Jawapan
Projek Wireless@Penang merupakan antara perancangan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kadar penembusan pengguna jalur lebar kepada 50% isi rumah pada penghujung 2010 iaitu selaras dengan sasaran negara. Inisiatif ini juga merupakan salah satu sasaran Kerajaan Negeri untuk meningkatkan daya saing Pulau Pinang serta merapatkan jurang digital di kalangan rakyat Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga berhasrat supaya kemudahan internet dapat disediakan kepada rakyat Pulau Pinang berlandaskan kepada konsep 3 A; iaitu Accessibility, Availability dan Affordability.
Hasrat Kerajaan Negeri ini disambut baik oleh pihak syarikat telekomunikasi melalui pelancaran 2 projek utama di Pulau Pinang:
(a) Penang Free WiFi oleh jalinan kerjasama antara Syarikat REDtone Telecommunications Sdn. Bhd. dan Syarikat Hotgate Technology (M) Sdn. Bhd. dilancarkan pada 18 September 2008.
(b) WiMAX@Penang oleh Syarikat Packet One (P1) Networks (M) Sdn. Bhd. dilancarkan pada 25 September 2008.
Kedua-dua projek ini merupakan inisiatif pihak swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat-syarikat terlibat. Bentuk kerjasama Kerajaan Negeri adalah sebagai pemudah cara bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya. Kerajaan Negeri juga mengambil pendirian terbuka dan sangat mengalu-alukan mana-mana syarikat telekomunikasi rangkaian untuk menyediakan perkhidmatan rangkaian berdasarkan konsep 3A supaya inisiatif Wireless@Penang dapat direalisasikan.
Projek Penang Free WiFi akan menawarkan perkhidmatan capaian Internet tanpa wayar (WiFi) secara percuma kepada rakyat Pulau Pinang. Sebanyak 750 hotspot akan dipasang secara berfasa dalam tempoh 15 ke 24 bulan di lokasi-lokasi awam di seluruh Pulau Pinang.
Manakala projek WiMAX@Penang lebih fokus dalam menyediakan perkhidmatan capaian internet tanpa wayar melalui teknologi terkini WiMAX yang mempunyai liputan dan kapasiti/bandwidth internet yang lebih tinggi. Perkhidmatan berbayar mampu milik ini disasarkan untuk kegunaan aktiviti-aktiviti yang memerlukan bandwidth yang tinggi khususnya di kalangan sektor korporat dan kormersial. Di samping itu, projek WiMAX@Penang juga akan menyediakan hotspot WiFi di atas rangkaian WiMax untuk capaian rakyat Pulau Pinang secara percuma dan mudah. Projek WiMAX@Penang akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 18 ke 24 bulan di lokasi-lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di bahagian pulau dan Seberang Perai.
Langkah-langkah perbincangan antara pihak syarikat dengan penduduk setempat akan dirancang selari dengan pelan pelaksanaannya secara berfasa jika diperlukan. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengatur Forum Awam Wireless@Penang pada 8 November 2008 di Geodesic Dome, KOMTAR. Objektif forum ini adalah untuk memberi maklumat dan penjelasan kepada orang awam mengenai isu-isu radio frequency radiation serta electromagnetic field (eml).