MESYUARAT KETIGA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Pilihan raya Kerajaan Tempatan sukar dilaksanakan atas alasan Perlembagaan mesti diubah terlebih dahulu, apakah rencana atau tindakan telah Kerajaan Negeri ambil supaya pilihan raya Kerajaan Tempatan dapat kita laksanakan dalam masa yang terdekat. Adakah benar melainkan Perlembagaan diubah kita tidak ada cara lain untuk membenarkan pilihan raya Kerajaan Tempatan dapat diadakan.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan
Terdapat dua pandangan perundangan mengenai perkara ini. Satu pandangan menyatakan pilihan raya Kerajaan Tempatan boleh dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Negeri tanpa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan atau Akta Kerajaan Tempatan, 1976. Pandangan yang lain menyatakan Pihak Berkuasa Negeri dilarang melaksanakan pilihan raya Kerajaan Tempatan sehingga Kerajaan Persekutuan meminda Akta Kerajaan Tempatan dan memansuhkan Peraturan-peraturan Darurat.

Pada 16 Jun 2008, semasa perbincangan di Forum Perundingan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang Yang Pertama untuk tahun 2008, isu ini telah dibincangkan. Berikutannya, satu Jawatankuasa Kerja Kerajaan Tempatan telah diwujudkan atas perakuan Unit Kerajaan Tempatan Negeri. Jawatankuasa ini antara lain telah diminta meneliti sama ada pilihan raya Kerajaan Tempatan perlu diadakan. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato’ Dr. Anwar Fazal.

Dato’ Dr. Anwar Fazal adalah personaliti antarabangsa terkenal yang telah banyak menyumbang terhadap masyarakat dalam bidang konsumer, persekitaran kesihatan, hak manusia dan etik sosial. Beliau adalah pengasas beberapa pertubuhan tempatan dan antarabangsa. Ini termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (1969), International Baby Food Action Network (1979), Health Action International (1981) dan Pesticide Action Network (1982).

Laporan Jawatankuasa Kerja berkenaan telah dibentangkan di Mesyuarat Forum Perunding Kerajaan Tempatan Pulau Pinang Yang Kedua untuk tahun 2008 pada 14 Oktober 2008. Laporan ini antara lain menyatakan bahawa Jawatankuasa Kerja berpandangan bahawa pilihan raya Kerajaan Tempatan perlu dikembalikan memandangkan ianya adalah a fundamental pillar for citizens’ participation, transparency and accountability. Perbalahan untuk pilihan demokrasi telah dinyatakan dengan jelas dalam laporan Suruhanjaya DiRaja bagi Pihak Berkuasa Tempatan yang dikenali juga sebagai Laporan ‘Athi Nahappan’.

Laporan Jawatankuasa Kerja telah diumumkan di Mesyuarat Forum Perunding Kerajaan Tempatan Pulau Pinang Bil. 2/2008 pada 14 Oktober 2008 dan ianya akan diteliti secara terperinci oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Pihak Berkuasa Negeri juga perlu meneliti kandungan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan lain seperti berikut:-

(i) Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960.
(ii) Akta Darurat (Kuasa-kuasa Esensial) 1964 - Emergency (Essential Powers) Act 1964.
(iii) Akta Darurat (Kuasa-kuasa Esensial) 1979 - Emergency (Essential Powers) Act 1979.
(iv) Akta Kerajaan Tempatan 1976 - Seksyen 1(4), Seksyen 10, Seksyen 15(1).
(v) Perlembagaan Persekutuan - Artikel 75; Artikel 113(4), Senarai Negeri (State List).

Kerajaan Negeri sedang mengkaji perkara ini dalam semua aspek supaya tindakan yang diambil untuk mengadakan pilihanraya untuk Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang tidak menyalahi mana-mana undang-undang.


Kembali