Jawapan
Kerajaan telah menetapkan matlamat atau sasaran untuk meningkatkan pengeluaran padi pada purata 10 tan metrik sehektar pada tahun 2010.
Langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan melalui jabatan dan agensi-agensi di bawahnya untuk meningkatkan pengeluaran padi dan bahan-bahan makanan yang bersumberkan kepada pertanian ialah :
1. Menggalakkan transformasi pertanian secara menyeluruh.
Transformasi pertanian dilakukan merangkumi 2 aspek iaitu melalui transformasi ladang dan transformasi tenaga.
i. Transformasi Ladang
Beberapa program diwujudkan dalam usaha untuk merealisasikan transformasi ladang. Antaranya:
a. Projek Berkelompok.
Pelaksanaan Projek Berkelompok adalah satu usaha untuk menyatukan kebun-kebun kecil petani yang dilaksanakan secara individu menjadi ladang-ladang yang dilaksanakan secara komersil. Melalui projek-projek berkelompok, pengurusan ladang dapat dilakukan secara lebih ekonomik contohnya melalui input-input pertanian secara pukal dan penyediaan infrastruktur ladang secara bersepadu.
Pengawalan pengeluaran juga dapat dilakukan secara matriks tanaman bagi mengatasi masalah lambakan pasaran. Pengurusan secara berkelompok juga lebih memudahkan penyampaian teknologi terkini terutamanya melalui Amalan Ladang Yang Baik (Good Agricultural Practice) yang mana secara tidak langsung meningkatkan kualiti tanaman dan harga.
b. Program Pembangunan Tanah Terbiar.
Hasrat utama pelaksanaan Program Pembangunan Tanah Terbiar adalah untuk mendapatkan tanah-tanah yang boleh dimajukan dengan aktiviti pertanian.
Tanah-tanah yang dikenalpasti berpotensi dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur ladang seperti jalan ladang, sistem perparitan bagi memastikan ia sesuai untuk aktiviti pertanian.
c. Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Pelaksanaan Pembangunan TKPM adalah bertujuan untuk mewujudkan kawasan pertanian kekal bagi pengeluaran makanan terpilih secara intensif dan moden yang merangkumi unsur-unsur penyelidikan dan pembangunan, pendidikan, pelancongan dan pemeliharaan alam sekitar.
d. Projek Padi 10 Tan.
Pengeluaran hasil padi semasa dengan purata 3 hingga 4 tan metrik sehektar. Nilai pengeluaran ini, selain hanya menampung 70 peratus keperluan negara, ia juga tidak memberikan pulangan yang sewajarnya kepada golongan petani.
Bagi tujuan tersebut, matlamat untuk meningkatkan pengeluaran padi pada purata 10 tan metrik sehektar pada tahun 2010 telah ditetapkan. Melalui program ini pakej pengurusan tanaman disediakan mampu untuk mencapai matlamat tersebut. Selain itu, insentif tanaman padi turut disediakan bagi memberi suntikan kepada petani meningkatkan hasil pengeluaran padi iaitu Insentif Peningkatan Pengeluaran Padi.
e. Pembangunan Industri Asas Tani.
Pembangunan Industri Asas Tani adalah program penting yang menyokong program pembangunan tanaman makanan. Melalui program ini produk-produk makanan yang dikenalpasti mampu dipasarkan dan dimajukan dengan kualiti yang lebih baik, persembahan yang lebih menarik dan sebagainya.
f. Perlaksanaan Pelan Imbangan Perdagangan (Balance Of Trade - BOT).
Antara isu utama dalam bidang pertanian yang sedang dihadapi negara pada masa ini ialah defisit perdagangan makanan yang begitu besar dan kian meningkat. Melalui BOT tanaman-tanaman yang berpotensi akan dikenalpasti untuk dieksport ke luar negara. Antaranya adalah seperti pisang dan mangga yang telah mendapat tempahan pasaran di luar negara. Beberapa jenis tanaman sayur-sayuran juga telah dikenalpasti untuk dimajukan bagi menggantikan sayur-sayuran yang sering diimport dari luar negara.
ii. Transformasi Tenaga
Beberapa program diwujudkan dalam usaha untuk merealisasikan transformasi tenaga. Antaranya :
a. Transformasi Pengamalan Ladang.
Usaha giat sedang dijalankan untuk transformasi pengamalan ladang yang menekankan kepada penggunaan mekanisasi ladang, automasi dan teknologi moden;
b. Penggalakkan Penglibatan Pihak Swasta.
Penglibatan pihak swasta dalam membangunkan industri pertanian negara akan terus digalakkan. Penglibatan pihak swasta amat perlu kerana keupayaan mereka dari segi modal, pembangunan teknologi dan jaringan pemasaran; dan
c. Penglibatan Usahawan/Belia.
Usahawan muda dan golongan belia sentiasa digalakkan untuk menyertai bidang pertanian secara satu bidang baru dalam pembangunan ekonomi. Ini adalah kerana golongan ini dilihat mampu menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan dan mereka berupaya berubah sepenuhnya. Bidang ini dari pengamalan pertanian secara tradisional kepada bidang yang lebih moden, dinamik dan berdaya saing.
2. Menyediakan Pelan Tindakan Komprehensif Jaminan Bekalan Makanan. Pelan ini meliputi usaha seperti berikut iaitu:
i. Perlaksanaan pelan tindakan untuk meningkatkan pengeluaran beras yang merangkumi penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, perataan tanah sawah, peningkatan kesuburan tanah, kawalan makhluk perosak, pemilikan jentera dan mekanisasi ladang dan kempen meningkatkan kesedaran pesawah untuk mengurus dan meningkatkan pengeluaran padi;
ii. Perlaksanaan pelan tindakan projek bagi sub-sektor tanaman makanan mencakupi Program Bumi Hijau dan pengurusan tanah terbiar; dan
iii. Pemberian insentif pengeluaran tanaman makanan (buah-buahan dan sayur-sayuran). Bagi tujuan ini. petani akan diberi insentif sebanyak RM81 bagi setiap tan pengeluaran sayuran dan RM78 bagi setiap tan pengeluaran buah-buahan.
3. Menyediakan Insentif Peningkatan Hasil dan Pengeluaran padi.
Antara insentif yang ditawarkan ialah:
a. Insentif peningkatan hasil untuk petani yang dapat meningkatkan pengeluaran sekurang-kurangnya 1 peratus berbanding dengan hasil musim asas pada kadar RM650 bagi setiap tan metrik sehektar;
b. Insentif RM650 bagi pengeluaran yang mencapai hasil 10 tan metrik sehektar; dan
c. Insentif upah membajak dan bantuan input pertanian atau baja tambahan.