MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan YAB. Ketua Menteri telah berjanji akan menghapuskan kemiskinan tegar di negeri ini dalam tahun 2008 dalam Sidang Dewan Julai lalu. Apakah langkah-langkah yang telah diambil dan berapa ramai lagikah jumlah miskin tegar yang terdapat di negeri ini.
Dun -
Exco PBP
Perkara Kebajikan

Jawapan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mensasarkan miskin tegar sifar bagi tempoh satu tahun sehingga Mac 2009. Maka tindakan secara holistik telah diambil bagi memastikan sasaran ini tercapai. Miskin tegar terbahagi kepada dua golongan iaitu produktif dan tidak produktif. Miskin tegar produktif adalah golongan yang boleh diberi bantuan untuk dibantu mengubah nasib seperti aktiviti-aktiviti bagi menambah pendapatan supaya golongan ini dapat dikeluarkan dari senarai miskin tegar. Tetapi berbeza bagi golongan tidak produktif yang hanya mengharapkan bantuan semata-mata kerana tidak berupaya untuk menguruskan diri sendiri seperti uzur atau hilang upaya. Di Pulau Pinang, terdapat 324 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar disenaraikan dan daripada jumlah tersebut seramai 133 orang adalah produktif dan 191 orang tidak produktif.

Di antara langkah awal yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan melibatkan pelbagai pihak dalam setiap perancangan yang dibuat. Setiap agensi mempunyai peranan dan fungsi masing-masing. Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Pusat Urus Zakat (PUZ), Pejabat-pejabat Daerah, Agensi-agensi kerajaan yang lain dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan merupakan tulang belakang dan tonggak kepada pembasmian kemiskinan tegar ini. Di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah misalnya langkah-langkah pembasmian ini dilakukan dari peringkat akar umbi di mana ia terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu :

(a) Peringkat 1 - Siasatan dan pengumpulan maklumat berhubung kes-kes kemiskinan sedia ada serta yang baru dilaporkan. Peringkat ini akan dilakukan dengan kaedah bancian ataupun kajian oleh penghulu-penghulu tempatan. Di peringkat ini kriteria tertentu seperti umur, tahap kesihatan, status perkahwinan, tahap pendidikan dan sebagainya dikenalpasti.
(b) Peringkat 2 - Pembentangan kepada Jawatankuasa untuk pengesahan dan perakuan sama ada sesebuah keluarga tersebut layak untuk di kategorikan sebagai keluarga miskin tegar ataupun tidak.
(c) Peringkat 3 - Perbincangan dan keputusan Jawatankuasa berhubung tindakan yang perlu diambil dan jenis bantuan yang layak diberikan kepada keluarga miskin tegar dan kesesuaiannya berdasarkan kepada keperluan.
(d) Peringkat 4 - Pemantauan kepada keberkesanan tindakan dan bantuan yang diberikan secara bulanan bagi sesuatu tempoh yang berpatutan.
(e) Peringkat 5 - Pengesahan dan perakuan Jawatankuasa kepada keluarga yang berjaya keluar daripada kepompong miskin tegar setelah dibantu.

Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menjalankan siasatan terperinci terhadap setiap permohonan. Permohonan-permohonan untuk bantuan biasanya melalui rujukan awam, JKKK, pemimpin-pemimpin masyarakat dan NGO. Selain itu JKM juga turut membuka kaunter-kaunter pendaftaran termasuk di tempat awam seperti pasar, perkarangan masjid dan dewan orang ramai bagi memudahkan orang ramai mendaftar dan mendapatkan khidmat yang disediakan. Program seumpama ini disusun secara berjadual dan permohonan disalurkan melalui JKKK dan ADUN setiap kawasan. Bantuan-bantuan bulanan turut disalurkan kepada senarai layak.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) melalui anak syarikatnya PUZ telah melaksanakan pelbagai bentuk program agihan bagi membangunkan masyarakat Islam di Negeri Pulau Pinang. Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, PUZ telah menyediakan pelbagai bentuk skim bantuan kepada golongan sasaran.

Kerajaan Negeri juga sedang merangka satu bentuk bantuan segera untuk diberikan kepada golongan miskin tegar. Usaha ini melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berminat untuk memberi sumbangan bagi membantu golongan miskin tegar untuk keluar dari kepompong tersebut. Bantuan ini boleh berbentuk in-cash atau in-kind berdasarkan kepada keperluan golongan sasaran. Perjanjian secara rasmi juga akan dimetrai antara Kerajaan Negeri dan pertubuhan-pertubuhan ini sebagai komitmen penuh semua pihak dalam mencapai sasaran kerajaan.



Kembali