Jawapan
Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
25. Pada masa sekarang, MPPP menggunapakai Undang-undang Kecil (Anjing-anjing) MPPP, 1977. Tiada peruntukan di dalam Akta tersebut untuk mengawal atau menghadkan bilangan anjing yang dipelihara. Bagi pemeliharaan haiwan di rumah swasta, rumah pangsa dan sebagainya, MPPP juga tiada peruntukan untuk mengawal atau menanganinya. Namun begitu pihak pengurusan boleh menanganinya melalui perjanjian jual beli dalam Strata Title Act.
Pihak Persuruhjaya Bangunan (COB) hanya bertanggungjawab terhadap pengurusan bangunan bertingkat (berstrata) termasuklah rumah pangsa dan sebagainya. Kebiasaannya, semua skim pembangunan berstrata telah ada kaedah-kaedah dalaman ’ouse rules’ yang digunapakai oleh pihak pemaju/badan pengurusan yang melarang pemilik petak memelihara apa-apa binatang yang boleh menyebabkan kegusaran atau gangguan kepada mana-mana pemilik petak yang lain. Pembangunan skim berstrata juga tertakluk kepada Jadual ketiga, Akta Hak Milik Strata, 1985 (Akta 318) yang dengan jelasnya menyatakan larangan terhadap pemilik petak memelihara binatang tetapi tidak menyatakan apakah tindakan yang boleh diambil oleh badan pengurusan atau pihak berkuasa.
Manakala MPSP mengguna pakai garis panduan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi menangani masalah/memberhentikan pemeliharaan haiwan di rumah swasta, rumah pangsa dan sebagainya. MPSP akan menggeluarkan notis di bawah Akta tersebut jika mendapati pemeliharaan haiwan menyebabkan kacau ganggu.