreach dan seminar kesedaran halal telah membawa kepada peningkatan syarikat berstatus Halal sebanyak 605% iaitu sebanyak 55 syarikat pada tahun 2008 kepada 388 syarikat pada September 2012. Pencapaian yang memberangsangkan ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam usaha mempromosikan industri halal di persada dunia.

Bagi mempertingkatkan penambahan jumlah syarikat berstatus halal pada tahun 2012, Halal Penang dan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) telah bergerak dengan lebih pro-aktif bagi mempromosikan pensijilan halal kepada lebih banyak outlet makanan di Pulau Pinang disamping memantau restoran makanan yang menyalahgunakan logo halal JAKIM. Melalui usaha promosi ini, 11 francais outlet Subway dan 16 francais outlet Old Town White Coffee di Pulau Pinang telah berjaya mendapat pengiktirafan status Halal JAKIM.

Sehingga Ogos 2011, tiada outlet nasi kandar yang memperolehi pensijilan halal. Walau bagaimanapun, melalui usaha promosi agresif daripada Halal Penang dan Bahagian Pengurusan Halal, JHEAIPP untuk mengalakkan pemilik dan pengusaha nasi kandar untuk memperoleh sijil halal Malaysia telah mendapat sambutan yang positif apabila Nasmir Nasi Kandar Sdn Bhd dan Pelita Samudera Pertama (M) Sdn Bhd telah menjadi rangkaian restoran nasi kandar halal pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan halal JAKIM. Usaha promosi ini telah mengalakkan rangkaian restoran nasi kandar yang lain untuk memohon sijil Halal Malaysia. Sehingga kini, empat (4) outlet nasi kandar dalam proses permohonan pensijilan halal iaitu Restoran Jaya, Restoran Subaidah, Restoran Deen Baru dan Nasi Kandar Zamrud. Manakala outlet nasi kandar yang telah memperolehi sijil halal selain Nasmir dan Pelita ialah Restoran Kamalia. Statistik pemegang sijil halal di Pulau Pinang sehingga September 2012 adalah seperti di Lampiran B.


PECAHAN PERBELANJAAN YANG TELAH DIBELANJAKAN OLEH KERAJAAN NEGERI UNTUK MEMBANGUNKAN HAB HALAL ANTARABANGSA

Dalam usaha mempromosikan hab halal antarabangsa di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan geran tahunan berjumlah RM1,000,000.00 kepada Halal Penang. Geran yang diperuntukkan pada tahun 2009 digunakan secara berhemah sehingga tahun 2010. Geran ini digunakan bagi tujuan promosi dan pemasaran, pengoperasian dan pentadbiran syarikat. Butiran pecahan perbelanjaan yang telah dibelanjakan adalah seperti di Lampiran C.
 
Kembali