Jawapan
33. (a) Tempoh masa yang diambil untuk urusan pendaftaran pindahmilik tanah adalah berbeza-beza di antara satu pejabat tanah dengan pejabat tanah yang lain. Antara lain ianya bergantung kepada bilangan perserahan harian yang diterima berbanding dengan bilangan petugas yang menjalankan kerja-kerja urusan pendaftaran tersebut. Secara purata, tempoh masa yang diambil oleh pejabat-pejabat tanah adalah seperti berikut:-
Pejabat Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian (PTG) - lebih kurang 6 bulan
Pejabat Tanah Daerah Timur Laut - 2 minggu
Pejabat Tanah Daerah Barat Daya - 3 minggu
Pejabat Tanah Seberang Perai Utara (SPU) - 2 – 3 minggu
Pejabat Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) - 4 – 5 bulan
Pejabat Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) - 2 minggu
(b) Tempoh masa yang diambil untuk memproses permohonan sehingga mendapat kelulusan bagi permohonan pecah sempadan dan pecah bahagi bangunan adalah berbeza-beza mengikut kes. Jika permohonan yang dikemukakan adalah lengkap dan teratur, tempoh masa yang diambil bagi permohonan pecah sempadan ialah 3 – 5 bulan, manakala permohonan pecah bahagi bangunan ialah lebih kurang 9 bulan.
(c) Di peringkat pejabat tanah daerah, tidak ada diterima aduan tentang kelewatan pendaftaran pindahmilik kerana kerja-kerja pendaftaran dibuat dalam tempoh masa yang munasabah. Walau bagaimanapun, di peringkat Pejabat Pendaftar PTG terdapat sedikit sungutan dari pihak-pihak yang berkepentingan, tetapi kelambatan tersebut tidaklah sampai 2 – 3 tahun. Di dalam keadaan tertentu dan khusus, terdapat kes-kes yang diberi keutamaan untuk pendaftaran awal. Usaha-usaha untuk mempercepatkan urusan pendaftaran sedang diambil seperti melalui penjadualan kerja lebih masa dan Pelaksanaan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer. Di samping itu, satu pasukan petugas telah ditubuh untuk mengkaji proses dan prosedur kerja yang terlibat di dalam urusan tersebut agar masa pemerosesan dapat dipercepatkan lagi.