MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEPULUH
Soalan Ahli Kawasan Jawi (Y.B. Puan Tan Cheng Liang) bertanya kepada Ketua Menteri: 3. Sila nyatakan berapa buah kilang sudah dan akan ditutup di Pulau Pinang semenjak tahun 1997 dan berapakah jumlah pekerja yang telah dan akan kehilangan pekerjaan. Sila senaraikan syarikat tersebut dan apakah yang terjadi kepada pekerja tersebut. Berapakah jumlah wanita dan ibu tunggal yang telah diberhentikan kerja?
Dun -
Exco YB. DATO' DR. TOH KIN WOON
Perkara Perindustrian (Perusahaan)

Jawapan



3. Mengikut rekod rasmi Jabatan Buruh, sebanyak 104 buah kilang telah ditutup dan 18,838 pekerja telah diberhentikan di Pulau Pinang sejak tahun 1997 sehingga 31 Mac 2001. Statistik bilangan kilang yang ditutup dan pekerja yang telah diberhentikan mengikut tahun adalah seperti berikut:-


BIL./TAHUN BIL. KILANG DITUTUP BIL. PEKERJA TERLIBAT
LELAKI PEREMPUAN
1997 10 1457 2184
1998 36 2244 5829
1999 25 651 1450
2000 18 3602 1330
2001 4 48 43
Jumlah 104 8002 10836

JUMLAH BESAR 18,838

Dari jumlah pekerja yang diberhentikan seramai 10,836 orang adalah wanita. Walau bagaimanapun tiada maklumat berhubung ibu tunggal.

Bagi kilang yang akan ditutup, Jabatan Buruh sehingga 31 Mac 2001, hanya menerima laporan rasmi dari sebuah kilang yang akan ditutup pada tahun 2001 sehingga tahun hadapan, iaitu kilang Prai Seagate Storage Production Sdn. Bhd., yang mana dijangka ditutup sepenuhnya pada bulan Disember 2001. Dalam bulan April 2001, Kilang Prai Seagate Storage Production Sdn. Bhd.. telah melapor memberhentikan seramai 187 pekerja. Sementara itu, Jabatan Buruh tidak menerima laporan penutupan kilang dari lain-lain kilang. Walaupun terdapat berita menyatakan beberapa kilang lain akan tutup operasi, kilang-kilang tersebut secara rasmi belum lagi membuat laporan kepada Jabatan Buruh, dan dengan ini mengikut peraturan dan undang-undang Jabatan Buruh, kilang-kilang berkenaan tidak boleh dianggap atau dimaklumkan telah tutup. Sementara itu beberapa majikan telah mengambil langkah memperkecilkan tenaga kerja di mana bagi bulan April 2001, sebanyak 12 majikan akan memberhentikan seramai 5,698 orang pekerja, dimana daripada ini seramai 187 pekerja merupakan pekerja kilang Prai Seagate Storage Products Sdn. Bhd., yang telah membuat laporan rasmi ke Jabatan Buruh untuk tutup pada bulan Disember 2001. Pada bulan Mei sebanyak 5 majikan memberhentikan seramai 70 orang pekerja.

Bagi pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu mereka seperti berikut :-

(i) menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab untuk mencari pekerjaan baru bagi mereka yang diberhentikan kerja. Jawatankuasa ini juga akan menasihat majikan-majikan yang terlibat untuk mematuhi peraturan-peraturan di bawah undang-undang berkaitan;

(ii) mengadakan semula dana RM2 juta bagi membolehkan pekerja-pekerja yang diberhentikan mendapat latihan semula (retraining) supaya mereka boleh diserap ke pekerjaan baru. Dana yang disediakan ini merupakan tambahan kepada peruntukan yang biasa diperuntukan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk melatih semula pekerja-pekerja yang diberhentikan;

(iii) menganjurkan Job Fair di mana majikan-majikan yang ingin mengambil pekerja mempamerkan kekosongan jawatan dan temuduga dibuat secara terus; dan

(iv) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Rakyat, langkah-langkah yang diambil adalah seperti :-

(a) menjalankan pendaftaran pekerja-pekerja yang diberhentikan bagi tujuan menempatkan semula pekerja-pekerja tersebut ke dalam pekerjaan baru;

(b) membantu majikan yang akan memberhentikan pekerja dengan memaklumkan nama dan bilangan kekosongan yang dilaporkan oleh majikan-majikan lain yang ingin mengambil pekerja baru;

(c) mengenalpasti majikan-majikan yang memohon pekerja asing dan memaklumkan kepada mereka mengenai bekalan tenaga kerja tempatan yang boleh diperolehi daripada aktiviti pemberhentian pekerja tempatan;

(v) akan menganjurkan suatu seminar di mana agensi-agensi kerajaan yang memberi pinjaman untuk perniagaan kecil dapat menerangkan kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja dan yang berminat memulakan perniagaan bagaimana mendapatkan pinjaman ini; dan

(vi) usaha untuk menarik pelaburan asing datang ke Pulau Pinang akan diteruskan dengan menghantar rombongan pelaburan ke negara-negara asing seperti Amerika Syarikat, Jepun, Eropah Barat, Taiwan, Hong Kong dan Republik Korea. Tujuan lawatan-lawatan rombongan ini ialah menjualkan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat pelaburan yang menarik yang memiliki tenaga pekerja yang mahir dan infrastruktur yang baik dan canggih. Sementara itu, usaha sedang diteruskan untuk menggalakkan pelaburan yang lebih oleh pelabur-pelabur tempatan.

Kembali