Jawapan
17. Kerajaan Negeri mempunyai garis panduan khas untuk menganjur pasar malam, pagi, minggu dan tani.
Dasar garis panduan pasar malam, pagi, minggu dan tani adalah seperti berikut:-
Garis Panduan Untuk Mengurus Dan Mengawal Aktiviti Pasar Malam, Pasar Pagi, Pasar Minggu Dan Pasar Tani (Pindaan 2006)
a) PERMOHONAN
i) Penganjur hendaklah mengemukakan permohonan untuk setiap Pasar Malam/Minggu dalam borang yang disediakan berserta dengan pelan lokasi dan pelan tataletak petak-petak yang akan disediakan termasuk ukuran setiap petak.
ii) Setiap permohonan akan dirujuk kepada Pegawai Daerah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Dalaman Kerajaan Tempatan untuk ulasan. Setiap jabatan/pejabat akan diberi tempoh selama satu (1) bulan untuk mengemukakan ulasan. Jika tiada ulasan diterima dalam tempoh tersebut, maka akan menganggap bahawa jabatan/pejabat berkenaan tidak ada ulasan/bantahan.
b) KELAYAKAN PEMOHON
i) Untuk mengurus Pasar Malam, Pasar Pagi dan Pasar Minggu, permohonan hanya dibuka kepada badan-badan seperti JKKK atau Persatuan Penduduk.
ii) Kerajaan Negeri hanya akan mempertimbangkan permohonan daripada FAMA bagi tujuan menganjur pasar tani.
c) PERSEDIAAN TAPAK
i) Setiap Pasar Malam, Pasar Pagi, Pasar Minggu dan Pasar Tani hendaklah ditempatkan di lokasi yang tidak mengganggu lalu lintas dan laluan awam.
ii) Penganjur hendaklah menyediakan ruang berukuran 5 kaki x 10 kaki setiap tapak.
iii) Penganjur hendaklah memastikan jarak ruang bebas di antara gerai-gerai bertentangan sekurang-kurangnya seluas 10 kaki antara satu dengan yang lain.
iv) Bilangan maksimum peniaga pasar malam bagi setiap pasar malam yang diadakan dihadkan kepada 300 orang sahaja.
d) TANGGUNGJAWAB PENGANJUR
i) Penganjur hendaklah memastikan bahawa setiap peniaga mempunyai lesen penjaja (pasar malam) sebelum dibenarkan menjalankan perniagaan di Pasar Malam, Pasar Pagi, Pasar Minggu dan Pasar Tani dan mematuhi peraturan-peraturan di bawah Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan.
ii) Semua pengendali makanan hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan, memperolehi pelalian anti-tifoid dan mematuhi peraturan-peraturan di bawah Undang-Undang Kecil (Pengendali Makanan) Kerajaan Tempatan.
iii) Penganjur hendaklah memastikan bahawa setiap peniaga mendaftar dengan penganjur. Buku daftar yang mengandungi nama penjaja, nombor tapak, jenis jualan hendaklah disimpan dan dikemaskinikan bagi tujuan pemeriksaan oleh pegawai Majlis Perbandaran dari semasa ke semasa.
iv) Penganjur hendaklah memastikan bahawa hanya peniaga berdaftar sahaja dibenarkan berniaga di pasar-pasar tersebut.
v) Penganjur hendaklah memastikan tiada pendatang asing berniaga di pasar-pasar tersebut.
vi) Penganjur hendaklah mengemukakan kepada Kerajaan Negeri senarai para peniaga setiap tahun. Apabila mana-mana peniaga telah berhenti berniaga, penganjur hendaklah melaporkan kepada Kerajaan Negeri. Kelulusan dari Kerajaan Negeri hendaklah diperoleh terlebih dahulu sebelum tapak berkenaan digantikan dengan peniaga lain. Disamping itu, sebarang tambahan tapak baru perlu mendapatkan kelulusan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.
vii) Penganjur tidak dibenarkan memperuntukkan lebih daripada tiga (3) tapak untuk setiap peniaga.
viii) Penganjur hendaklah memastikan bahawa setiap peniaga menyediakan tong-tong sampah yang sesuai besarnya dan dilapik dengan karung plastik.
ix) Penganjur adalah bertanggungjawab ke atas penyenggaraan dan kebersihan kawasan pasar-pasar tersebut. Penganjur juga perlu memastikan tapak dibersihkan dengan sempurna sebaik sahaja perniagaan tamat.
x) Kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik hendaklah disediakan dan dibiayai oleh penganjur.
xi) Penganjur hendaklah memastikan bahawa penjualan kaset dan pita video dikawal dari sudut tahap kebisingan supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan rumah-rumah ibadat.
e) TEMPOH SAH LAKU KEBENARAN KEPADA PENGANJUR
i) Tempoh sah laku kebenaran menganjur adalah untuk setahun dan akan tamat pada 31 Disember tahun berkenaan. Semua permohonan untuk pembaharuan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 30 November tahun semasa. Permohonan yang lewat akan dikenakan denda sebanyak RM250.00.
f) BAYARAN LESEN
i) Bayaran lesen penjaja bagi Pasar Malam, Pasar Pagi, Pasar Minggu dan Pasar Tani adalah sebanyak RM36.00 setahun bagi setiap peniaga.
ii) Bayaran kutipan sebanyak 50 sen sehari untuk setiap tapak (dengan mengambilkira purata kehadiran peniaga pada kadar 80%) dikenakan bagi aktiviti pasar malam berdasarkan kategori berikut:
Bil. Peniaga Pasar Malam Kadar Bayaran Sebulan
(RM)
(a) 100 dan kebawah RM 160
(b) 101 – 150 RM 240
(c) 151 – 200 RM 320
(d) 201 – 250 RM 400
(e) 251 – 300 RM 480
Bayaran hendaklah dijelaskan oleh penganjur sebelum 15 haribulan bulan berkenaan.
g) KUASA KERAJAAN NEGERI
i) Kerajaan Negeri berhak menutup atau mengubah lokasi Pasar Malam, Pasar Pagi, Pasar Minggu dan Pasar Tani pada bila-bila masa pada tarikh-tarikh tertentu apabila tempat tersebut diperlukan bagi mengendali apa-apa fungsi.
ii) Kerajaan Negeri berhak menarik balik kebenaran untuk menganjurkan pasar-pasar berkenaan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.
iii) Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan untuk membatalkan lesen mana-mana peniaga yang tidak mematuhi arahan yang diberi.
Kelulusan penjualan tanah atau bangunan milik Kerajaan Tempatan dibuat melalui keputusan Majlis Penuh Kerajaan Tempatan dan disahkan oleh Kerajaan Negeri.
Kelulusan sewaan tanah atau bangunan milik Kerajaan Tempatan pula dibuat melalui Jawatankuasa Sebutharga atau Jawatankuasa Tender.
Bagi sewaan jangka pendek dari bulan ke bulan dan juga sewaan untuk gerai-gerai terbengkalai, kelulusan ditentukan oleh Majlis Penuh Kerajaan Tempatan.