Jawapan
Projek pembangunan hartanah dan eko pelancongan di atas tapak seluas 80 ekar di Pulau Jerejak adalah milik Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIR), sebuah syarikat usahasama di antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan UDA Holdings Berhad (UDA) dengan ekuiti 49 peratus dan 51 peratus masing-masing. Berdasarkan perancangan TIR, pembangunan Pulau Jerejak ini merangkumi tiga (3) fasa seperti berikut:-
Fasa 1
Projek yang telah dibangunkan di Fasa 1 ialah Jerejak Resort & Spa (JRS) yang telah bermula operasi pada 27 Januari 2004. Keluasan tanah di Fasa 1 adalah sebanyak 20.2 ekar.
Perancangan pembangunan baru adalah merupakan tambahan ke atas baki tanah di fasa ini bagi menampung pembangunan sedia ada dan merangkumi hillside villa, bungalow villa, studio lodge, studio chalet, suite chalet dan floating chalet.
Fasa 2
Cadangan komponen pembangunan di Fasa 2 yang merangkumi keluasan tanah sebanyak 30 ekar terdiri daripada dua (2) pakej. Pakej A merangkumi seafront villa, hillside villa, hillside townhouse dan waterfront plaza dan jetty; manakala Pakej B merangkumi komponen komersil dan hotel, taman tema air, muzium dan galeri serta marina.
Fasa 3
Cadangan komponen pembangunan di Fasa 3 yang merangkumi keluasan tanah sebanyak 29.8 ekar terdiri dari banglo korporat, marina dan health villages.
Berdasarkan kepada perancangan yang dinyatakan dalam Pelan Induk NCER (NCER Blueprint), Pulau Jerejak akan dibangunkan semula sebagai sebuah pusat peranginan mewah dan pelancongan perubatan yang disokong oleh rangkaian pengangkutan bersepadu di antara pulau dan tanah semenanjung.
Sime Darby selaku penyedia kepada NCER Blueprint pada masa ini sememangnya ada menyatakan minat untuk merealisasikan perancangan NCER ke atas Pulau Jerejak. Pada masa ini, Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa perkara ini masih lagi di peringkat cadangan dan sedang diteliti daya maju projek ini sebelum kertas cadangan yang lengkap disediakan dan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.
Justeru itu, Kerajaan Negeri buat masa ini tidak dapat menyatakan secara terperinci perancangan Sime Darby kerana cadangan lengkap masih belum disiapkan.