Jawapan
37. Rancangan pembangunan usahawan negeri Pulau Pinang dirangka dengan mengambilkira dasar yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan dan keadaan sosio-ekonomi dan geo-politik negeri Pulau Pinang. Terdapat dua strategi utama yang dilaksanakan dalam usaha membangunkan usahawan Bumiputera Pulau Pinang iaitu dengan memajukan golongan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang mantap dan meningkatkan penyertaan bumiputera di pelbagai sektor ekonomi moden.
Strategi yang diaturkan dijelaskan pelaksanaannya menerusi beberapa aktiviti yang meliputi penyediaan kursus/latihan, kewangan/pinjaman, pelaburan, penyediaan kemudahan infrastruktur, promosi/pemasaran, panduan projek, program francais/vendor, testing/research, pengkalan data dan lain-lain khidmat sokongan. Terdapat 15 jabatan dan agensi kerajaan serta Kementerian memainkan peranan yang penting di dalam usaha menggerakkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan usahawan Bumiputera negeri Pulau Pinang.
Prestasi pelaksanaan program Pembangunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang oleh agensi-agensi utama seperti MARA, PERDA, PDC, Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera dan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang pada keseluruhannya agak memuaskan di mana sepanjang tempoh 1995 – Disember 2000 seramai 14,423 para usahawan telah terlibat dengan program yang digerakkan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan. Daripada jumlah tersebut seramai 2,320 mendapat peluang dengan program penyediaan ruang niaga dan sejumlah RM30 juta telah diluluskan untuk tujuan pinjaman kepada para usahawan, selain daripada Tabung Ekonomi Usahawan Kecil Nasional (TEKUN), Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Perniagaan (PROSPER) dan kemudahan-kemudahan lain terus di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.
Dalam pada itu, usaha menyediakan tapak perniagaan untuk para Usahawan Bumiputera Pulau Pinang digerakkan khususnya menerusi Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai yang telah diminta untuk membangunkan lebih banyak gerai dan ruang niaga yang sesuai dengan kadar sewa mampu untuk para peniaga kecil bumiputera.