MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang) bertanya kepada Ketua Menteri: 35. Sila berikan senarai industri-industri berikut di Negeri Pulau Pinang. (i) Berteknologi tinggi; (ii) Berkaitan dengan elektronik, dengan huraian mengikut logi pengeluaran berorientasikan komponen atau logi pengeluaran barangan siap; (iii) Industri kecil dan sederhana; (iv) Logi perindustrian yang dimiliki sepenuhnya atau bersama dengan modal Malaysia di kawasan perindustrian bebas cukai.
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Perindustrian (Perusahaan)

Jawapan


35. (i) Definisi “syarikat berteknologi tinggi” ditentukan mengikut kriteria untuk kelulusan galakan hi-tech dan strategik (hi-tech and strategic incentives) yang diberi oleh pihak MIDA. Mengikut definisi ini, terdapat sebanyak 31 buah syarikat berteknologi tinggi di Pulau Pinang setakat ini. Selain daripada itu, terdapat juga banyak syarikat yang mempunyai proses pengeluaran berteknologi tinggi di Pulau Pinang tetapi tidak tersenarai seperti demikian oleh MIDA kerana tidak memohon galakan (incentives).

(ii) Mengikut kaji-selidik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) setakat Disember 2000, terdapat sebanyak 152 syarikat di dalam sektor elektrik dan elektronik yang beroperasi di kawasan yang dibangunkan oleh PDC. Pecahan mengikut jenis keluaran adalah seperti berikut:-


SUB-SEKTOR BILANGAN SYARIKAT
Produk audio visual 16
Barangan elektrik 21
Komponen elektronik 79
Komputer & telekomunikasi 36
Jumlah: 152



(iii) Mengikut definisi Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), sesebuah syarikat ditakrifkan sebagai Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sekiranya jumlah pekerja sepenuh masanya tidak melebihi 150 orang dan jualan tahunannya tidak melebihi RM25 juta. Mengikut kajian SMIDEC pada tahun 1999, terdapat sebanyak 11,292 buah syarikat IKS di seluruh Malaysia. Daripada jumlah ini, 1,140 (10.1%) buah syarikat IKS beroperasi di Pulau Pinang. Tiada maklumat mengenai pecahan mengikut kategori industri.

(iv) Sehingga 31 Mac 2001, Pusat Industri Kecil dan Sederhana (PIKS) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai 192 ahli yang terdiri daripada IKS yang beroperasi di Pulau Pinang.

(v) Syarikat yang dimiliki sepenuhnya atau sebahagian dengan ekuiti tempatan (Malaysia) di kawasan Perindustrian Bebas Cukai adalah seperti berikut:-


Peratusan Ekuiti Tempatan Bilangan Syarikat

Milikan penuh 100% 21
Ekuiti lebih 50% 6
Ekuiti kurang 50% 20
JUMLAH: 47


Selain daripada itu, terdapat sebanyak 402 buah syarikat yang mempunyai ekuiti tempatan (Malaysia) beroperasi di luar kawasan Perindustrian Bebas Cukai tetapi di dalam taman-taman perindustrian Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Oleh itu, jumlah keseluruhan syarikat yang mempunyai ekuiti tempatan yang beroperasi di taman-taman perindustrian PDC adalah 449 buah dari sejumlah 694 buah syarikat.

Senarai lengkap semua syarikat yang beroperasi di taman-taman perindustrian PDC terkandung di dalam terbitan PDC Directory of Factories. Terbitan ini boleh diperolehi daripada PDC.



Kembali