MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/11/2009
Soalan Bolehkah PBT mengkaji semula syarat dan peraturan permit kenderaan yang mengangkut haiwan peliharaan ke tempat penyembelihan, dengan mensyaratkan : (a) Kenderaan mestilah bertutup separa bonded (b) Tidak dibenarkan menyiram haiwan terutamanya khinzir kerana airnya akan mengenai penunggang motosikal, sedangkan ianya adalah najis berat bagi umat Islam dan merosakkan ibadat mereka. (c) Tidak dibenarkan bergerak pada waktu puncak.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan
3. a) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, tidak ada
peraturan atau syarat khusus berhubung mengangkut haiwan peliharaan ke tempat penyembelihan seperti dinyatakan di para (a) dan (b). Walau bagaimanapun, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) boleh meletakkan syarat-syarat tersebut pada lesen LPKP bagi menguatkuasakan pelaksanaan ini dengan mendapat pandangan daripada pihak-pihak tertentu seperti Bahagian Undang-undang LPKP, Bahagian Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras dengan Akta LPKP 1987 (Akta 334).
b) Dalam pada itu, syarat-syarat am pada lesen Pembawa
(lori) di bawah Seksyen 19(1)(b)(vii, Akta LPKP 1987 (Akta 334) memperuntukkan supaya pemegang lesen hendaklah memastikan supaya barang-barang letupan, mudah terbakar, merbahaya, mengeluarkan bau busuk yang akan mengakibatkan pencemaran alam sekitar dibawa dengan cara tertentu dan langkah berjaga-jaga hendaklah diambil berhubung dengan pembawaan barang-barang tersebut. Sekiranya cara-cara tertentu untuk membawa barang tersebut ada ditetapkan oleh Pihak Berkuasa tertentu dan pembawaan barang-barang tersebut memerlukan kelulusan daripada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan, maka peraturan dan juga kelulusan untuk membawa barang-barang berkenaan hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum barang berkenaan dibawa di dalam kenderaan yang dilesenkan.

Sekiranya kenderaan ini dibenarkan untuk membawa ternakan seperti babi, lembu, kuda dan binatang-binatang lain selain daripada ayam dan itik, kenderaan hendaklah mematuhi reka bentuk yang ditetapkan mengikut Kaedah-kaedah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika kenderaan tersebut tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, tindakan boleh diambil di bawah kaedah 92(1)(3)Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan)1959 yang memperuntukkan bahawa muatan yang dibawa mana-mana kenderaan bermotor menggunakan jalan hendaklah dibungkus dan diletakkan di dalam kenderaan supaya tidak mengotorkan jalan atau bahaya atau kesulitan kepada orang di atas jalan kerana mana-mana bahagian muatan tumpah atau bocor ke atas jalan atau kerana muatan atau mana-mana bahagian darinya mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.



Kenderaan yang dilesenkan juga hendaklah mematuhi segala peruntukan undang-undang yang menghadkan penggunaan kenderaan tersebut di jalan-jalan tertentu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mengenai jalan berkenaan. Sekiranya kenderaan ini perlu menggunakan jalan-jalan yang ada sekatan sedemikian, kebenaran pihak berkuasa mengenai jalan berkenaan hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum kenderaan yang dilesenkan boleh menggunakan jalan-jalan tersebut.
Kembali