MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/11/2009
Soalan Nelayan Sungai Gelugor menghadapi masalah mengenai ketiadaan jeti baru yang kekal bagi sampan-sampan mereka. (a) Bila dan di manakah jeti kekal ini akan dibina? (b) Adakah kerajaan bercadang untuk membayar pampasan kepada 60 orang nelayan ini dan bila ianya akan dibuat. Jika tidak, kenapa?
Dun -
Exco Y.B. TUAN HAJI ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
Perkara Pertanian/Penternakan/Perikanan

Jawapan
Y.B. TUAN ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
3. (a) Kerajaan Negeri telahpun menyediakan jeti kekal untuk nelayan Sungai Gelugor dan Jelutong di Jelutong. Jeti kekal tersebut telahpun disiapkan pada tahun 2007 dan telah diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia pada November 2009. Oleh kerana, nelayan Sungai Gelugor tidak mahu berpindah ke jeti kekal tersebut, maka timbul cadangan untuk membina satu lagi jeti kekal di antara Jambatan Pulau Pinang dan Jeti Nelayan Batu Uban (kawasan jeti sementara). Buat masa sekarang, beberapa isu teknikal pembinaan jeti kekal tersebut perlu diselesaikan termasuklah isu berkaitan dengan perpindahan nelayan ke jeti sementara yang disediakan sebelum melaksanakan cadangan pembinaan jeti kekal di kawasan tersebut.

(b) Berdasarkan rekod, jumlah nelayan Sungai Gelugor yang berdaftar dan terlibat dalan kes tersebut ialah seramai 37 orang. Buat masa sekarang, kerajaan negeri tidak bercadang untuk membayar pampasan buat kali kedua kepada nelayan tersebut. Ini kerana pembayaran wang ihsan (pampasan) berjumlah RM308,000.00 telah pun dibuat kepada 28 orang nelayan Sungai Gelugor pada 9.1.2008 dan 4.3.2008.

Seterusnya, satu majlis pembayaran wang ihsan kepada 9 orang nelayan dan 44 orang awak-awak berjumlah RM143,000.00 telah diadakan pada 30.10.2009. Pada hari tersebut, hanya 7 orang nelayan dan 33 orang awak-awak sahaja yang telah hadir untuk menerima wang ihsan berjumlah RM108,000.00.
Kerajaan negeri bersedia untuk membayar baki 2 orang nelayan dan 11 orang awak-awak yang masih belum menerima wang ihsan tersebut setelah mereka bersetuju untuk berpindah dari kawasan tebus guna Jelutong Development Sdn. Bhd. ke kawasan jeti sementara yang disediakan.

Kembali