MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/11/2009
Soalan Sila kemukakan senarai tanah-tanah di bawah jagaan JPS di seluruh Negeri Pulau Pinang dengan terperinci termasuk keluasan/lokasi/plot/lot/lain-lainnya?
Dun -
Exco Y.B. TUAN LAW CHOO KIANG
Perkara Tanah

Jawapan

Y.B. TUAN LAW CHOO KIANG
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
1. Tanah-tanah di bawah jagaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan kawasan yang dibangunkan dengan prasarana pengairan, saliran dan tebatan banjir. Di kawasan pengairan, tanah yang di bawah jagaan JPS adalah tapak rumah-rumah pam seperti Rumah Pam Bumbung Lima (SPU), Rumah Pam Pinang Tunggal (SPU), Rumah Pam Sungai Kreh (SPU), Rumah Pam Sungai Jarak(SPU), Rumah Pam Kubang Semang (SPT) serta Rumah Pam Tanah Liat (SPT) dan tapak pintu kawalan air (seperti Ibu Bekalan Sungai Jarak (SPU), Ibu Bekalan Sungai Kreh (SPU), Ibu Bekalan Sungai Kulim (SPT) dan Ibu Bekalan Sungai Junjung (SPS).
Manakala bagi kawasan saliran dan tebatan banjir, tanah di bawah jagaan JPS adalah juga merupakan tapak rumah pam dan pintu kawalan seperti Rumah Pam S18 (DTL), Rumah Pam S10 (DTL), Rumah Pam Seberang Jaya (SPT), Rumah Pam Nibong Tebal (SPS) dan Pintu Kawalan Pasang Surut Ampang Jajar Sungai Perai (SPT), Pintu Kawalan Sungai Tembus (SPU), Sungai Lahar Endin (SPU), Sungai Penaga(SPU), Sungai Pertama (SPT), Sungai Tanjung Ketupat (SPS), Sungai Nipah (DBD), Sungai Burong(DBD) serta Sungai Pinang(DBD). Selain daripada itu, terdapat juga tanah-tanah yang dibangunkan dengan prasarana kolam takungan seperti Kolam Takungan Sungai Dondang (DTL). Keluasan tapak-tapak yang disenaraikan adalah di antara 0.2 hektar hingga 0.5 hektar.
Disamping itu, terdapat juga tanah kerajaan yang merupakan rezab sungai di tebing kiri dan kanan sungai dengan lebar antara 5 meter hingga 20 meter bagi tujuan laluan jentera pengorek untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Oleh kerana kawasan rezab tersebut adalah hakmilik kerajaan, tanah tersebut tidak mempunyai nombor lot. Walau bagaimanapun, rujukan boleh dibuat di Pejabat JPS bagi mendapatkan maklumat terperinci dari pelan-pelan kawasan untuk seluruh Negeri Pulau Pinang.


Kembali