MESYUARAT KEDUA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2012
Soalan Banyak penjaja masih menggunakan perkakas polistrin untuk membungkus makanan. Apakah tindakan dan rancangan yang telah dan akan diambil untuk memastikan polistrin tidak digunakan lagi?
Dun -
Exco YB. TUAN PHEE BOON POH
Perkara Alam Sekitar

Jawapan
Y.B. TUAN PHEE BOON POH
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

8. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan larangan penggunaan bekas makanan polisterin mulai Julai 2009. Setiap majlis rasmi kerajaan dipastikan tiada penggunaan bekas makanan polisterin. Polisterin ialah sejenis bahan pembungkus yang tidak biodegradable. Ini kerana pembuangannya boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar serta menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes serta memudaratkan kesihatan manusia.

Penguatkuasaan larangan penggunaan bekas makananan polisterin ini dijalankan mengikut 5 fasa seperti berikut :

(i) Fasa kesedaran - mulai 1 Julai - 31 Disember 2009

(ii) Fasa Pendidikan - mulai 1 januari - 31 Disember 2010

(iii) Fasa Perubahan minda - mulai 1 Januari - 31 Disember 2011

(iv) Fasa Amaran - mulai 1 Januari - 30 November 2012

(v) Fasa Tindakan - mulai 1 Disember 2012




Kerajaan Negeri juga melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah mengeluarkan larangan penggunaan bekas makanan polisterin di Kompleks-kompleks makanan milik PBT. PBT juga telah memperluaskan skop larangan tersebut kepada :-

i. Semua premis makanan

ii. Semua Pasaraya & Supermarket

iii. Semua Penjaja termasuk di Pasar Malam

iv. Semua peniaga/penjual & pemborong bekas makanan/ minuman polisterin

PBT telah dan sedang melaksanakan program pendidikan dan kesedaran seperti berikut :-

(i) Mengeluarkan surat makluman/arahan syarat tambahan baru iaitu larangan penggunaan bekas makanan polisterin kepada pemilik perniagaan yang terlibat .

(ii) Memantau dan memeriksa premis-premis yang terlibat dan mengeluarkan notis amaran kepada premis yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

(iii) Mengedarkan kotak makanan alternatif kepada penjaja-penjaja di kompleks makanan oleh Ahli Majlis.

Syarat pelesenan tambahan dibawah peruntukkan Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada penjaja di kompleks makanan telah dimaklumkan kepada semua penjaja di kompleks makanan dan berdasarkan tindakan yang telah dibuat PBT mendapati larangan penggunaan polisterin telah dipatuhi hampir keseluruhan penyewa gerai.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa buat masa ini tiada tindakan dan rancangan oleh Kementerian Kesihatan tentang larangan penggunaan polisterin. Merujuk kepada Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Makanan 2009, tiada peruntukan khusus terhadap penggunaan polistrin sebagai bahan pembungkus makanan.

Walau bagaimanapun, pada Peraturan 29 Peraturan-Peraturan Makanan 1985, menyatakan tentang Penggunaan bungkusan polyvinyl chloride yang mengandungi vinyl chloride monomer berlebihan adalah dilarang (melebihi 1mg/kg vinyl chloride monomer) kerana memudaratkan kesihatan.
Kembali