Jawapan
5. Untuk makluman Yang Berhormat, produk-produk pelancongan baru yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak bulan April 2008 ialah:-
(i) Penyediaan kemudahan akses internet tanpa wayar melalui perkhidmatan WIFI secara percuma dan juga WIMAX yang merangkumi Daerah Timur Laut iaitu Bandar George Town, Pengkalan Weld, Jalan Burma, persekitaran Persiaran Gurney ke Jalan Kebun Bunga hingga ke kawasan Bukit Jambul dan Bayan Mutiara. Manakala di Seberang Perai pula merangkumi kawasan Butterworth, Kampung Jawa, Kampung Perlis dan Kampung Benggali. Kerajaan akan mengambil langkah untuk memperluaskan lagi liputan internet ini ke kawasan-kawasan lain kelak. Kemudahan ini juga diharapkan dapat memberi manfaat tidak hanya kepada rakyat tempatan malahan juga kepada semua sektor pelancongan.
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Persatuan Pemandu Pelancong telah menyediakan pakej-pakej menarik yang melibatkan peranan yang dimainkan oleh MATTA Penang Chapter. Mereka telah mengambil bahagian di dalam misi-misi pelancongan dan pameran penggalakan pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa. Di antara pameran yang disertai termasuklah MATA Fairs di Singapura, MATA Travel Fair di Kuala Lumpur MATA Travel IMT-GT di Pulau Pinang, Asia Tourism Forum di Singapura, ITD di Jerman, Manchester Travel Mart, Arabian Travel Mart, European incentive and Business and Travel Meeting and Exhibition di Geneva dan lain-lain. Usaha ini juga diharap dapat mengekalkan tumpuan pasaran utama pelancong iaitu daripada Eropah, Jepun dan Australia di samping dapat menerokai pasaran-pasaran baru seperti Negara-negara Timur Tengah, India dan China. Langkah lain yang diambil ialah mempromosi Pulau Pinang sebagai destinasi pusat MICE atau Meeting Incentive Conventions and Exhibitions.
(ii) Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengadakan pesta seni
silat Nusantara, pesta perlumbaan perahu naga antarabangsa, kejohanan basikal bukit antarabangsa, kejohanan golf amatur antarabangsa, circuit satu dan dua pada bulan Jun dan Disember 2009, kejohanan jemputan bola keranjang dunia yang ke 15 untuk kaum China yang dijangka dilawati oleh lebih 3,500 orang pelawat, pertandingan memancing antarabangsa, kejohanan tarian ballroom antarabangsa, kejohanan antarabangsa boling Pesta Pulau Pinang dan Regatta Antarabangsa mengelilingi Pulau Pinang.
(iii) Di samping itu, pelbagai pakej pelancongan juga disediakan di bawah program melawat Pulau Pinang. Ini termasuklah pakej Homestay tiga (3) hari dua malam, pakej golf lima (5) hari empat (4) malam, pakej berbulan madu atau perkahwinan sepuluh (10) hari sembilan (9) malam, pakej durian tiga (3) hari dua (2) malam, pakej jejak warisan empat (4) hari tiga (3) malam, pakej jejak alam semula jadi empat (4) hari tiga (3) malam, pakej makanan Pulau Pinang, empat (4) hari tiga (3) malam dan pakej perpaduan keluarga empat (4) hari tiga (3) malam yang melibatkan kerjasama serta bantuan daripada sektor swasta yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan seperti Malaysia Association of Hotels (MAH).
(iv) Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga telah membangunkan kemudahan infrastruktur seperti projek pembangunan jeti di Batu Musang, Batu Kawan yang merupakan laluan masuk pelancong-pelancong ke Pulau Aman, Pulau Betong dan pulau-pulau lain di sekitar kawasan tersebut. Jeti ini telah pun siap dan telah mula beroperasi pada bulan November 2007.
(v) Untuk meneruskan pembangunan di kawasan Batu Kawan, Kerajaan Negeri turut mewujudkan Pusat Makanan Laut dan Galeri Kraf yang terletak bersebelahan dengan Jeti Batu Musang.
Pusat Makanan Laut dan Galeri Kraf ini akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan di kawasan SPS yang sememangnya terkenal dengan produk makanan laut. Selain dari itu, Galeri Kraf tersebut dapat memberi peluang kepada para pelancong melihat dan membeli barang-barang kraf serta hasil tangan pengusaha-pengusaha seni tempatan. Projek ini telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada tahun 2010.
Produk pelancongan baru yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sememangnya berkesan dalam menarik kedatangan pelancong ke negeri ini. Ini terbukti dengan kehadiran seramai 576,151 orang pelancong ke negeri ini pada tahun 2008. Manakala seramai 366,398 orang pelancong telah berkunjung ke negeri ini bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.