MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Dato’ Speaker, soalan saya No. 7. 7. Siapakah yang bertanggungjawab untuk membersihkan tempat saki-baki sampah terbiar di seluruh kawasan berdekatan tong sampah yang telah dipungut oleh pemborong mengutip sampah. Apakah langkah yang akan diambil oleh pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk mencegahnya serta meningkatkan lagi taraf kebersihan/kesihatan alam sekitar dan mutu hidup rakyat jelata di Pulau Pinang?
Dun -
Exco YB. DR. TENG HOCK NAN
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Dato’ Speaker, Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sedar bahawa isu kebersihan masih menjadi rungutan orang ramai dan perkhidmatan kontraktor-kontraktor boleh ditingkatkan lagi. MPPP sentiasa dan akan terus mencari jalan untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan dan mutu hidup rakyat jelata dalam kawasan tadbirannya. Pada tahun 2001 sejumlah RM63.01 juta telah diperuntukkan untuk tujuan kebersihan. Di antara langkah-langkah yang diambil ialah meneruskan langkah mengkontrakkan lagi perkhidmatan pembersihan jalan dan parit di kawasan-kawasan perumahan sebagai usaha untuk menangani masalah kekurangan tenaga kerja. Adalah dijangkakan sekurang-kurangnya 6 lagi kawasan perumahan akan dikontrakkan perkhidmatan pembersihan pada tahun 2001.

Selain dari itu MPPP juga telah melancarkan kempen Program Perintis Kitar Semula yang melibatkan semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan, institusi pendidikan, sektor perhotelan dan lain-lain. Kempen ini diharapkan dapat memberi kesedaran dalam mengurangkan bahan-bahan buangan dan sekali gus ini akan dapat membantu MPPP menjalankan usaha pelupusan sisa pepejal dengan lebih baik dan cekap lagi.

Sejumlah RM1.5 juta telah diperuntukkan untuk Kempen Anti Nyamuk dan Kebersihan. Dengan adanya peruntukan ini, kerja-kerja gotong-royong, pembersihan dan pengindahan kawasan dapat dipergiatkan lagi. Melalui kempen ini juga masyarakat setempat dibekalkan dengan peralatan-peralatan pembersihan seperti power jet, mesin memotong rumput dan peralatan-peralatan yang lain. Dengan adanya bekalan peralatan ini dapatlah menggalakkan masyarakat tempatan menyumbang dalam menjaga kebersihan persekitaran.

Untuk makluman juga, MPPP sedang dalam usaha untuk menambahkan lagi tenaga kerja yang akan diagih-agihkan di kawasan yang tidak dikontrakkan perkhidmatan pembersihan. Dengan adanya tenaga kerja tambahan, kerja-kerja pembersihan dapat dipertingkatkan lagi.

Adalah menjadi tanggungjawab kontraktor membersihkan sebarang kekotoran yang berlaku ketika proses pengutipan sampah. MPPP sentiasa mengarah kontraktor-kontraktor supaya menjalankan kerja-kerja pengutipan sampah dengan sempurna. MPPP akan terus memantau kerja-kerja yang dijalankan oleh kontraktor-kontraktor pengutipan sampah.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan Ahli Kawasan Air Itam

Ahli Kawasan Air Itam (Y.B. Encik Lye Siew Weng):

Soalan tambahan, saya ingin tahu sehingga sekarang berapa tindakan yang telah diambil terhadap kontraktor yang tidak mengikut atau mematuhi salah satu yang telah ditetapkan dan berapa yang telah diberhentikan.

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Saya ingat saya beri jawapan kemudian. Saya siasat, saya semak, saya beri jawapan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan.

Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):

Dato’ Speaker, masalah sampah ini adalah masalah yang berulang-ulang. Rakyat mengharapkan satu perkhidmatan yang baik daripada kerajaan sama ada, pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan kebersihan dan juga kesihatan kepada rakyat. Saya dapat mengaku kita tidak boleh salahkan pihak berkuasa tempatan.

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Dato’ Speaker, meminta soalan.

Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir):

Jadi Y.B. Dato’ Speaker, apakah langkah-langkah pihak berkuasa tempatan untuk mengatasi, menangani masalah dan mengapakah kita tidak menambah tenaga kerja penguatkuasaan? Saya rasa kalau kita hendak beri pengajaran kepada rakyat untuk kebersihan dan pembuangan sampah di merata tempat kalau tanpa penguasaan yang lebih ketat yang lebih drastic sampai bilapun keadaan kita macam ini dan saya mahu jawapan yang adakah langkah-langkah untuk menambahkan unit penguatkuasaan, dan undang-undang telah ada tetapi undang-

undang tidak dilaksanakan. Saya lihat, Y.B. Dato’ Speaker, di belakang saya dapat peluang pergi ke Gold Coast di Jalan Coastal. Saya lihat di dalam outlet yang keluar ke laut di hadapan Pulau Jerejak sampah-sampah seperti bekas sisa makan rojak, plastik penuh dalam longkang, saya jumpa dengan penjaja kenapa boleh jadi begini. Dia berkata, orang makan dia buang. Mengapa tidak disediakan satu plastik hitam untuk orang makan selepas dimakan akan di masukkan ke dalam plastk ini. Jadi oleh sebab tidak ada tindakan undang-undang terhadap pembuang-pembuang sampah ini di merata tempat, saya hendak tahu apakah tindakan, sama ada berjumpa dengan JPA ataupun untuk menambahkan penguatkuasaan dalam pihak berkuasa tempatan sama ada MPPP ataupun Majlis Perbandaran Seberang Perai. Sekian.

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Cadangan daripada Ahli Yang Berhormat, Penanti memang dari satu cara untuk memastikan kerja-kerja pembersihan boleh dijamin akan tetapi saya ingat tindakan penguatkuasaan, sungguhpun penting akan bukan satu cara yang senang di kuatkuasakan kerana untuk membuang sampah hanya memerlukan satu saat sahaja dan memang penting adalah perlu tetapi bukan senang untuk menjalankan. Singapura memang berlainan sedikit dan akan tetapi pada pandangan saya yang lebih penting adalah untuk menjadikan rakyat kita supaya mereka menjadi lebih sedar tentang pentingnya kebersihan alam sekitar terhadap kesihatan dan juga keselesaan hidup mereka. Saya ingat kedua-dua kita perlu adakan pendidikan dan juga penguatkuasaan. Kita memang cuba untuk meningkatkan lagi penguatkuasaan supaya kedua-duanya dapat kita berganding sama dan kita boleh mencapai satu tahap yang lebih berkesan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan, Ahli Kawasan Batu Lancang.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Dato’ Speaker, kita tahu masalah sampah di merata-rata tempat di Pulau Pinang, saya ingin maklumkan di Pulau Pinang hanya ada 4 kontraktor sahaja yang menjaga sampah-sampah ini. Mengapakah hanya kawasan yang begitu luas hanya tinggal 4 kontraktor untuk menyelesaikan masalah sampah ini? Adakah kontraktor-kontraktor ini kawan baik Y.B. Teng Hock Nan?

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Saya ingat ini soalan nakal saya tidak perlu jawab. Saya ingat kontraktor-kontraktor yang ada mereka pun diberi sebulan demi sebulan bagi kerja-kerja pembersihan dan mengutip sampah sarap dan pelupusan sampah sarap akan diswastakan mengikut dasar kerajaan persekutuan. Dalam satu perbincangan yang lanjutan very advance decision kerana itulah kontraktor tidak diberi satu tempoh yang satu masa yang lebih panjang dan kontraktor baru tidak dilayan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan yang akhir, Y.B. Ahli Kawasan Bayan Lepas.

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):

Dato’ Speaker, saya hendak tanya mengenai isu ini berkenaan dengan peranan kedua-dua Majlis Perbandaran sebab setahu saya peranan atau tanggungjawab atas isu sampah ialah suatu peranan oleh kedua-dua pihak Majlis, peranan kontraktor ialah sebagai kontraktor sahaja. Sebagai agen kedua-dua Majlis walaupun kita ada menswastakan masa yang akan datang apa yang hendak saya tanya di sini apakah dasar daripada kedua-dua Majlis untuk mengatasi masalah ini? Sampai hari ini kita tahu ada kelemahan daripada kontraktor kita tahu ada kelemahan daripada sistem tetapi tidak ada. Saya tidak tahu adakah dasar baru ataupun cadangan dasar yang baru untuk mengatasi masalah masa panjang yang akan datang satu long term decision sebab ini saya rasa tanggungjawab kerajaan melalui kedua-dua Majlis bukan tanggungjawab kontraktor.

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):
Memang kebersihan, mengutip sampah dan pelupusan sampah ialah tanggungjawab kerajaan. Tetapi seperti dimaklumkan bahawa pengutipan sampah dan pelupusan sampah ini akan menjadi tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di mana kerja-kerja pembersihan, mengutip sampah dan pelupusan sampah pada masa moden ini perlu mengadakan kerja-kerja profesional. Atas alasan itu cadangan kementerian ialah untuk menswastakan kerja-kerja kutipan dan juga pelupusan sampah ini kepada pihak swasta. Kini pihak kerajaan negeri dalam satu jalan simpangan di mana penswastaan mengutip sampah dan pelupusan sampah ini terjejas kerana syarikat yang ditawarkan kerja-kerja ini tidak mampu untuk mengambil alih buat sementara dan setahu kerajaan negeri, kementerian atau pun EPU masih dalam perbincangan dengan syarikat ini dan syarikat-syarikat yang lain

untuk mengambil alih perkhidmatan ini. Kerana itulah dari segi pekerja kita tidak dapat tambahkan dan juga dari segi peralatan serta dari segi tukar atau pun menambahkan kontraktor-kontraktor kita masih dalam satu keadaan pembekuan.

Dato’ Speaker:

Soalan.

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):

Baru ini seperti yang dikatakan oleh Ahli daripada Kebun Bunga, nampaknya walaupun kita sedar akan diswastakan proses untuk kutipan sampah dan lain-lain tetapi dasarnya walaupun Ahli Kebun Bunga nyatakan ini adalah tanggungjawab kementerian tetapi kementerian bukan pihak yang membuat dasar. Contohnya, jika kita tiada satu dasar yang tetap atas long term dengan izin, bagaimanakah kita boleh melantik kontraktor-kontraktor yang masuk contohnya sekarang untuk buat land field, contohnya. Kalau dasarnya ialah untuk sistem land field dari segi long term, baru kita cari kontraktor yang mampu, yang layak untuk buat kerja-kerja itu. Tetapi jika kita tiada satu sistem yang tetap dari segi long term, bagaimanakah kita hendak menjalankan proses untuk mendapat atau membuat appointment untuk kontraktor yang baru. Itu yang saya hendak tanya sebab nampaknya sekarang kita bukan directly menjawab isu yang kita hadapi tetapi kita just mengambil sampah dari segi aspek micro tetapi bukan micro aspek. Saya harap untuk mendapat satu jawapan oleh sebab saya hendak tahu peranan yang serius kedua-dua Majlis ini dari segi fikiran dan tanggungjawab serta lain-lain.

Dato’ Speaker:

Ya, saya ingat ini satu pandangan. Tadi Yang Berhormat sudah beri jawapan itu.

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):

Tidak buatlah.

Dato’ Speaker:

Belum memuaskan?

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Y.B. Encik Lim Chien Aun):

Kalau macam itu Dato’ Speaker, saya hendak tahu jika jawapan itu ialah maksudnya, kita tiada satu dasar yang tetap dari segi long term. Betul?

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Apabila pengurusan sampah sarap diambil alih oleh pihak swasta secara long term dan juga dasar-dasar yang diterima akan dilaksanakan oleh pihak swasta, memang pihak kerajaan tempatan atau pun kerajaan negeri tidak akan menjadikan satu pihak yang sole responsibility dengan izin untuk membuat keputusan. Itu terbalik kerana syarikat swasta ini akan menguruskan sampah sarap atau pun sisa pepejal bukan sahaja untuk Negeri Pulau Pinang tetapi untuk seluruh Wilayah Utara iaitu termasuk Negeri Kedah, Negeri Perak dan Perlis dan sebagainya. Kerajaan negeri memang boleh memainkan satu peranan untuk menyelaraskan ataupun pihak berkuasa tempatan mungkin boleh delegate dengan kuasa untuk memantau dan menguatkuasakan sahaja.

Dato’ Speaker:

Tadi saya kata, soalan akhir tetapi tidak apalah, lama tidak dengar suara Bagan Jermal. Kita beri peluang.

Ahli Kawasan Bagan Jermal (Y.B. Dato’ Dr. Sak Cheng Lum):

Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan tambahan saya ialah adakah Yang Berhormat dari Kebun Bunga setuju bahawa the seriousness masalah yang kita bincang ialah walaupun secara langsung berkaitan dengan sampah sarap tetapi pada keseluruhan apa yang kita bincang ialah kedudukan kebersihan dan perkhidmatan dari aspek yang diberikan oleh majlis-majlis perbandaran. Adakah Yang Berhormat setuju bahawa the seriousness of the issue atau keberatan masalah yang ada berkaitan dengan masalah kebersihan Pulau Pinang ialah bukan sahaja seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat dari Penanti bahawa masalah ini adalah satu masalah berterusan (the continues problem) tetapi masalah ialah the seriousness ialah masalah ini kian lama bertambah teruk (it is becoming worst) dengan izin. Jadi memang kita hendak tahu apakah langkah-langkah yang akan dirancangkan dan apakah perubahan dari aspek polisi, pelan tindakan dan langkah-langkah yang akan diambil supaya masalah ini boleh diselesaikan dengan lebih berkesan dan lebih efisyen. Memang kita tahu masalah ada tetapi apa yang seriusnya ialah masalah bertambah semakin teruk. I think itu yang jadi masalah pokok. Terima kasih.

Ahli Kawasan Kebun Bunga (Y.B. Dr. Teng Hock Nan):

Dato’ Speaker, I think memang dari segi jangka panjang penswastaan kepada pihak swasta untuk menguruskan kerja-kerja sisa-sisa pepejal, mengutip sisa-sisa pepejal dan melupuskan sisa-sisa pepejal ini secara profesional ialah untuk jangka panjang. Buat sementara waktu, apa yang saya telah terangkan tadi kerana ada kekurangan tenaga kerja, kita menswastakan kawasan-kawasan kepada pihak swasta buat sementara untuk menguruskan kerja-kerja ini.

Dari segi penglibatan NGO daripada penduduk-penduduk seperti JKKK ataupun seperti Rukun Tetangga dan RA jika di tempat setempat, kita membekalkan alat-alat yang tertentu untuk mereka menjalankan tugas bersama-sama, kalau boleh. Kerajaan pun ada memperuntukkan lebih wang untuk menyelesai masalah ini. Ini untuk jangka pendek dan untuk jangka panjang memang kerja-kerja ini memerlukan perkhidmatan profesional. Itulah sebabnya kerajaan pusat buat keputusan supaya kerja-kerja ini diswastakan kepada pihak swasta yang lebih pakar dan lebih efisyen untuk menguruskan kerja-kerja ini.


Kembali