Jawapan
58. Dalam membangunkan sektor pelancongan di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada semua kawasan secara menyeluruh. Kawasan Sungai Kerian di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan dan kawasan persekitarannya juga merupakan sebahagian daripada agenda pelancongan di Pulau Pinang. Sungai Kerian sememangnya berpotensi untuk dijadikan kawasan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Pelbagai promosi telah dilaksanakan antaranya menerbitkan risalah dan brosur mengenai kawasan tarikan pelancongan di kawasan Sungai Kerian dan kawasan sekitarnya seperti aktiviti melihat kelip-kelip, eksplorasi hutan dan gua, mencandat sotong dan menyauk kerang di samping menikmati keindahan alam sekitar dan makanan-makanan istimewa tempatan akan diteruskan. Risalah dan brosur berkaitan produk pelancongan yang terdapat di Sungai Kerian turut dibawa dan diedarkan di pameran pelancongan dalam dan luar negara. Pelancong yang melawat atau bertanyakan tempat-tempat menarik di Pulau Pinang akan diterangkan mengenai tempat tarikan pelancong di sekitar Sungai Kerian dan kawasan sekitarnya, khasnya keistimewaan mencandal sotong dan melihat kelip-kelip.
Usaha bagi memajukan kawasan Sungai Kerian dan kawasan sekitarnya sebagai destinasi pelancong akan diteruskan. Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP 2020) turut menggariskan beberapa cadangan untuk memajukan kawasan Sungai Kerian sebagai destinasi pelancongan tanpa menjejaskan keadaan semula jadi kawasan tersebut.
Selain daripada itu sejumlah peruntukan telah diberikan dibawah pembangunan projek-projek pelancongan di bawah RMKe-9 di Nibong Tebal iaitu pembangunan kemudahan infrastruktur dan aktiviti rekreasi hutan lipur iaitu di kawasan Hutan Lipur Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan.
Usaha berterusan akan terus diambil bagi mempromosi Sungai Kerian dan kawasan sekitarnya sebagai kawasan tarikan pelancong di Pulau Pinang dan diharap melalui aktiviti ini, ianya akan membantu meningkatkan taraf ekonomi di kawasan tersebut.