MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan (a) Sehingga kini berapa banyakkah pekerja kilang di Pulau Pinang dan Seberang Perai yang telah diberhentikan kerja? (b) Berapa buah kilang yang telah ditutup sejak Januari 2001 dan berapa buah kilang yang dijangka akan ditutup?
Dun -
Exco Y.B. DATO' DR. TOH KIN WOON
Perkara Perindustrian (Perusahaan)

Jawapan


11. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon untuk menjawab bersama-sama dengan soalan No. 8, soalan No. 28 ADUN Kawasan Seberang Jaya, soalan No. 31 ADUN Kawasan Bukit Tengah, soalan No. 44 ADUN Kawasan Kampong Kolam, soalan No. 51 ADUN Kawasan Bukit Tengah, soalan No. 65 ADUN Kawasan Batu Lancang dan soalan No. 68 ADUN Kawasan Batu Lancang.

Y.B. Dato’ Speaker, ekonomi negara dan negeri sebenarnya telah kembali pulih pada pertengahan tahun 1999 sehingga penghujung tahun 2000, hasil daripada strategi dan langkah-langkah yang bernas dan tegas yang diambil oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, apabila ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat mulai mengalami kelembapan yang serius sejak bulan November 2000, ianya mungkin telah menjejas ekonomi Negeri Pulau Pinang. Ini disebabkan kejatuhan ekonomi negara-negara tersebut telah mengurangkan pernintaan terhadap beberapa barangan seperti elektronik, komputer dan telekomunikasi yang menjadi eksport utama negara khususnya Negeri Pulau Pinang. Keadaan tersebut menjadi lebih meruncing dengan kejatuhan harga pasaran dunia bagi beberapa komoditi utama seperti kelapa sawit dan getah dan tempoh pelaksanaan WTO dan AFTA yang sudah hampir.

Kelembapan sektor elektronik telah menyebabkan banyak syarikat multinasional di seluruh dunia, termasuk di Malaysia dan di Negeri Pulau Pinang mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kos. Dari Januari hingga Mei 2001, dianggarkan sejumlah 7,000 perkerja atau pun 7,216 dengan tepatnya di Negeri Pulau Pinang dijangka diberhentikan secara berperingkat.

Sebagai persediaan bagi menghadapi kejadian ini, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah jangka pendek seperti berikut:-
(i) memantau keadaan tersebut secara rapi;

(ii) berusaha menyakinkan pengilang supaya tidak memberhentikan pekerja tetapi sebaliknya mengurangkan masa bekerja dan elaun;

(iii) membantu para pekerja yang diberhentikan untuk mencari pekerjaan lain melalui sistem Job Link dan memberi latihan kepada mereka; dan

(iv) menghidupkan semula “Tabung Pusingan Latihan Kemahiran Bagi Pekerja Yang Diberhentikan Kerja” yang ditubuhkan pada tahun 1997.

Sebagai persediaan untuk jangka panjang, kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah merangka beberapa strategi jangka panjang bagi menangani isu kelembapan ekonomi.

Langkah-langkah tersebut adalah seperti yang berikut:-

(i) menerokai bidang-bidang teknologi tinggi dan pengeluaran produk atau pun komponen yang baru, seperti photonics, telekomunikasi dan bio-tech;

(ii) mengekal dan mempertingkatkan tahap pengeluaran oleh kilang-kilang sedia ada dengan menggalakkan transformasi ke proses automasi dan teknologi tinggi;

(iii) mempromosikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan supaya dapat menghadapi cabaran globalisasi serta berjaya muncul sebagai global supplier yang berdaya saing di pasaran dunia;

(iv) mempromosikan k-ekonomi yang berdaya saing dan mewujudkan sebuah k-masyarakat yang maju dan berkualiti. Sebuah Majlis Ilmu Teknologi Maklumat dan Komunikasi, atau Knowledge-ICT Council. Dengan izin yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri, telah ditubuh untuk mewujudkan rangkaian perhubungan yang canggih dan lengkap dengan pelbagai aplikasi perisian yang sesuai dan berkesan, mewujudkan e-kerajaan dan e-komuniti dalam pelbagai sector ekonomi dan penggubal Pelan Induk K-ICT bagi negeri Pulau Pinang;



(v) mempromosikan penggunaan e-dagang untuk memberangsangkan sektor pengangkutan, logistik, perkhidmatan, kewangan, pelaburan dan perdagangan kerana dalam era ICT;

(vi) mempromosikan bidang pelancongan untuk meningkatkan bilangan pelancong dan mempelbagaikan sasaran pasaran. Tumpuan akan diberi untuk membangunkan dan menjayakan beberapa produk pelancongan utama yang baru seperti kawasan warisan, hutan lipur (tropical virgin rainforest) dan produk-produk eco-pelancongan dan agro-pelancongan; dan

(vii) Mempengerusikan pendidikan dan pembangunan sumber manusia khasnya dalam bidang-bidang teknologi dan pengurusan melalui kerjasama Universiti, Maktab dan Institusi Latihan.

Memandangkan sektor swasta dijangka akan mengalami kemerosotan yang lebih serius, peranan sektor awam akan dipergiatkan lagi untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Di antara langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan ialah memantau projek pembangunan dengan lebih kerap dan rapi supaya projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan pembayaran kepada kontraktor dapat disegerakan. Di samping itu, usaha akan dibuat supaya kontrak awam dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh.

Masalah ekonomi yang dihadapi seperti yang dinyatakan di atas juga telah menunjukkan kesan-kesan negatif ke atas pembangunan negeri, di mana mengikut laporan rasmi Jabatan Buruh, bagi tahun 2000 sehingga 31 Mac 2001, sejumlah 22 buah kilang telah ditutup yang melibatkan pemberhentian seramai 3,986 pekerja tempatan dan 946 pekerja asing.

Sementara itu, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2001 sebanyak empat (4) buah kilang telah ditutup dengan melibatkan pemberhentian pekerja seramai 92 orang pekerja. Kilang-kilang tersebut melaporkan bahawa penutupan adalah atas sebab-sebab tersendiri dan bukan disebabkan ekoran kemelesetan ekonomi yang dialami di Amerika Syarikat.

Pekerja yang diberhentikan disebabkan penutupan kilang dalam tahun 2000 dan tahun 2001 sehingga Mac, telah diberi faedah serta pampasan yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Jabatan Buruh. Hanya pekerja-pekerja kilang Applied Magnetic (M) Sdn. Bhd tidak berjaya mendapat pampasan.

Mereka telah memfailkan tuntutan pampasan sebanyak RM9,455,119.48 dan kes ini telah pun dirujuk ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Walau bagaimanapun hanya sebanyak RM261,666.19 sahaja yang telah dibayar kepada pekerja. Bilangan kilang pekerja yang diberhentikan serta pampasan yang dibayar adalah seperti yang berikut:-

Tahun Bilangan Kilang Tutup Bilangan Pekerja Terlibat Pampasan yang Dibayar
(T) (A)
2000 18 3895 946 RM25,375,822,59
2001 4 91 - RM 266,522.63
Jumlah 22 3986 946 RM25,642,345.22

Jabatan Buruh juga telah menerima laporan rasmi dari kilang Prai Seagate Storage Product Sdn. Bhd., di mana kilang berkenaan dilaporkan akan ditutup pada bulan Disember 2001 dan bagi bulan April 2001 ini, kilang berkenaan telah memberhentikan seramai 187 pekerja.

Di samping itu terdapat laporan di mana dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2001 sebanyak 19 buah kilang telah mengambil langkah memberhentikan seramai 1,448 orang pekerja di mana 1,396 adalah pekerja tempatan dan 52 orang adalah pekerja asing.

Dari jumlah tersebut sebanyak enam (6) buah kilang beroperasi di bahagian pulau dan keenam-enam ini telah memberhentikan seramai 47 orang pekerja, sementara yang baki 13 buah kilang beroperasi di sekitar kawasan Butterworth dan 13 buah kilang ini telah memberhentikan seramai 923 orang pekerja tempatan dan 52 orang pekerja asing.

Kilang-kilang yang memberhentikan pekerja serta bilangan pekerja yang diberhentikan bagi tempoh 1 Januari 2001 sehingga 31 Mac 2001 adalah seperti berikut:-


Nama Kilang Bilangan Pekerja Yang Terlibat
Pulau Pinang: Tempatan Asing

1. Penang Seagate Industries Sdn. Bhd. 276 -
2. Firstronic Components Sdn. Bhd 13 -
3. Fuji Fabrication Sdn. Bhd. 16 -
4. Fastron Sdn. Bhd 92 -
5. Allegiance Healthcare Sdn. Bhd. 74 -
6. EAI International Incorporation 2 -


Butterworth :

1. Hitachi Metal Elektronics Sdn Bhd. 208 -
2. Transcapital 37 -
3. Mattel Malaysia Sdn. Bhd. 25 -
4. Ruho Corporation Sdn. Bhd. 1 -
5. Tongkah Moulding Sdn. Bhd. 0 40
6. Flairis 43 0
7. Pusat Teknologi Perabot Utara 15 1
8. Chear Mine Electronics Sdn. Bhd. 14 11
9. Taipeh Plastics Sdn. Bhd. 3 -
10. Xolox (M) Sdn. Bhd. 416 -
11. Eppor Pack Sdn. Bhd. 2 -
12. Premier Frozen Dessert Sdn. Bhd. 58 -
13. Hitachi Metal Electronics Sdn. Bhd. 101 -


Jumlah
1,396
52

Di samping itu Jabatan Buruh melaporkan bahawa pada bulan April tahun ini sebanyak 12 majikan akan memberhentikan seramai 5,698 pekerja dan bagi bulan Mei sebanyak lima (5) majikan akan memberhentikan seramai 70 orang pekerja.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu mereka yang diberhentikan serta mengelakkan pengganguran yang berleluasa. Langkah-langkah yang di ambil bagi membantu pekerja yang diberhentikan adalah seperti berikut:-

(i) kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia menggalakkan pekerja-pekerja yang diberhentikan mendapatkan latihan di bawah Skim Majlis Pembangunan Sumber Manusia;

(ii) melalui Jabatan Tenaga Rakyat membantu menempatkan mereka yang diberhentikan ke tempat pekerjaan baru;

(iii) mempastikan setiap pekerja yang diberhentikan mendapat faedah yang diperuntukkan di bawah undang-undang; dan

(iv) memastikan pihak kilang mematuhi Akta Kerja Tahun 1955 yang mensyaratkan supaya pekerja-pekerja asing diberhentikan dahulu sekiranya pihak kilang bercadang untuk mengurangkan tenaga pekerja.

Di samping itu, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengelak pengganguran yang berleluasa antaranya ialah:-

(i) menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab untuk mencari pekerjaan baru bagi mereka yang diberhentikan kerja. Jawatankuasa ini juga akan menasihat majikan-majikan yang terlibat untuk mematuhi peraturan-peraturan di bawah undang-undang berkaitan dan juga untuk mengambil langkah-langkah seperti berikut:-

(a) Mengurangkan had kerja lebih masa; dan

(b) mengurangkan hari bekerja dalam seminggu, sebelum mengambil tindakan memberhentikan pekerja.

(ii) mengadakan semula dana RM2 juta bagi membolehkan pekerja-pekerja yang diberhentikan mendapat latihan semula (retraining) supaya mereka boleh diserap ke pekerjaan baru. Dana yang disediakan ini merupakan tambahan kepada peruntukan yang biasa diperuntukan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk melatih semula pekerja-pekerja yang diberhentikan;

(iii) Menganjurkan Job Fair di mana majikan-majikan yang ingin mengambil pekerja mempamerkan kekosongan jawatan dan ditemuduga dibuat secara terus; dan

(iv) Dengan kerjasama Jabatan Tenaga Rakyat, usaha-usaha yang diambil ialah:-

(a) Menjalankan pendaftaran pekerja-pekerja yang diberhentikan bagi tujuan menempatkan semula pekerja-pekerja tersebut ke dalam pekerjaan baru;

(b) Membantu majikan yang akan memberhentikan pekerja dengan memaklumkan nama dan bilangan kekosongan yang dilaporkan oleh majikan-majikan lain yang ingin mengambil pekerja baru;

(c) Mengenal pasti majikan-majikan yang memohon pekerja asing dan memaklumkan kepada mereka mengenai berkaitan tenaga kerja tempatan yang boleh diperolehi daripada aktiviti pemberhentian pekerja tempatan;

(v) Menganjurkan seminar di mana agensi-agensi kerajaan yang memberi pinjaman untuk perniagaan kecil dapat menerangkan kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja dan yang berminat memulakan perniagaan bagaimana mendapatkan pinjaman; dan

(vi) Meneruskan usaha menarik pelaburan asing datang ke Pulau Pinang dengan menghantar rombongan pelaburan ke negara-negara asing seperti Amerika Syarikat, Jepun, Eropah Barat, Taiwan, Hong Kong dan Republik Korea. Tujuan lawatan-lawatan rombongan ini ialah menjualkan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat pelaburan yang menarik dan memiliki tenaga pekerja yang mahir dan infrastruktur yang baik dan canggih. Sementara itu, usaha sedang diteruskan untuk menggalakkan pelaburan yang lebih oleh pelabur-pelabur tempatan.

Sementara itu, kerajaan negeri melalui kerjasama pihak Polis dan Jabatan Imigresen mengambil beberapa tindakan terhadap pendatang asing haram atau pekerja asing yang telah diberhentikan kerja bagi mengelak masalah sosial di kalangan masyarakat setempat. Bagi pendatang haram, tangkapan dibuat dan menghantar mereka pulang ke negara asal. Bagi pekerja asing yang telah diberhentikan kerja, Jabatan Buruh mempastikan mereka mendapat segala faedah di bawah undang-undang, sebagai pekerja sebelum Jabatan Imigresen mengambil tindakan menamatkan permit kerja dan menghantar mereka pulang.

Tentang bilangan kilang yang akan ditutup mulai daripada bulan Mei 2001 hingga tahun depan, kerajaan negeri tidak dapat meramalkan dan justeru tidak dapat tahu bilangan kilang yang akan ditutup dalam tempoh ini. Sekian, terima kasih.

Dato’ Speaker:

Soalan Tambahan Y.B. Kawasan Bertam.

Ahli Kawasan Bertam (Y.B. Encik Hilmi bin Haji Abdul Rashid):

Saya hendak tanya berkenaan dengan banyak rancangan yang dinyatakan tadi, dia ada banyak point saya hendak tanya yang macam seminar dan job fair bila kita hendak dijalankan kerana Y.B. Machang Bubuk tidak memberitahu berapa haribulankah, hendak buat tahun depan atau beberapa bulan kerana banyak orang-orang di tempat saya yang telah kena berhenti kerja jadi kita buat pelan job fair properly masa Christmas Time atau next Chinese New Year atau nombor 2 adakah dalam negotiation Y.B. Machang Bubuk dengan kilang-kilang ini adakah kita bagi macam cadangan supaya kalau kita pergi ke kilang lain, dia boleh potong gaji atau dia boleh bagi minimum salary contohnya mereka yang kena retrenchment ini dia tidak dapat gaji zero income, bila hendak beli beras atau hendak beli susu anak. Saya berharap negotiation itu lebih praktikal. Kalau kita hendak hantar ke kursus Dato’ Speaker, mereka minta borang fund. Kalau seorang RM2,000 jadi saya ingat kita boleh berunding dengan factory-factory di negeri lain dan kalau kita hantar pekerja-pekerja kita pergi ke Vietnam, salary dapat sedikit macam mana yang lebih praktikal lagi. Perancangan yang macam ini boleh atau tidak kerana banyak orang iaitu di kalangan kampung-kampung yang bekerja di kilang mereka pun tidak tahu macam mana hendak buat. Itu sahaja, terima kasih.

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon)

Terima kasih saya ucapkan kepada soalan yang dibangkitkan oleh Y.B. dari Bertam. Sebenarnya kita telahpun mengadakan satu job fair pada 19 Mac 2001 tetapi ini dianjurkan oleh Syarikat Seagate di Prai dan hasil daripada job fair ini saya difahamkan bahawa seramai 300 telah ditawarkan kerja baru. Ini merupakan sebahagian kecil sahaja pada bilangan yang telahpun diberhentikan kerja dan ini dijangkakan sebab seperti apa yang kita semua sedia maklum pasaran buruh pada ketika itu memang lembab kita akan menganjurkan job fair dari masa ke semasa dan pengumuman akan dibuat seperti apa yang saya katakan tadi hanya 1 job fair sahaja yang dianjurkan pada 19 Mac dan yang kedua pada 8 Mei. Saya akan mempengerusikan satu mesyuarat dengan agensi-agensi dari berbagai-bagai kementerian yang memberi pinjaman untuk berbincang bersama tentang mengadakan suatu seminar di mana wakil-wakil dari agensi-agensi ini akan dijemput datang untuk menerangkan kepada mereka yang berminat memulakan perniagaan bagaimanakah mendapatkan pinjaman ini, apakah syarat-syarat dan sebagainya.

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Dato’ Speaker, dasar ekonomi berkait dengan pelaburan asing saya rasa diketahui umum. Iaitu kita mengalu-alukan pelaburan asing sebab banyak faedah yang boleh diperolehi dengan adanya pelaburan di negara kita dan di Negeri Pulau Pinang. Salah satu daripada manfaat ialah penciptaan kerja dan memang hasil daripada kejayaan Pulau Pinang menarik pelaburan asing dan juga pelaburan tempatan menubuhkan kilang-kilang di Negeri Pulau Pinang, banyak pekerjaan telahpun diciptakan sehingga kita mendapatkan guna tenaga penuh. Masalah pengangguran dikurangkan sampai ke paras yang amat rendah sekali.

Yang kedua terdapat juga pemindahan teknologi dan melalui proses ini pekerja-pekerja kita bertambah mahir dan ada di antara pekerja-pekerja kita dihantar ke kilang di negara-negara lain untuk menjawat jawatan yang tinggi, malah menjadi pengurus untuk menguruskan kilang-kilang, dan yang ketiga melalui pelaburan asing kita juga mendapat pertukaran asing. Memang sekarang kita menghadapi masalah di mana akibat kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat, ada di antara kilang-kilang ini yang terpaksa memberhentikan kerja, tetapi kita yakin ini hanya sebagai sebahagian daripada kitaran ekonomi, selepas satu ketika permintaan akan meningkat kembali bahawa kilang-kilang yang ditubuhkan di Pulau Pinang akan terus mengambil pekerja yang lebih, akan mempertingkatkan lagi tahap teknologi dan Pulau Pinang akan terus maju yang kita panggil, kelok nilai tambah ini.

Ahli Kawasan Sungai Dua (Y.B. Encik Jasmin Bin Mohamed):

Soalan tambahan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan Y.B. Sungai Dua.

Ahli Kawasan Sungai Dua (Y.B. Encik Jasmin Bin Mohamed):

Dato’ Speaker, yang pertamanya tentang kita melihat bahawa ramainya pekerja tempatan yang dibuang 3,986 orang dan hanya 946 orang pekerja asing pada 31 Mac 2000. Soalan tambahan saya, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk membantu 3,986 ini daripada angka ini, berapa yang telah menawarkan tempat lain untuk mereka bekerja ataupun berapa orang yang telah diberi latihan semula dan sebagainya, bagi mereka menentukan hala cara kehidupan mereka seterusnya. Kenapa kita melihat dari segi pembuangan pekerja ini, pekerja asing terlalu sedikit dibuang sedangkan pekerja asing di Pulau Pinang ini agak ramai.

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Dato’ Speaker, sebenarnya peratus daripada jumlah tenaga kerja yang terdiri jumlah tenaga pekerja asing di Negeri Pulau Pinang bukannya tinggi sangat. Saya difahamkan daripada jumlah tenaga kerja yang diambil bekerja di kilang-kilang di Pulau Pinang hanya 10 peratus sahaja terdiri daripada pekerja asing. Sebab mengapa bilangan yang diberhentikan kerja yang terdiri daripada pekerja asing adalah rendah adalah kerana kebetulan kilang-kilang yang memberhentikan pekerja, tidak mengambil ramai sangat pekerja asing. Jadi itulah sebab bilangan pekerja asing yang diberhentikan kerja juga rendah.

Berkenaan dengan apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membantu mereka. Saya tidak dapat memberi jawapan dengan tepat sebab langkah-langkah yang telah saya senaraikan untuk membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja akan dimulakan dalam sedikit masa. Sungguhpun usaha untuk menempatkan mereka di kilang-kilang yang lain yang memerlukan pekerja tambahan telahpun dimulakan. Tetapi seperti apa yang saya katakan tadi oleh kerana pasaran buruh buat masa ini lembap, jadi saya rasa usaha menempatkan mereka ditempat lain yang mengambil pekerja baru tidak ramai sangat. Tetapi usaha untuk memberi latihan kepada mereka supaya dalam masa ekonomi melambung kembali mereka mempunyai kemahiran untuk di tempatkan di kilang-kilang yang berkembang. Memang usaha ini akan dimulakan sedikit masa lagi.

Perbincangan sedang diadakan dengan pihak PSDC dengan institusi-institusi latihan persendirian untuk merekabentukkan kursus-kursus jangka pendek, supaya mengajarkan mereka ini kemahiran-kemahiran baru yang kita jangka akan diminta apabila ekonomi melambung kelak.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan Y.B. Penanti.

Ahli Kawasan Penanti (Y.B. Tuan Haji Abdul Rahman Bin Abdul Kadir):

Y.B. Dato’ Speaker, soalan saya ialah apakah langkah-langkah bagi mengatasi tambahan satu bantuan kepada pekerja-pekerja ini, kerana saya mendapat tahu, ada pekerja-pekerja yang telah diberhentikan kerja ini daripada kilang-kilang yang ditutup ataupun yang akan ditutup berperingkat-peringkat. Mereka memutuskan untuk tidak makan gaji ataupun tidak bekerja lagi. Mereka memutuskan untuk berniaga sebagai

penjaja-penjaja kecil. Tetapi masalah yang mereka hadapi sekarang ini ialah pihak berkuasa tempatan sama ada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ataupun Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), tidak mengeluarkan lesen penjaja-penjaja kecil ataupun penjaja-penjaja di tepi jalan. Saya rasa langkah kalau Y.B. Machang Bubuk boleh berbincang dengan Y.B. Kebun Bunga, mencari jalan ataupun langkah menangani masalah ini supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pihak berkuasa MPPP ataupun MPSP dapat mengeluarkan lesen-lesen sementara. Kalau bukan lesen-lesen tetap pun, lesen-lesen sementara ini boleh mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebagai penjaja-penjaja tepi jalan. Dengan demikian secara langsung mereka ini boleh mendapat latihan sebagai seorang peniaga. Inilah saya ingin bagi, kalau boleh menjawab soalan saya.

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Terima kasih, saya ucapkan kepada Y.B. dari Penanti. Memang Y.B. dari Penanti sebenarnya telahpun mengemukakan cadangan yang baik, bukan soalan. Memang betul, mereka yang diberhentikan kerja, mungkin tidak mahu bekerja lagi, tetapi mahu menceburkan diri dalam perniagaan. Tetapi ada tiga sekatan ataupun halangan yang menghalang mereka dari berbuat demikian.

Satu, adalah kekurangan modal, yang kedua mungkin kekurangan kemahiran ataupun ilmu dalam bidang tertentu dan yang ketiga ialah pelesenan. Memang kerajaan akan berusaha untuk menangani ketiga-tiga sekatan ini supaya ketiga-tiga sekatan ini dapat disingkirkan dan dengan demikian membenarkan mereka yang mahu berkerja lagi dan mahu menceburkan diri dalam perniagaan dapat berbuat demikian.

Tentang modal, seperti yang saya katakan tadi, saya akan mengatur suatu seminar di mana agensi-agensi yang memberi pinjaman boleh memberitahu kepada mereka ini tentang agensi mana yang mereka boleh memohon. Kriteria apakah yang mereka patut penuhi untuk mendapatkan pinjaman ini? Saya harap ini dapat mengatasi masalah yang pertama iaitu kekurangan modal. Yang kedua kita ingin juga mengatur suatu seminar di mana kita menjemput pelatih-pelatih datang untuk memberi kemahiran dan ilmu kepada mereka tentang bagaimana untuk menjalankan perniagaan dan akhirnya saya setuju keadaan memang mendesak. Saya akan merayu kedua-dua pihak berkuasa tempatan untuk melonggarkan memberi lesen agar sekatan ini dapat juga ditangani.

Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):

Soalan tambahan, sudah beberapa kali saya berdiri.

Dato’ Speaker:

Ya, Y.B. Datok Keramat.

Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang):

Yang pertama, iaitu mengapa soalan saya yang sama tidak menerima jawapan walaupun semua ADUN yang menyoal telah memberi jawapan tentang isu yang sama, ini menunjukkan apa? Iaitu soalan saya nombor 5 mengenai jawapan bertulis, tentang isu pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja dalam tempoh yang lalu sehingga sekarang dan apakah kerajaan negeri telah lakukan untuk membantu pekerja-pekerja yang telah diberhentikan? Ini soalan yang melibatkan isu yang pertama mengapa mengenepikan soalan saya? Ini yang pertama.

Yang kedua iaitu kita sudah mendapat satu gambaran bahawa Pulau Pinang telah bergantung kepada sektor elektronik over dependence on the manufacturing sector especially electronic sector dengan keizinan Dato’ Speaker. Oleh sebab itu adakah kerajaan negeri bersedia untuk semak polisi perindustrian kita sekarang untuk mendapat satu blue print atau polisi yang terbaru untuk mengatasi atau menangani masalah ini. Saya harap mendapat jawapan yang jelas.

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Dato’ Speaker, kalau tidak salah soalan yang dikemukakan oleh Y.B. Datok Keramat berkenaan dengan isu memang sama tetapi soalan bertulis bukan soalan lisan. Soalan bertulis untuk jawapan bertulis ditanya oleh rakan saya juga dari Batu Lancang ada disebutkan dua kali. Ada soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Y.B. dari Batu Lancang bukan soalan bertulis, soalan lisan. Tetapi soalan yang terbelakang sedikit, tetapi soalan lisan berkait dengan isu yang sama, maka saya juga menggunakan kesempatan untuk menjawab kesemua sekali. Jawapan kepada soalan bertulis kita beri dalam bentuk jawapan secara bertulis.

Berkenaan dengan sektor pembuatan yang terlampau bergantung kepada elektronik, saya bersetuju dengan Yang Berhormat dari Datok Keramat bahawa ini memang mendatangkan risiko yang tinggi. Risiko yang terdapat dalam bentuk vulnerability dengan izin to world wide suction in global demand electronic iaitu vulnerability dari segi menghadapi turun

naik permintaan bagi barang-barang elektronik. Saya setuju, memang kerajaan bercadang untuk mengkaji isu ini dan juga sedang merancang untuk mempelbagaikannya. Yang pertama keseluruhan ekonomi yang bagi kedua bagi sektor pembuatan, mempelbagaikan sektor pembuatan. Dari segi sektor pembuatan kita sedang mengkaji feasibility untuk memasuki bidang-bidang baru seperti bioteks , photonics, telekomunikasi dan dari segi mempelbagaikan ekonomi keseluruhannya kita ingin mengkaji apakah perkhidmatan-perkhidmatan di mana Negeri Pulau Pinang boleh memajukan keupayaannya untuk membangunkan sektor perkhidmatan ini, seperti pendidikan, kesihatan dan memang bagi pelancongan juga kita ingin mempelbagaikan pasaran dan juga menambahkan produk pelancongan.

Dato’ Speaker:

Y.B. Bukit Tengah.

Ahli Kawasan Bukit Tengah (Y.B. Puan Ng Siew Lai):

Dato’ Speaker, soalan tambahan yang pertama. Di antara 7,000 orang pekerja yang telah diberhentikan kerja, saya ingin tahu berapa peratuskah yang terdiri daripada golongan wanita? Yang kedua apakah kriteria untuk pekerja menyertai latihan berasaskan tabung latihan sebanyak RM2 juta yang disediakan itu? Adakah ini hanya terhad kepada golongan yang diberhentikan kerja sahaja?

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Bagi tahun yang lepas di antara 4,841 yang telah diberhentikan kerja, 3,602 terdiri daripada lelaki dan 1,330 terdiri daripada wanita. Peratus daripada jumlah yang terdiri daripada wanita yang telah diberhentikan kerja pada tahun lepas adalah kira-kira 25%. Soalan mengapa pada tahun yang lepas peratus daripada mereka yang diberhentikan kerja yang terdiri daripada wanita adalah rendah, adalah kerana kebanyakan daripada kilang yang telah ditutup pada tahun lepas bukanlah kilang elektronik tetapi kilang bukan elektronik. Kebanyakan daripada pengeluar-pengeluar di kilang-kilang elektronik adalah terdiri daripada kaum wanita. Jadi pada penghujung tahun ini adalah dijangkakan bahawa peratus daripada mereka yang diberhentikan kerja yang terdiri daripada wanita adalah jauh lebih tinggi tetapi saya tidak dapat memberi peratusnya. Minta maaf, apakah soalan yang kedua?

Ahli Kawasan Bukit Tengah (Y.B. Puan Ng Siew Lai):

Apakah kriteria untuk pekerja menyertai berasaskan tabung latihan itu? Adakah itu hanya terhad kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja atau terbuka kepada semua pekerja?

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Latihan memang dibuka untuk semua dan memang dijalankan setiap hari di banyak institusi pengajian tinggi, di Politeknik, di institusi-institusi pengajian swasta, di PSDC dan sebagainya. Sebagai langkah untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh pekerja yang telah diberhentikan kerja ialah memang kerajaan negeri bersama-sama dengan PSDC dan insitusi-institusi latihan swasta akan mengatur kursus-kursus jangka pendek untuk menyampaikan kemhiran kepada mereka ini supaya mobility dari segi fungsi dapat dipertingkatkan. Apabila mobility dari segi fungsi dapat dipertingkatkan maka keupayaan mereka untuk ditempatkan semula juga dapat dipertingkatkan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan, Ahli Kawasan Jawi.

Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang):

Terima kasih Dato’ Speaker. Ingin saya tanyakan Yang Berhormat daripada Machang Bubuk, memandangkan negara yang maju sekarang mengalami kelembapan, jadi macam mana Negeri Pulau Pinang ingin mempromosikan sektor bidang teknologi tinggi seperti khususnya photonics dengan bioteknologi? Soalan yang kedua sama ada Negeri Pulau Pinang sudah menyediakan sumber manusia yang memperolehi kemahiran dalam bidang yang tertentu, khususnya dalam bidang bioteknologi. Terima kasih.

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Dato’ Speaker, Y.A.B. Ketua Menteri telahpun dan akan mengetuai rombongan ke negara-negara maju dan salah satu daripada tujuannya ialah untuk berhubung dengan C.E.O. syarikat-syarikat dalam bidang-bidang yang mempunyai potensi yang besar ini seperti syarikat-syarikat dalam bidang photonics, biotek dan sebagainya. Daripada perbincangan Y.A.B. Ketua Menteri dengan mereka ini, beliau mendapat tahu bentuk kemahiran yang diperlukan dan apakah infrastruktur yang patut kita sediakan. Setelah kembali Y.A.B. Ketua Menteri telah mengadakan

perbincangan dengan Universiti Sains Malaysia. Memang pihak Universiti Sains Malaysia telahpun memulakan Kursus photonics di peringkat Sarjana Muda dan peringkat Sarjana iaitu Masters. Jadi dengan adanya kursus ini, dengan melatih tenaga kerja yang memiliki kemahiran dan ilmu dalam bidang photonics maka Pulau Pinang mempunyai syarat untuk menarik pelaburan dalam bidang ini. Berkenaan dengan bioteknologi, ini adalah satu bidang yang baru bagi Pulau Pinang. Kita memang juga akan mengadakan perbincangan dengan mereka yang terlibat dengan industri ini untuk mendapat tahu apakah barang-barang yang bakal boleh dikeluarkan di Pulau Pinang. Apakah syarat-syarat yang diperlukan dan apakah kemahiran dan ilmu yang diperlukan? Sebaik sahaja kita mendapatkan kesemua ini, kita akan membuat persiapan yang munasabah supaya daya tarikan Pulau Pinang untuk menarik industri baru ini dapat dipertingkatkan.

Dato’ Speaker:

Soalan tambahan yang terakhir, Ahli Kawasan Batu Lancang.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang):

Dato’ Speaker, baru-baru ini Jabatan Buruh telah pergi melawat kilang-kilang di Pulau Pinang sebanyak 120 buah kilang. Bolehkah Yang Berhormat berikan laporan ini dan berikan nama-nama kilang yang dilawati iaitu 10 buah kilang yang besar sekali. Adakah mereka bercadang memberhentikan pekerja-pekerja mereka pada bulan-bulan yang akan datang?

Ahli Kawasan Machang Bubuk (Y.B. Dato’ Dr. Toh Kin Woon):

Dato’ Speaker, seperti apa yang telah saya maklumkan di Dewan yang mulia ini, sehingga bulan Mei ini Jabatan Buruh telahpun mendapat notis dari sejumlah 36 buah kilang bahawa 7,216 pekerja akan diberhentikan. Selain daripada itu Jabatan Buruh tidak menerima notis baru tentang pemberhentian pekerja.










Kembali