Jawapan
Tuan Speaker,
Saya memohon keizinan untuk menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan no. 2 dari Ahli Kawasan Pantai Jerejak, soalan no. 5 dari Ahli Kawasan Pulau Betong dan soalan no 48 dari Ahli Kawasan Sungai Bakap.
Tuan Speaker,
Kerajaan negeri baru memang terkejut wujudnya keluarga miskin tegar sungguhpun diwar-warkan oleh kerajaan lama sebelum ini betapa baik pentadbirannya menjaga golongan tidak berada. Adalah memalukan keadaan ini boleh dibiarkan dalam 50 tahun ini. Oleh itu, kerajaan negeri berhasrat untuk menghapuskan miskin tegar dalam tempoh setahun, agar Negeri Pulau Pinang boleh menyapu bersih kecacatan yang memalukan ini.
Miskin dan miskin tegar mempunyai definisi yang berbeza. Kerajaan Negeri mengkategorikan golongan ini selaras dengan Poverty Outreach Kit yang dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Kriteria utama yang diambil kira untuk mengukur miskin dan miskin tegar adalah pendapatan isi rumah sesebuah keluarga. Sesebuah keluarga adalah dianggap miskin sekiranya pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahli keluarganya berfungsi di dalam masyarakat. PGK bagi kategori ini adalah sebanyak RM660.00 sebulan bagi sesebuah isi rumah atau pendapatan per kapita sebanyak RM150.00 sebulan.
Sesebuah isi rumah adalah dianggap sebagai miskin tegar sekiranya pendapatan bulanan isi rumah yang tersebut adalah kurang daripada PGK makanan, iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi nutrisi makanan yang minimum yang membolehkan setiap ahli keluarganya mempunyai tubuh badan yang sihat. PGK bagi kategori ini adalah sebanyak RM400.00 sebulan bagi sesebuah isi rumah atau pendapatan per kapita sebanyak RM90.00 sebulan.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mensasarkan miskin tegar sifar bagi tempoh satu tahun bermula daripada Mac 2008 sehingga Mac 2009. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut contohnya bancian dan lawatan telah dijalankan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, ADUN, UPEN dan Pejabat Daerah berkaitan bagi memastikan golongan miskin menerima bantuan yang diperlukan. Di peringkat daerah pula Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Daerah yang dianggotai oleh semua agensi / jabatan kerajaan berkaitan menerajui pemantauan pembasmian kemiskinan. Perancangan dan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Jawatankuasa ini berasaskan kepada:
i) Peringkat 1 – siasatan dan pengumpulan maklumat berhubung kes-kes kemiskinan sedia ada / baru dilaporkan.
ii) Peringkat 2 – pembentangan kepada Jawatankuasa untuk pengesahan dan perakuan sama ada keluarga berkenaan layak dikategorikan sebagai keluarga Miskin atau Miskin Tegar berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri
iii) Peringkat 3 – perbincangan dan keputusan Jawatankuasa berhubung tindakan dan jenis bantuan pembasmian kemiskinan yang layak diberikan kepada keluarga miskin berkenaan.
iv) Peringkat 4 – pemantauan kepada keberkesanan tindakan/bantuan yang diberikan bagi sesuatu tempoh masa tertentu.
v) Peringkat 5 – pengesahan dan perakuan Jawatankuasa bagi menentukan sesebuah keluarga sama ada dapat dikeluarkan daripada kategori miskin sekiranya pendapatan keluarga berkenaan melepasi Garis Kemiskinan Pendapatan.
Selain itu, Kerajaan Negeri bersama dengan agensi-agensi lain turut mengatur pelbagai perancangan dan strategi kepada golongan miskin tegar bagi mendorong mereka terkeluar daripada kepompong ini. Di Pulau Pinang, terdapat seramai 324 Ketua Isi Rumah (KIR) yang memerlukan perhatian dan bantuan yang bersesuaian daripada Kerajaan Negeri. Daripada jumlah tersebut 90% adalah berbangsa Melayu, diikuti dengan 5% bangsa India, kemudian bangsa Cina sebanyak 4% dan lain-lain sebanyak 1%. Kajian sedang dijalankan untuk menentukan sama ada angka ini tepat dan menyeluruh.
Miskin tegar boleh dikategorikan kepada golongan produktif dan tidak produktif. Setelah mengenal pasti golongan miskin tegar yang produktif iaitu berumur 60 tahun ke bawah dan mampu untuk bekerja, bantuan Peningkatan Pendapatan mengikut kebolehan dan keperluan akan diberikan bagi membolehkan mereka menjana dan meningkatkan pendapatan melalui kegiatan ekonomi seperti menjalankan perniagaan, menjahit dan sebagainya. Bagi golongan Miskin Tegar tidak produktif pula iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas atau tidak mampu lagi untuk melakukan aktiviti harian, mereka ini akan disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapat bantuan yang bersesuaian. Selain itu usaha dan bantuan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:-
i. Bantuan baik pulih rumah yang tidak melebihi RM 8,000 sebuah.
ii. Bantuan wang ihsan (Rebet Bil Air) sebanyak RM 100 kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah.
iii. Bantuan elaun harian sebanyak RM 10 sehari pelajar Giat mara yang berada dalam golongan miskin tegar. Bantuan ini merangkumi kursus latihan dan kemahiran selama 6 bulan.
iv. Agihan bantuan beras (one-off)
v. Jabatan Veterinar memberi bantuan Bumi Hijau kepada golongan miskin tegar. Di antara bantuan yang diberikan adalah bekalan ayam kampung, itik daging dan itik telur berserta makanan dan reban.
vi. Bantuan ihsan one off sebanyak RM3000 untuk setiap keluarga miskin tegar yang menepati kriteria-kriteria tertentu seperti musnah tempat kediaman, kematian ketua keluarga, hilang upaya akibat kemalangan dan diberhentikan kerja disebabkan masalah syarikat serta telah menganggur lebih dari 3 bulan.
vii. Badan-badan bukan kerajaan juga kebanyakannya berminat untuk menyalurkan sumbangan dalam membasmi miskin tegar. Justeru Kerajaan Negeri akan mengumpul semua bantuan sama ada berbentuk kewangan (in-cash) atau material (in-kind)
Pelaksanaan pembasmian kemiskinan mendapat sokongan dan komitmen padu dari pelbagai pihak namun terdapat juga beberapa kekangan seperti:
a) Data yang sedia ada dikemas kini tidak secara berkala.
b) Tiada penyelarasan di antara agensi negeri dengan persekutuan.
c) Kebanyakan daripada golongan miskin tegar terdiri daripada mereka yang tidak produktif dan hanya dapat dibantu dengan memberi wang sumbangan sahaja.
d) Sikap KIR yang lebih rela menerima bantuan.
Pantai Jerejak adalah salah sebuah kawasan yang berada dalam Daerah Barat Daya. Bilangan penduduk miskin tegar di kawasan Pantai Jerejak adalah seramai sepuluh orang sahaja. Daripada jumlah berkenaan sembilan orang adalah miskin tegar tidak produktif dan hanya seorang miskin tegar produktif