Jawapan
Y.B. TUAN ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
29. Potensi terhadap permintaan produk serta perkhidmatan halal terus meningkat di peringkat domestik mahupun global. Oleh itu, Pulau Pinang sebagai pusat pembuatan dan perdagangan bertaraf antarabangsa akan merebut peluang ini dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai Hab Produk Halal bertaraf antarabangsa.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha untuk merebut peluang perdagangan halal pada masa ini dan beberapa langkah telah dirangka bagi mencapai matlamat tersebut seperti berikut:-
a. Mengenal pasti kawasan perindustrian di Batu Kawan sebagai Halal Park untuk industri baru.
b. Mengenal pasti kawasan di Balik Pulau sebagai kawasan pelancongan dan pelancongan kesihatan (Health Tourism) berkonsep halal antarabangsa.
c. Menubuhkan taskforce yang dianggotai oleh:
i. Persatuan Produk Halal Pulau Pinang (Halal Penang);
ii. Konsortium Syarikat Logistik Halal (Halal Logistik);
iii. Penang Joint Chambers Corporation;
iv. SMI / SME;
v. Matta;
vi. Penang Tourism Corporation;
vii. Invest Penang; dan
viii. Wakil Halal Industry Development Corporation (HDC).
d. Mengumpul dan mendaftarkan semua pengeluar produk halal, perkhidmatan dan logistik industri halal sedia ada.
e. Mempromosi Pulau Pinang sebagai hab halal dunia dan menjemput pelabur antarabangsa untuk melabur di sini dalam bidang pengeluaran, perkhidmatan, logistik dan lain-lain.
f. Menyediakan pemasaran produk halal di dalam dan luar negeri.
g. Bekerjasama dengan pengusaha produk halal dari selatan Thailand.
h. Bekerjasama dengan penguasa produk halal dari utara Sumatera dan Acheh.
Selain itu, pelbagai usaha telah diambil oleh Y.B. Pengerusi Jawatankuasa MMK Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi menjayakan rancangan Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Hab Halal Antarabangsa. Antaranya ialah dengan mengadakan lawatan ke Dubai, Riyadh dan Jeddah. Hasil daripada lawatan tersebut mendapati terdapat beberapa kumpulan syarikat besar seperti dewan-dewan perniagaan di Dubai dan Riyadh serta bank-bank komersial telah menunjukkan minat terhadap inisiatif Kerajaan Negeri ini. Buat permulaan beberapa syarikat besar dan sederhana akan mula mengunjungi Pulau Pinang bagi meneruskan perbincangan mengenai beberapa projek.
Hasil daripada lawatan tersebut juga telah memperluaskan jaringan pengetahuan dan hubungan kerjasama di antara Negeri Pulau Pinang dan negara-negara di Timur Tengah dalam pelbagai sektor seperti berikut:
a. Beberapa buah rangkaian hotel berkonsepkan halal dari Dubai telah bersetuju bagi membincangkan mengenai pengurusan hotel di Pulau Pinang.
b. Perbincangan awal juga telah diadakan bagi mengadakan penerbangan terus dari Timur Tengah ke Pulau Pinang.
c. Sebuah kumpulan syarikat juga berminat dalam industri penternakan lembu dan kambing serta pemprosesan daging halal.
Y.B. Pengerusi Jawatankuasa MMK Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga bercadang untuk mewujudkan Penang Halal Fund. Selain itu, Seminar Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang akan diadakan pada penghujung November 2008 dengan kerjasama HDC dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia serta Seminar Promosi Berteraskan Hab Halal Antarabangsa akan diadakan pada penghujung Januari 2009 melibatkan penyertaan bakal-bakal pelabur yang berminat untuk melabur di Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun, peruntukan bagi pembangunan hab halal di Pulau Pinang masih belum disediakan.