Jawapan
16. Strategi PDC untuk jangka pendek ialah untuk mendapatkan penyewa utama atau ‘anchor tenant’ bagi mengisi dua ruang pasaraya yang masing-masing telah dikosongkan oleh Super KOMTAR dan Parkson (Aktif Lifestyle/Yaohan) sebelum ini.
Pihak PDC telahpun berjaya mendapatkan Pacific Hypermarket & Departmental Store Sdn. Bhd. (Pacific) untuk mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Super Komtar sebelum ini. Surat Perjanjian Penyewaan telahpun ditandatangani pada 26 September 2008 yang lalu.
PDC juga akan terus memberi keutamaan untuk mencari penyewa yang sesuai bagi mengisi ruang bekas Parkson (Aktif Lifestyle/Yaohan). Pihak PDC menyedari bahawa pengisian ruang kedua-dua ruang pasaraya ini merupakan salah satu kunci utama kepada usaha untuk menarik semula pengunjung ke KOMTAR.
Di samping itu, menyedari akan usia bangunan KOMTAR kini, pihak PDC juga telah menjalankan pelbagai kerja penambah baikkan, pembaikan dan penggantian di beberapa bahagian di KOMTAR. Ini bagi memastikan KOMTAR sentiasa berada dalam keadaan yang baik dari segi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Kerja-kerja sebegini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Untuk kepentingan jangka panjang, PDC juga sedang melihat akan kemungkinan untuk mengkaji tata atur (‘layout’) di Blok Podium bagi mengkaji bagaimana ianya boleh dibuat penambahbaikan seperti memperbaiki arah aliran pengunjung, percampuran aktiviti perniagaan (trade-mix) dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, pihak PDC juga sedang berusaha untuk memperbaiki aspek keselamatan dan penyelesaian masalah tempat letak kereta demi untuk memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung agar mereka berasa lebih selesa dan selamat apabila berkunjung ke KOMTAR. Ini juga akan memberikan manfaat kepada para peniaga di KOMTAR.
(a) Pengurusan KOMTAR pada masa ini dikelolakan oleh Syarikat PDC Setia Urus Sdn. Bhd. (PDCSU) yang merupakan anak syarikat milik penuh PDC. Ia akan terus beroperasi sehingga Badan Pengurusan Bersama/Perbadanan Pengurusan dibentuk dan pada ketika itu pihak Badan Pengurusan Bersama/Perbadanan Pengurusan berkenaan akan menentukan agen pengurusan bangunan yang ingin mereka gunakan untuk menguruskan KOMTAR. Pihak Pesuruhjaya Bangunan (MPPP) baru-baru ini telah meluluskan permohonan Jawatankuasa Pemulihan KOMTAR yang dipengerusikan oleh Y.B. Tuan Ng Wei Aik agar tempoh penubuhan Badan Pengurusan Bersama untuk KOMTAR ditangguhkan kepada bulan April 2009.
(b) Pihak PDC sememangnya dari semasa ke semasa berusaha memperbaiki kedudukan KOMTAR bagi merancakkan kembali perniagaan di situ. Pengumuman strategi- strategi perniagaan tidak wajar diumumkan secara meluas kerana kadangkala boleh menjejaskan kepentingan dan keputusan perniagaan terutamanya usaha menarik peniaga/gedung-gedung utama. Namun begitu, sebarang perkembangan terbaru yang telah kukuh akan sentiasa diumumkan.
Sebagai contohnya, kedatangan Pacific yang akan menjadi ‘anchor tenant’ yang baru bagi mengambil alih bekas ruang Super KOMTAR yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan Negeri semasa majlis menandatangani Surat Perjanjian Penyewaan oleh Pacific dan PDC pada 26 September 2008 yang lalu.