MESYUARAT KEDUA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2012
Soalan Sila nyatakan dari tahun 2008 hingga kini berapakah ajaran sesat yang ada di Negeri ini termasuk yang sedang disiasat?
Dun -
Exco YB. DATO HAJI ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
Perkara Ajaran Sesat

Jawapan
Y.B. DATO' HAJI ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

25. Untuk makluman Y.B. terdapat 11 ajaran sesat yang telah dikesan dan dikenal pasti di Pulau Pinang iaitu :

1. Al-Arqam
Ajaran ini diasaskan oleh Ashaari Muhammad. Walaupun telah diharamkan tetapi masih terdapat pengikut ajaran ini yang berselindung di bawah perniagaan Rufaqa'. Pengikut ini masih dapat dikesan di Lubuk Meriam, Lahar Yooi dan Taman Bunga Raya, Prai.




2. Al-Mansoor
Ajaran yang diasaskan oleh Azhar bin Wahab dan menubuhkan Mansoor Holding yang terletak di Sungai Petani, Kedah. Ajaran ini bergerak dengan membuka premis rawatan urutan tradisional, akuapuntur dan sebagainya di pusat-pusat membeli belah seperti di Kompleks Membeli Belah Bukit Jambul. Ajaran ini telah diharamkan oleh Wilayah Persekutuan pada 19 September 2003 dan Negeri Pulau Pinang pada 29 Januari 2004.

3. Tariqat Aliyyah Naqsyabandiayah Mujadidiyah Al-Khalidiyah
Tariqat ini dipimpin oleh Md. Isa bin Tayib yang berpandukan kepada kitab “Sirus Salikin” di Balik Pulau. Penyelewengan yang ketara Tariqat ini adalah ‘bersuluk’ (bertapa) dan berzikir dengan menggambarkan wajah guru mereka. Ajaran ini telah pun diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Khas Negeri Pulau Pinang pada 30 Oktober 2007. Walaupun ketua kumpulan ini bersetuju mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa tetapi masih terdapat ahli kumpulan yang cuba menghidupkan ajaran ini.

4. Ajaran Tok Husin Janggut
Ajaran ini pada mulanya aktif di Negeri Kedah dan telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah pada 15 November 1999. Pengikut ajaran ini telah mula dikesan di Bagan Jermal, Tanjung Tokong dan ajaran ini telah difatwakan menyeleweng pada 30 Julai 2009.

5. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
Tarikat ini diasaskan oleh Haji Ibrahim bin Abdullah yang berasal dari Sumatera. Terdapat seorang individu yang bekerja sebagai pemandu teksi telah cuba menghidupkan ajaran tarikat ini di Penaga dengan membina rumah berbentuk mehrab tetapi perbuatan beliau telah pun dihalang oleh Pihak Berkuasa.

6. Ajaran Tok Mat Janggut
Ajaran ini ditubuhkan oleh Mohammad bin Othman yang bertapak di Seberang Tok Doi, Lahar Yooi dan Kebun Sireh, Bukit Mertajam. Ajaran ini berkonsepkan “Wahdatul Wujud” yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana konsepnya mengaitkan kewujudan Allah s.w.t pada diri seseorang atau benda-benda yang berada di sekeliling. Ajaran ini telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang pada Mei 2000.

7. Ajaran Taslim
Ajaran ini diasaskan oleh Syed Muhammaf Syafir atau nama sebenarnya Haji Muhammad Shafie dan kemudiannya diganti oleh Syed Ali/Syed Ali Gazali dan kemudian Syed Bidin. Ajaran ini dinamakan sebagai Ajaran Taslim kerana mereka berpegang kepada perkataan Taslima yang terdapat di dalam surah Al-Ahzab, ayat 56. Ajaran ini menyeleweng kerana ketua mereka dianggap sebagai pengganti nabi dan tidak perlu solat dan mengamalkan nikah batin.

8. Ajaran Ayah Pin
Ajaran ini bertapak di Terengganu yang dipimpin oleh Ariffin bin Mohamad (Ayah Pin) yang telah diwartakan haram pada 4 Disember 1997. Seorang pengikut ajaran ini telah cuba menyebarkannya di Kampung Lebai Tahir, Butterworth tetapi setelah diambil tindakan tiada sebarang pengajian atau penyebaran berlaku.
9. Fahaman Syiah
Fahaman ini telahpun difatwakan oleh Jabatan Mufti menyeleweng dan bercanggah daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah seluruhnya. Fahaman ini masih lagi bergerak di Negeri Pulau Pinang tetapi sukar dikesan kerana pengikut bergerak dalam kalangan umat Islam dan tidak membuat pengakuan secara terang-terangan. Antara tempat-tempat yang dikesan di Batu Feringghi dan Kampung Haji Lebai Tahir, Teluk Air Tawar dan Tasek Gelugor.

10. Ajaran Pak Chai
Ajaran ini dikesan melalui aduan di Bertam, Kepala Batas dan masih dalam siasatan.

11. Ajaran Pak Jalil ( Syeikh Hj. Jalilullah Firulallah).
Ajaran ini dikesan melalui aduan di Machang Bubok, Bukit Mertajam dan masih dalam siasatan.
Kembali