MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Batu Lancang (Y.B. Encik Law Heng Kiang) bertanya kepada Ketua Menteri: 14. Adakah projek Lebuhraya Jelutong masih menghadapi masalah kewangan. Sila berikan butir-butir mengenai pinjaman daripada bank bagi semua peringkat projek Lebuhraya Jelutong.
Dun -
Exco YB. DATO' DR. HILMI BIN HAJI YAHAYA
Perkara Pembangunan

Jawapan



Ketua Menteri:

14. Semua masalah kewangan untuk projek Lebuhraya Jelutong diatasi dengan kerjasama pemegang-pemegang saham.

Buat masa kini, Lebuhraya Jelutong adalah dibiayai melalui pemegang-pemegang saham. Pihak IJM Properties Sdn. Bhd., pemegang saham sebanyak 40% di dalam Jelutong Development Sdn. Bhd. (JDSB) yang telah mengeluarkan RM40 juta melalui pengeluaran bon. Wang ini didahulukan kepada JDSB bagi membiayai Fasa 1 projek lebuh raya tersebut. Keseluruhan kos kerja bagi Fasa 1 adalah sekitar RM100 juta akan dibiayai secara begini.

Pembiayaan melalui bank bagi projek ini adalah sangat sulit untuk diperolehi memandangkan projek ini lebih dianggap sebagai projek hartanah disebabkan pembinaan lebuh raya tidak dapat memberikan pendapatan yang stabil sepertimana di dalam konsesi tol bagi konsesi infrastruktur yang lain.

Memandangkan pemilik konsesi Lebuhraya Jelutong hanya dibenarkan untuk memiliki tanah dan membangunkan bangunan di atas tanah tersebut, kadar pendapatan bagi tujuan bayaran hutang lebuh raya adalah tidak jelas memandangkan ianya bergantung kepada pasaran hartanah yang mana keadaannya adalah tidak menggalakkan. Pihak bank juga telah menyatakan bahawa pemilik konsesi memerlukan bridging loan bagi tujuan membina unit-unit rumah/bangunan yang akan dijual untuk menghasilkan cashflow untuk membayar pinjaman pembinaan lebuh raya. Pada masa kini, pinjaman bagi pembangunan hartanah komersial dan yang melebihi RM250,000.00 adalah terhad seperti yang tercatat dalam Garis Panduan Bank Negara Malaysia.


Kembali