Jawapan
5. Bagi tempoh enam (6) bulan yang lalu, dari 1 Julai 2000 sehingga 31 Mac 2001, jumlah pekerja yang telah diberhentikan ialah seramai 1,717 orang. Dari jumlah tersebut, seramai 670 orang adalah dari kawasan pulau dan 1,047 orang dari kawasan Butterworth. Bilangan ini dijangka akan meningkat kepada hampir 7,500 orang pada pertengahan tahun ini, di mana pada bulan April 2001 sahaja, sebanyak 12 majikan akan memberhentikan seramai 5,698 orang dan pada bulan Mei 2001, sebanyak 5 majikan akan memberhentikan seramai 70 orang.
Bagi membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan, kerajaan negeri telah mengambil tindakan seperti berikut:-
(a) Melalui Jabatan Buruh, memastikan setiap pekerja yang diberhentikan mendapat faedah yang diperuntukan di bawah undang-undang;
(b) menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab untuk mencari pekerjaan baru bagi mereka yang diberhentikan kerja. Jawatankuasa ini juga akan menasihatkan majikan-majikan yang terlibat untuk mematuhi peraturan-peraturan di bawah undang-undang berkaitan;
(c) mengadakan semula dana RM2 juta bagi membolehkan pekerja-pekerja yang diberhentikan mendapat latihan semula (retraining) supaya mereka boleh diserap ke pekerjaan baru. Dana yang disediakan ini merupakan tambahan kepada peruntukan yang biasa diperuntukan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk melatih semula pekerja-pekerja yang diberhentikan;
(d) menganjurkan Job Fair di mana majikan-majikan yang ingin mengambil pekerja mempamerkan kekosongan jawatan dan ditemuduga dibuat secara terus; dan
(e) dengan kerjasama pendaftaran Jabatan Tenaga Rakyat, langkah-langkah yang diambil adalah seperti:-
(i) menjalankan pendaftaran pekerja-pekerja yang diberhentikan bagi tujuan menempatkan semula pekerja-pekerja tersebut ke dalam pekerjaan baru;
(ii) membantu majikan yang akan memberhentikan pekerja dengan memaklumkan nama dan bilangan kekosongan yang dilaporkan oleh majikan-majikan lain yang ingin mengambil pekerja baru; dan
(iii) mengenal pasti majikan-majikan yang memohon pekerja asing dan memaklumkan kepada mereka mengenai bekalan tenaga kerja tempatan yang boleh diperolehi daripada aktiviti pemberhentian pekerja tempatan;
(f) berusaha menarik pelabur dalam bidang-bidang teknologi tinggi dan pengeluaran produk atau komponen yang baru, seperti photonic, telekomunikasi dan bio-tech, agar lebih banyak pekerjaan baru dapat diciptakan demi manfaat mereka yang diberhentikan kerja.