MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Untuk memajukan Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi perubatan yang terutama di negara ini, adakah Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk meningkatkan taraf dan mengawal amalan perubatan tradisional di Pulau Pinang.
Dun -
Exco PBP
Perkara Kesihatan

Jawapan
Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat meningkatkan taraf dan pengawalan amalan perubatan tradisional di Malaysia kerana perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Pusat sememangnya mempunyai rancangan untuk meningkatkan taraf dan pengawalan amalan perubatan tradisional di Malaysia melalui penggubalan Dasar Perubatan Tradisional dan Komplementari Kebangsaan serta penggubalan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari. Akta ini akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat ini.

Pendekatan ini dilakukan bersama dengan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.




Dasar Perubatan Tradisional/Komplementari Kebangsaan

Dasar Perubatan Tradisional/Komplementari Kebangsaan telah digubal melalui Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia dan dilancarkan pada 2001. Antara lain, dasar ini menggariskan polisi Kerajaan Malaysia yang mempunyai wawasan bagi mengintegrasikan perubatan tradisional dan komplementari di dalam Sistem Kesihatan Kebangsaan.

Lima strategi telah dikenal pasti dan digubal, iaitu dalam amalan, produk, pendidikan/latihan, penyelidikan dan kolaborasi antarabangsa. Dasar ini mempunyai tujuan utama bagi memperkukuhkan peranan perubatan tradisional/komplementari di dalam Sistem Kesihatan Kebangsaan dan membantu ke arah penggabungan rangkaian penjagaan kesihatan yang integratif yang mampu memberi manfaat kepada pengamal perubatan dan juga orang ramai.

Akta Perubatan Tradisional/Komplementari

Akta Perubatan Tradisional/Komplementari yang sekarang dalam proses penggubalan akan di bentangkan di Parlimen dalam masa terdekat ini. Antara lain Akta ini akan memastikan keselamatan, keberkesanan dan kualiti dalam amalan serta kemudahan yang disediakan oleh pengamal perubatan tradisional ini. Selain daripada itu, akta ini juga akan dapat mempertingkatkan perkembangan perubatan tradisional dan komplementari di negara ini.

Akta ini juga akan memperkukuhkan perubatan tradisional dan komplementari melalui pendaftaran pengamal-pengamal, penguatkuasaan amalan yang selamat, perlesenan premis-premis, piawaian program-program latihan serta sistem akreditasi untuk pusat-pusat latihan.


Pendekatan yang akan dilaksanakan ini akan dapat membantu menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi perubatan yang utama. Ini adalah sejajar dengan Arahan Kabinet yang dikeluarkan pada Januari 2006 berkaitan dengan konsep Perubatan Integratif.

Kembali