MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Kampong Kolam (Y.B. Encik Lim Gim Soon) bertanya kepada Ketua Menteri: 6. Bolehkah Y.A.B. Ketua Menteri menjelaskan usaha-usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Pusat Pendidikan dan Perubatan di rantau ini dan apakah faedah kepada rakyat Negeri Pulau Pinang?
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Pendidikan

Jawapan

Ketua Menteri:

6. Kerajaan Negeri telah menjalankan pelbagai usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Pusat Pendidikan dan Perubatan di rantau ini. Dalam bidang pendidikan, kerajaan telah mendirikan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Kolej Matrikulasi Pongsu Seribu, Politeknik Seberang Perai, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia di Transkrian dan telah mencadang mengadakan beberapa pembangunan yang lain seperti cadangan mengadakan politeknik di Balik Pulau.

Kerajaan juga melalui kerjasama sektor swasta telah mendirikan Penang Medical College. Banyak institusi pengajian tinggi swasta, yang menawarkan berbagai-bagai kursus, telah juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Institusi-institusi pengajian tinggi ini dengan secara tidak langsung dapat menarik orang dari luar negeri dan negara untuk mendapat pendidikan tinggi di Pulau Pinang. Keadaan ini dapat membantu pengaliran wang masuk dan seterusnya memberi faedah sosio-ekonomi kepada rakyat Pulau Pinang.

Di dalam bidang perubatan pelbagai usaha telah diambil untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat perubatan serantau. Langkah-langkah telah diambil supaya Hospital Pulau Pinang dapat menyedia pelbagai kemudahan rawatan kuratif serta pemulihan dengan mengguna kemudahan diagnostik yang terkini. Hospital Pulau Pinang juga telah menjadi pusat rujukan dan rawatan untuk Wilayah Utara Semenanjung Malaysia terutama dalam perkhidmatan `tertiary’ bagi Bedah Kardiotorasik, Bedah Neuro Otak Saraf, Bedah Plastik dan Bedah Vaskular. Bagi Hospital Seberang Jaya, perkhidmatan rawatan `secondary care’ telah dipertingkatkan di mana ianya menjadi tempat rujukan untuk lain-lain hospital berhampiran.

Di samping itu juga kerajaan telah menggalakkan pembinaan hospital swasta. Buat masa ini terdapat banyak hospital swasta yang telah berjaya memberi perkhidmatan pakar dalam pelbagai bidang seperti obsterik, ginekologi, telinga, hidung dan tekak serta `Head and Neck Surgery”. Hospital-hospital swasta tersebut juga telah berjaya memberi perkhidmatan perubatan dan rawatan yang terbaik melalui penggunaan teknologi yang termoden.

Hospital kerajaan dan swasta yang sedia ada juga telah dapat memberi kursus pakar perubatan dan kejururawatan. Dengan ini hospital-hospital di Pulau Pinang telah menjadi sebagai pusat rujukan perubatan. Oleh itu dengan adanya perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang meluas dan termoden ini, rakyat tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapat rawatan di luar negara. Ini dapat menyelamatkan pengaliran wang keluar di samping sebagai dorongan untuk melahirkan lebih ramai doktor di kalangan rakyat tempatan. Pada masa yang sama, ramai pesakit dari negara-negara serantau kerap datang menerima rawatan di hospital-hospital swasta di Pulau Pinang.

Kembali