MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 43. (a) Adakah kerajaan negeri bersetuju bahawa caruman sumbangan belanja pembetungan sebanyak 1% yang diwajibkan oleh IWK ke atas projek-projek perumahan adalah terlampau tinggi? Pihak IWK telah mengenakan bayaran pembetungan sebanyak RM8, RM14, RM28, RM49 tanpa menaik taraf perkhidmatannya. (b) Adakah kerajaan negeri bersetuju bahawa bayaran pembetungan yang dipungut adalah terlalu tinggi dan tidak berpatutan? Adakah kerajaan bercadang menurunkan kadar yang dikenakan?
Dun -
Exco Y.B. DR. LOH HOCK HUN
Perkara Hal Ehwal Pengguna

Jawapan


43. Sumbangan Kapital Pembetungan (SCC) telah dikaji dan dikurang sebanyak 2 kali bermula dengan RM400.00/penduduk setara (PE) kemudiannya 1.65% daripada harga jualan atau harga nilaian dan akhir sekali 1% daripada nilai hartanah. SCC sebanyak 1% daripada harga jualan atau nilai pasaran adalah perlu dikenakan bagi semua kemajuan yang akan disambungkan ke sistem pembetungan awam yang sedia ada mengikut Peraturan Seksyen 1 Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 (Akta 508). Kadar ini dilaporkan hanyalah sebahagian daripada kos sebenar. Mengikut Jabatan Perkhidmatan Pembetungan lebih kurang 15% daripada nilai hartanah diperlukan untuk mendapat semula keseluruhan pembiayaan untuk tujuan tersebut. Walau bagaimanapun untuk pembangunan hartanah yang besar yang tidak mempunyai loji kumbahan berpusat dan tidak mungkin boleh disambung ke sistem pembetungan awam, pihak kerajaan akan memberi pengecualian wang sumbangan pembetungan setelah permohonan dibuat.

Begitu juga kadar caj pembetungan telah dikaji semula sebanyak 3 kali dan mulai Julai 1998 kadar untuk sektor komersial telah dikurang purata 30% dari caj asal. Bagi sektor industri pula, kadar baru adalah mengikut jumlah pekerja yang terdapat di kilang. Caj perkhidmatan adalah ditetapkan melalui rundingan kerajaan persekutuan dengan IWK berdasarkan prinsip subsidi silang antara sektor komersial dan domestik dan mengambil kira pelaburan bagi mendapatkan kemudahan yang baru.

Caj yang disebut oleh Ahli Yang Berhormat (iaitu RM8, RM14, RM28 dan RM49) merupakan caj asas yang lama yang dikenakan antara 1 Julai 1988 sehingga 30 September 1999. Kerajaan Persekutuan telahpun membuat kajian semula dengan mengambil kira pandangan orang ramai dan juga keadaan ekonomi semasa dan mulai 1 Oktober 1999 telah menurunkannya antara 5 hingga 20 peratus kadar caj asas seperti berikut:

RM8.00 - dikekalkan
RM14.00 - dikekalkan
RM28.00 - RM22.00
RM49.00 - RM39.00
RM70.00 - RM56.00
RM231.00 - RM196.00
RM630.00 - RM535.00
RM2,450.00 - RM2,205.00
RM4,900.00 - RM4,410.00
RM10,500.00 - RM9,975.00

Kadar caj pembetungan yang ada sekarang adalah dianggap berpatutan.
berpatutan.
Membaik pulih dan menaiktarafkan semua loji rawatan kumbahan awam memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi dan sebahagian besarnya adalah diperolehi daripada hasil kutipan caj perkhidmatan pembetungan. Mengikut IWK, kerja-kerja untuk menaikkan taraf sistem pembetungan yang ada telah dan akan terus dilaksanakan. Kerja-kerja menggantikan saluran pembetungan lama di Jalan Free School dan Jelutong misalnya telah menelan belanja RM12 juta. Selain itu IWK juga telah membelanjakan Lebih RM2.6 juta untuk membaik pulih 13 loji rawatan kumbahan. IWK juga akan melaksanakan kerja-kerja membaik pulih loji-loji serta stesen-stesen pam yang lain di masa-masa akan datang.


Kembali