MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Pihak manakah yang bertanggungjawab dalam pembersihan dan penyelenggaraan infrastruktur berikut: (a) Longkang simen/tanah yang dibina/dinaiktarafkan di bawah projek PIA/PIAS di kampung. (b) Jalan mini tar yang dibina/dinaiktarafkan di bawah projek naik taraf jalan kampung. (c) Jalan dan longkang yang sedia ada di Perkampungan Baru Cina.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan
Pembersihan longkang simen yang dibina atau dinaiktaraf di bawah projek PIA / PIAS di kampung dilaksanakan berdasarkan kriteria berikut :

(a) Sekiranya parit simen dibina atau dinaiktaraf oleh Pejabat Daerah dan Tanah, pembersihan akan dibuat secara gotong royong oleh JKKK dengan kerjasama pihak Qaryah serta Pejabat Belia dan Sukan dengan menggunakan peruntukan elaun kemasyarakatan sebanyak RM1000 setahun yang disediakan kepada setiap JKKK. Sekiranya parit simen dibina atau dinaiktaraf oleh Pihak Berkuasa Tempatan, pembersihan akan dibuat secara berkala oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Penyelenggaraan parit simen bergantung kepada agensi yang melaksanakan projek tersebut iaitu sama ada Pejabat Daerah dan Tanah atau Pihak Berkuasa Tempatan. Makluman mengenai kerosakan parit tersebut biasanya akan dilaporkan oleh JKKK kepada Pejabat Daerah dan maklumat akan disalurkan kepada agensi berkaitan melalui surat atau Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah yang diadakan sebulan sekali yang dihadiri oleh semua ADUN, Ahli Parlimen dan jabatan berkaitan.

Pembersihan dan penyelenggaraan parit tanah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

(b) Penyelenggaraan jalan mini tar yang dibina atau dinaiktaraf melalui projek naik taraf jalan kampung akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya.

(c) Penyelenggaraan jalan dan longkang sedia ada di Perkampungan Baru Cina bergantung kepada agensi pelaksana sama ada daripada Peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau dari Peruntukan ADUN. Sekiranya ianya daripada peruntukan KPKT, penyelenggaraan akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan sekiranya daripada peruntukan ADUN, penyelenggaraan akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah.

Pembersihan longkang yang dibina atau dinaiktaraf oleh Pejabat Daerah dan Tanah dilakukan sendiri oleh JKKK yang menerima projek berkenaan secara gotong royong menggunakan elaun kemasyarakatan sebanyak RM1000 setahun yang diberikan kepada setiap JKKK.

Kembali