MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan 61. (a) Apakah produk-produk pelancongan baru yang mempunyai daya tarikan untuk menarik lebih ramai lagi pelancong-pelancong melawat ke Pulau Pinang. (b) Mengapakah Jabatan Kebun Bunga tidak berusaha untuk melatih monyet-monyet untuk tujuan persembahan lucu bagi meraikan pelancong-pelancong. Di samping dapat meraikan pelancong-pelancong, ia merupakan suatu sumber pendapatan kepada kerajaan negeri.
Dun -
Exco Y.B. DATO' KEE PHAIK CHEEN
Perkara Pelancongan

Jawapan



61. Produk-produk pelancongan baru yang dirancangkan oleh kerajaan negeri ialah Bangunan Warisan Kebudayaan (Suffolk House), Chow Thye Road, Pulau Jerejak Tropical Island Resort, Taman Negara Pantai Acheh serta produk-produk agro-pelancongan di Kampong Seronok, Mengkuang Titi, Pulau Aman, Telok Tempoyak dan Telok Bahang.

Selain daripada itu, terdapat beberapa produk pelancongan baru yang telah dikenal pasti dan sedang diusahakan oleh pihak swasta iaitu pusat membeli belah Prangin Mall dan Garage, Bangunan Warisan Cheong Fatt Zee Mension, 8th. Row Krian Road, Nagore Road dan kawasan penginapan Summit Prescort Hotel Bukit Mertajam, Bayan Bay Marine Resort dan pengubahsuaian E & O Hotel.

Taman Kebun Bunga adalah merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular di Negeri Pulau Pinang dan pada setiap tahun menerima hampir 2 juta pengunjung termasuk 500,000 pelancong dari luar negara. Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri sentiasa berusaha melaksanakan beberapa projek dan program yang menarik bagi menjadikan Kebun Bunga sebuah taman botani dalam erti kata yang sebenar. Selama ini, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada projek-projek dan program-program yang berteraskan warisan sejarah Kebun Bunga, koleksi tumbuh-tumbuhan yang unik, landskap semulajadi dan kepelbagaian flora dan fauna yang dikelilingi oleh hutan tropika primer.

Sebagai langkah untuk menarik lebih ramai pelancong melawat, pihak pengurusan Kebun Bunga sedang mempergiatkan lebih banyak aktiviti sampingan yang berhubungkait dengan pelancongan seperti pesta bunga tahunan, pameran hortikultur, karnival landskap, pertunjukan orkid, persembahan pancaragam dan orkestra dari masa ke semasa. Di samping itu, Kebun Bunga dikehendaki mempersembahkan satu suasana dan alam sekitar yang indah, ceria dan menarik pada setiap masa supaya para pelancong boleh terus menaruh minat melawatnya.

Pada masa sekarang, pengurusan Kebun Bunga tidak ada rancangan untuk melatih monyet-monyet bagi tujuan persembahan lucu bagi meraikan para pelancong kerana ia bertentangan dengan objektif pewujudan Kebun Bunga yang asal iaitu sebagai sebuah Taman Botani dan Pusat Hortikultur.


Kembali