Jawapan
17. Golongan belia yang hadir daripada kelompok di bandar dan luar bandar merupakan satu golongan belia yang perlu diberi perhatian secara saksama dalam menangani isu gejala dadah dan sosial. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah mensasarkan golongan ini dalam memastikan kelompok-kelompok ini diberikan perhatian dan pendedahan secukupnya. Malah Kerajaan Negeri juga berpegang kepada pendirian mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengalu-alukan penglibatan Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah untuk menganjurkan beberapa siri program yang melibatkan 5 daerah di Negeri Pulau Pinang, iaitu, Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Seberang Perai Tengah, Daerah Seberang Perai Selatan, Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya. Antara program yang telah dilaksanakan termasuklah kem motivasi, rekreasi dan jati diri, pameran mini, kempen, perkhemahan dan kursus kepimpinan. Program-program ini secara langsung membantu Kerajaan Negeri dalam menyampaikan mesej kepada belia agar menjauhi gejala sosial dan meningkatkan keazaman untuk membantu memacu kemajuan negeri bersama-sama dengan Kerajaan Negeri.
Melalui siri-siri program yang telah dijalankan ini, beberapa objektif dan sasaran telah ditetapkan dan dicapai iaitu:
1. Memberikan pendedahan kepada hala tuju yang tepat yang perlu diambil oleh golongan belia dalam memastikan
impian dan matlamat hidup dapat dicapai.
2. Memberikan pendedahan terhadap gejala-gejala yang tidak sihat yang mudah terpengaruh dalam hidup remaja dan belia pada masa kini.
3. Menyediakan langkah-langkah penting dalam memastikan hidup dihargai dan terkesan.
Program ini telah melibatkan seramai 50 orang peserta daripada setiap daerah dan jumlah keseluruhan adalah seramai 250 orang belia peringkat umur 17 hingga 26 yang dikategorikan mudah terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat ini.
Malah program ini telah mendapat kerjasama yang erat daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Pulau Pinang (AADK), malah AADK juga turut menyumbangkan peruntukan dan melibatkan diri secara aktif dengan program yang dijalankan dengan mengadakan pameran dan ceramah berkaitan gejala ini.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut bekerjasama erat dengan pihak Polis Pulau Pinang. Antara tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak polis untuk mengurangkan penagihan dadah di kalangan belia adalah seperti berikut:
a) Mempertingkatkan lagi operasi harian dengan
memberi tumpuan kepada lokasi-lokasi yang sering
digunakan oleh penagih dadah serta membuat tangkapan berterusan;
b) Membuat operasi berterusan di pusat-pusat
hiburan, pusat permainan komputer/kafe siber bagi
tujuan pencegahan dan tangkapan;
c) Mengadakan ceramah-ceramah di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi serta kepada persatuan-persatuan belia bagi membendung / menyekat golongan belia dari terjebak dengan dadah; dan
d) Mengadakan pameran-pameran berkaitan bahayanya kegiatan / penagihan dadah dalam aktiviti masyarakat seperti di sekolah, Institut Pengajian Tinggi, tapak ekspo dan majlis-majlis kesedaran anjuran NGO, pertubuhan belia dan jawatankuasa masjid seluruh Pulau Pinang.
Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang turut membantu Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan belia bebas dari najis dadah. Antara program yang dijalankan termasuklah:
(i) program kepada pelajar yang didapati positif
oleh makmal AADK;
(ii) melaksanakan dan menyelaras program
pendidikan pencegahan dadah di kalangan pelajar sekolah;
(iii) bekerjasama dengan jabatan, agensi dan badan luar dalam melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah kepada pelajar sekolah;
(iv) menyebarkan maklumat kepada pelajar sekolah berkaitan penyalahgunaan dadah;
(v) Melaksanakan program yang diselaras oleh Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan dengan pendidikan pencegahan dadah di sekolah;
(vi) Bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah kebangsaan dan hospital dalam menjalankan ujian urin ke atas pelajar berisiko di semua sekolah menengah untuk mengesan kes yang terlibat dengan dadah; dan
(vii) Membuat pemantauan ke atas program pendidikan pencegahan dadah yang dijalankan di peringkat sekolah.
Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam memastikan belia Pulau Pinang bebas dari belenggu dadah. AADK memberi perkhidmatan rawatan dan pemulihan terhadap semua golongan belia yang terlibat dengan dadah khususnya di Pulau Pinang. Perkhidmatan yang diberikan adalah bergantung kepada tahap keparahan yang dialami oleh golongan tersebut.
Belia-belia yang didapati menghadapi keparahan yang serius (terlibat dengan dadah dalam tempoh yang lama) akan diberi peluang untuk menjalani program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Serenti atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) sama ada di Bukit Mertajam, Kampung Selamat atau Pusat Serenti di Semenanjung Malaysia selama 2 tahun menurut kehendak Seksyen 6 (1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 melalui Perintah Mahkamah.
Manakala belia-belia yang tidak menghadapi keparahan yang serius (penagihan diperingkat awal) ianya akan diberi peluang menjalani program pengawasan dalam komuniti di AADK Daerah selama tempoh 2-3 tahun menurut Seksyen 6(1) (b) akta yang sama.