Jawapan
50. (a) Pembinaan Jambatan Rakyat di KADUN Sungai Acheh iaitu Projek Membina Jambatan Baru Merentasi Sungai di Atas Laluan P169, Kampung Tanjung Berembang, Daerah Seberang Perai Selatan telah dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dengan mengambil kira pandangan serta kepentingan rakyat setempat. Adalah menjadi kelaziman di mana setiap projek pembangunan akan mendapat bantahan dari segelintir penduduk setempat. Namun, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa pelaksanaan projek ini mampu memberi impak yang besar ke atas ekonomi Daerah SPS amnya dan KADUN Sungai Acheh khususnya.
(b) Permohonan peruntukan bagi projek ini telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) melalui Rolling Plan Kedua RMKe-10 berjumlah RM50.04 juta. Kos sebanyak RM20 juta hanyalah untuk pelaksanaan kerja-kerja awalan dan pengambilan balik tanah.
(c) Melalui projek ini, jambatan sedia ada yang kini hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal akan dibina semula dengan jambatan baru dua lorong, dua hala dan akan menghubungkan Kampung Tanjung Berembang dengan Jalan Victoria, Nibong Tebal. Pelaksanaan projek ini akan membolehkan jaringan jalan raya sedia ada yang menghubungkan beberapa kawasan luar bandar di KADUN Sungai Acheh dengan bandar-bandar di Seberang Perai dapat dilengkapkan.
(d) Pelaksanaan projek ini akan turut menyumbang kepada perkembangan industri pertanian, penternakan dan industri hasil laut yang merupakan ekonomi utama di KADUN Sungai Acheh. Selain itu, projek ini juga mampu menjimatkan masa dan jarak perjalanan lebih kurang 4km serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di Laluan Persekutuan 1.
(e) Dakwaan mengenai Kerajaan Negeri menekan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek ini adalah tidak benar. Sebaliknya, Kerajaan Negeri hanya menjalankan tanggungjawab mengemukakan permohonan untuk pertimbangan Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat dan pembangunan Negeri Pulau Pinang, khususnya di KADUN Sungai Acheh. Sepatutnya ADUN Sungai Acheh harus menyokong usaha ini yang bawa manfaat kepada kawasannya. Sekiranya beliau tidak rela atau enggan berbuat demikian maka Kerajaan Negeri sedia mengambil tugas ini sekiranya mendapat keyakinan rakyat.