Jawapan
54. Kawasan Jalan Lim Eow Thoon berada di dalam kawasan tadahan S-18. Semua saliran di dalam kawasan tadahan ini akan mengalir keluar ke laut melalui parit utama iaitu S-18.
Di bawah Rancangan Tebatan Banjir Georgetown, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) telah siap membina parit utama S-18 Fasa I sepanjang 1.0 km pada tahun 2000 di tepi Jalan Gurdwara yang bermula dari Gama Supermarket ke Sungai Pinang.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-8, JPS akan menyambung pelaksanaan Projek S-18 Fasa II dengan membina kolam takungan banjir di pesisiran laut.
Salah satu sebab banjir kilat berlaku di kawasan ini semasa musim hujan adalah kerana sistem peparitan dalaman yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung aliran permukaan puncak. Longkang atau parit scupper tepi jalan juga tersumbat dengan sampah sarap.
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sentiasa berusaha untuk mengeluarkan sampah-sarap di tempat-tempat tersebut dan membina trash-screen untuk mencegah sampah memasuki ke tempat yang sukar dikeluarkan seperti di bawah jalan raya. Sungguhpun langkah-langkah tambahan seperti menutup parit-parit tepi jalan dengan papak konkrit telah dijalankan, namun masih terdapat sampah, sisa-sisa makanan, minyak dan sebagainya dibuang ke dalam longkang. Kerja-kerja pembersihan parit di kawasan Jalan Lim Eow Thoon telah dijalankan pada bulan Ogos 2000.