MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/11/2009
Soalan Kelemahan Majlis Perbandaran untuk mengutip sampah sampah dan membersihkan longkang-longkang masih menjadi satu masalah yang sering diadu oleh rakyat Pulau Pinang. Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memastikan Pulau Pinang bersih dan untuk memastikan Majlis Perbandaran lebih bertanggungjawab dalam isu kebersihan?
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara -

Jawapan

32. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sentiasa mengambil langkah-langkah untuk memastikan Pulau Pinang bersih dengan melaksanakan program/aktiviti seperti berikut:-

(i) Kontrak Pengurusan Sisa Pepejal MPPP telah dilaksanakan mulai 1 Januari 2007. Sebanyak tujuh (7) kontraktor telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pungutan sampah. MPPP mempunyai sistem pemantauan untuk kontraktor pengurusan sisa pepejal dengan menempatkan seorang Penyelia Kawal Selia untuk setiap kontraktor. Ia merupakan sistem Hybrid iaitu kontraktor dikehendaki mengutip semua sampah-sarap yang dikeluarkan oleh pengguna termasuk sampah dapur dan sampah pukal. Kawasan kutipan telah dibahagikan kepada lapan (8) zon yang mana satu (1) zon dikendalikan oleh MPPP sendiri. Setiap kontraktor perlu mengecat lori mereka mengikut warna yang ditetapkan oleh MPPP bagi setiap zon dan bagi tujuan pemantauan.

Waktu-waktu kutipan telah ditetapkan dan kutipan sampah dijalankan seperti berikut:-
(a) Rumah-rumah kediaman (landed property) – kutipan 3 kali seminggu (selang sehari kecuali hari Ahad).

(b) Rumah pangsa, pusat komersial – kutipan setiap hari kecuali hari Ahad.
(c) Pasar-pasar – setiap hari.

(ii) Kontrak perkhidmatan pembersihan parit dan jalan telah diperkenalkan pada bulan April 2007 yang melibatkan 34 kawasan dengan mengintegrasikan pembersihan parit dan jalan. MPPP telah mempertingkatkan pembersihan parit dan jalan di bandar George Town. MPPP membuat pemantauan ke atas parit-parit tepi jalan mengikut jadual pembersihan iaitu selang sehari bagi kawasan perumahan dan tiap-tiap hari bagi kawasan komersial.
(iii) Program-program yang dijalankan oleh MPPP untuk lebih bertanggungjawab dalam isu kebersihan adalah seperti berikut:-
(a) Operasi Combi (Ops Sinar)
(b) Operasi Anti Litter
(c) Operasi Integrasi
Ops Sinar Bersepadu adalah program pembersihan yang dijalankan pada setiap hari Jumaat terutamanya di kawasan pelancongan.

(iv) Program gotong-royong diteruskan dari semasa ke semasa dengan penglibatan orang ramai dan pertubuhan-pertubuhan sukarela. MPPP akan memberi bantuan dari segi kelengkapan dan juga tenaga kerja.

(v) Sementara di Seberang Perai, langkah-langkah yang diambil oleh MPSP untuk memastikan kebersihan adalah seperti berikut :
(i) Menubuhkan sebuah jabatan baru iaitu Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi mewujudkan pelarasan terhadap penyeliaan yang bersepadu dan lebih efisien ke atas kerja-kerja kutipan sampah, pembersihan parit, pemotongan rumput, penyelenggaraan pokok dan landskap.
(ii) Meningkatkan kesedaran dan peranan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran melalui program-program di bawah Jawatankuasa KADUN Bersih & Indah dan Program Local Agenda 21.
(iii) Pelaksanaan pengurusan aduan melalui sistem SMS bagi mempercepatkan tindakan penyelesaian.










Kembali