Jawapan
Walaupun kumpulan penjaja merupakan salah satu penyumbang kepada ekonomi Negeri Pulau Pinang, aktiviti mereka perlu dikawal agar tidak menimbulkan masalah terutama dari aspek kebersihan persekitaran dan kesesakan lalu lintas. Untuk makluman, sejumlah lebih kurang 3,000 penjaja tanpa lesen sedang berniaga di kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang beroperasi di tempat-tempat yang kurang sesuai seperti di tepi jalan, atas gegili jalan dan sebagainya.
Bagi menangani isu-isu berkaitan pihak MPPP telah mengambil langkah-langkah berikut :
(i) Jangka masa pendek
(a) Mengisikan kekosongan gerai-gerai MPPP dengan mengadakan sesi temu duga secara berjadual empat (4) kali sebulan. Dari Mei hingga September 2008, seramai 981 pemohon telah ditemu duga dan 204 orang telah ditawarkan gerai MPPP; dan
(b) Mempertingkatkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan. Sehingga September 2008, sebanyak 9,464 kompaun telah dikeluarkan dan sejumlah 264 tindakan rampasan telah diambil ke atas penjaja tanpa lesen di kawasan MPPP.
(ii) Jangka masa panjang
(a) MPPP akan menyediakan lebih banyak kemudahan perniagaan kecil mengikut keperluan di kawasan yang sesuai; dan
(b) Satu kajian sedang dijalankan oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membantu MPPP untuk merangka pelan dan strategi jangka masa panjang berkaitan dengan kawalan aktiviti penjaja.
Di samping itu, pihak swasta juga digalakkan mengadakan lebih banyak pusat makanan yang menarik sebagai alternatif untuk penjaja menjalankan perniagaan.
Sementara itu bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sedang merangka Pelan Induk Penjaja bagi mencari jalan untuk mengatasi masalah penjaja di kawasan mereka. Satu bengkel akan diadakan pada 5 dan 6 November 2008 bagi merangka pelan induk ini.