Jawapan
Pembangunan di Negeri Pulau Pinang kini berpandukan kepada Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP 2020) yang telah digazet pada 28 Jun 2007. Dalam dokumen tersebut sememangnya pembangunan lestari ditekankan bukan sahaja untuk alam sekitar tetapi juga untuk perancangan sumber manusia. Arah tuju pembangunan negeri adalah berasaskan pembangunan lestari dan ini dijelaskan dalam Bahagian 2.5.9 dokumen RSNPP tersebut seperti berikut:
Bahagian 2.5.9 : Pembangunan Guna Tanah Dan Pemeliharaan Alam Sekitar Yang Seimbang.
Pembangunan lestari adalah antara agenda yang disasarkan oleh RSNPP di dalam menangani isu tekanan pembangunan di luar kawasan keutamaan pembangunan dan ancaman pembangunan terhadap Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS). Kepesatan pembangunan Negeri Pulau Pinang secara langsung dan tidak langsung telah mengubah struktur dan pola guna tanah serta alam sekitar negeri. Perubahan yang ketara ialah peningkatan keluasan guna tanah tepubina dan pengurangan keluasan guna tanah pertanian, perhutanan dan perkampungan. Bagi memastikan perubahan guna tanah yang mapan, pembangunan guna tanah dan sumberjaya negeri perlu dirancang dengan teliti. Diantara prinsip yang digariskan dalam RSNPP untuk perhatian dan tindakan Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:-
i) Penggunaan tanah negeri yang optimum ke arah mencapai guna tanah yang mapan;
ii) Menangani nilai tanah yang tinggi;
iii) Pengekalan dan pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dan kawasan sumber semulajadi;
iv) Peningkatan kualiti air di semua lembangan sungai Negeri Pulau Pinang;
v) Peningkatan kualiti air marin dalam menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan dan industri perikanan tempatan; dan
vi) Peningkatan Sistem Pelupusan Sisa Pepejal dan Sisa Industri Berjadual
Antara dasar-dasar RSNPP yang menyentuh pembangunan lestari pula ialah Dasar Sektoral (DS4) Strategi Pembangunan Mapan Akan Dilaksanakan Bagi Mencapai Agihan Penduduk Yang Seimbang. Setiap dasar akan diterjemahkan kepada beberapa langkah dan salah satu langkah bagi dasar ini ialah DS4L1 – iaitu menggalakkan pertumbuhan penduduk Negeri Pulau Pinang bagi mencapai unjuran penduduk seramai 1.6 juta orang pada tahun 2010 dan 2 juta orang pada tahun 2020 melalui :-
• Agihan 45 peratus di bahagian Pulau dan 55 peratus di Seberang Perai pada tahun 2010 dan 40 peratus di bahagian Pulau serta 60 peratus di Seberang Perai pada tahun 2020; dan
• Menggalakkan dan meningkatkan pertumbuhan pembangunan di koridor-koridor pembangunan yang telah dikenalpasti. Bagi sektor alam sekitar, banyak dasar telah digubal dan di antaranya ialah DS55 iaitu pembangunan secara mapan bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kepentingan alam sekitar terjamin. Sebanyak 13 langkah telah digariskan untuk menterjemahkan dasar ini dan semua ini terkandung dalam RSNPP 2020.
Berdasarkan kepada dasar yang digariskan dalam RSNPP 2020 tersebut, Kerajaan Negeri sedang meneliti dan memberi perhatian ke atas usaha-usaha berikut:
i. Faktor alam sekitar akan terus disepadukan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan yang melibatkan guna tanah;
ii. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memperkemaskan garis panduan pembangunan tanah yang spesifik bagi membolehkan pemaju melaksanakan projek pembangunan dengan sempurna;
iii. Input alam sekitar akan terus diambil kira untuk memastikan pelaksanaan pelan perancangan pembangunan projek kecil yang tidak memerlukan kajian Laporan Impak Alam Sekitar (EIA). Projek yang berkemungkinan menyebabkan pencemaran alam akan ditempatkan jauh dari kawasan sensitif dan langkah kawalan untuk mencegah dan meminimumkan pencemaran alam sekitar akan diambil kira;
iv. Syarat-syarat kelulusan Laporan EIA juga akan diperketatkan bagi projek-projek pembangunan yang berisiko tinggi terhadap alam sekitar; dan
v. Mengambil langkah pencegahan awal dan melaksanakan prinsip berhati-hati dalam menangani isu pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang mapan seperti berikut:
a. mengurangkan bahan pencemaran dan sisa daripada aktiviti perbandaran dan perindustrian untuk menangani pencemaran udara, mengatasi kemerosotan kualiti air dan pelupusan sisa;
b. menggalakkan pihak industri mengambil langkah pengawal-aturan sendiri;
c. menggalakkan pengukuran prestasi alam sekitar dan memperkukuh pangkalan data bagi membuat keputusan tentang alam sekitar; dan
d. mempertingkatkan perancangan guna tanah, pemuliharaan kepelbagaian biologi dan pengurusan hutan yang mapan serta pengurusan hal-ehwal laut.
Pada masa ini, Kerajaan Negeri akan mengawal pembangunan dan mencegah pencemaran mengikut undang-undang dan keperluan lain serta menambahbaik program alam sekitar secara berterusan untuk menjadikan negeri yang bersih, indah dan bebas daripada pencemaran. Langkah awal ini telah diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menggunapakai sistem MS ISO 14001:2004. Antara peranan yang dimainkan oleh PBT di bawah MS ISO ini adalah:
1) Meningkatkan kesepakatan komuniti untuk penambahbaikan alam sekitar secara berterusan;
2) Memantau effluent mengikut standard yang ditetapkan;
3) Melaksanakan pengurusan sisa pepejal yang teratur;
4) Melaksanakan program pengindahan secara berterusan dan komprehensif;
5) Merancang, mengawal dan melaksanakan pembangunan infrastruktur bersesuaian dengan kehendak alam sekitar; dan
6) Mematuhi undang-undang dan garis panduan alam sekitar.
Pelaksanaan program pengawasan dan penguatkuasaan daripada punca pencemaran seperti pelepasan effluent industri, pelepasan pencemar udara dan kawalan buangan terjadual juga sentiasa dilakukan secara berkala. Selain itu, zon penampan antara kawasan industri dan kawasan penempatan yang dirancang akan dipastikan mempunyai jarak yang mencukupi supaya kacau ganggu seperti pencemaran bau, bunyi dan pencemaran lain dapat dielakkan. Di samping itu, program pemantauan status kualiti udara, air sungai dan air marin akan dipastikan ia dilaksana seperti biasa.
Kerajaan Negeri juga sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam aktiviti menambah kehijauan di negeri ini. Pelbagai kajian telah dibuat yang menunjukkan impak positif penanaman pokok teduhan bagi mengurangkan impak Green House Gas. Pokok teduhan terutama daripada jenis hutan tropika bertindak mengurangkan suhu (climate) melalui penyerapan gas karbon dioksida dari atmosfera. Proses transpirasi yang membebaskan wap air ke udara seterusnya menambahkan bilangan awan, serta menyerap pantulan cahaya matahari terik. Atas sebab inilah Kerajaan Negeri akan mempastikan semua program penghijauan yang dijalankan oleh agensi kerajaan sebelum ini dibuat secara berterusan. Di antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
1) Program penanaman pokok di Kawasan tanah lapang Tingkat Permai, Gelugor bersama kilang Agilent Technologies dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang;
2) Program penanaman pokok kelapa di pembahagi Jalan Batu Feringghi (di hadapan hotel dan di kawasan pantai Tanjung Bungah) bersama pihak Hotel Sandy Beach Paradise, Crown Prince Jewel, Park Royal dan Sekolah Antarabangsa Dalat;
3) Program penanaman pokok kelapa dan bunga raya di kawasan pantai Hotel Golden Sands, Batu Feringghi; dan
4) Penanaman pokok bunga raya di kawasan Zon Perindustrian Bebas bersama kakitangan kilang berhampiran dan kakitangan jabatan kerajaan.
Dalam mewujudkan sebuah pembangunan yang lestari (sustainable development), Kerajaan Negeri sebenarnya telahpun mengintegrasikan dimensi alam sekitar dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan di negeri ini. Kelulusan sesuatu projek akan mengambilkira penilaian impak projek tersebut kepada alam sekitar, guna tanah sekitarnya serta RSNPP 2020.