Jawapan
20. Cadangan supaya YDP MPPP dan MPSP dipilih daripada kalangan back benchers supaya lebih demokrasi berbanding daripada jawatan ini dilantik adalah merupakan satu pandangan sahaja. Menurut Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan menyatakan Pihak Berkuasa Tempatan adalah terdiri daripada Datuk Bandar atau Yang Dipertua dan tidak kurang daripada 8 dan tidak lebih daripada 24 Ahli Majlis yang akan dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Seksyen tersebut menyatakan kriteria yang perlu bagi seseorang Ahli Majlis (termasuk YDP) hendaklah antara lain, dilantik dari kalangan orang yang bermastautin dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan itu, dan yang pada pendapat PBN berpengalaman luas dalam hal ehwal Kerajaan Tempatan atau yang telah memperolehi kejayaan terpuji dalam sesuatu profesion, perdagangan atau perindustrian ataupun yang mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan kaum-kaum mereka dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.
Kerajaan Negeri sedang dalam usaha untuk mengembalikan hak rakyat melalui Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 pada 9 Mei 2012 dan enakmen tersebut telahpun diwartakan pada 5 Julai 2012. Kerajaan Negeri melalui surat bertarikh 30 Ogos 2012 telah memperingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan tempatan di Negeri Pulau Pinang seperti diperuntukkan dalam Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012.
Sekiranya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dilaksanakan kelak, YDP dan kesemua ahli majlis akan dipilih melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya. Pilihan Raya Kerajaan Tempatan akan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih wakil yang benar-benar layak untuk mewakili mereka di peringkat Kerajaan Tempatan. Tindakan untuk memulihkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan juga adalah selaras dengan dasar untuk memperkuasakan rakyat sebagaimana yang sering ditekankan oleh Kerajaan Negeri.