MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Nyatakan tahap pencemaran sungai yang berlaku di negeri ini. (a) Berapa sungai yang mengalami masalah ini? (b) Apa tindakan Kerajaan Negeri untuk mengatasinya? (c) Apa tindakan yang diambil terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran?
Dun -
Exco YB. CHOW KON YEOW
Perkara Pengairan

Jawapan
Tahap purata pencemaran sungai-sungai yang tercemar di seluruh Negeri Pulau Pinang ialah pada Kelas IV.

(a) Tujuh (7) sungai tercemar, sebelas (11) sungai sederhana tercemar dan empat (4) sungai bersih di Negeri Pulau Pinang. Butir-butir terperinci adalah seperti Lampiran A.

(b) Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan pasukan Taskforce Pencemaran Sungai dan Laut pada Februari 2014 di mana objektif pasukan ini adalah untuk mengenal pasti punca-punca pencemaran serta menyenaraikan tindakan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang perlu dilakukan.



Pasukan Taskforce ini terdiri dari Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang selaku urusetia dan ahli-ahli terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Tanah, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Veterinar, Jabatan Kerja Raya, Indah Water Konsortium (IWK) dan SPAN. Pasukan Taskforce ini akan mengumpul data dan maklumat bagi setiap sungai-sungai yang tercemar dan dibentangkan kepada Ahli Jawatankuasa Taskforce bagi menentukan tindakan selanjutnya bagi setiap pihak/jabatan yang terlibat.

Bagi isu sampah di dalam sungai dan muara yang tertutup, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPS) telah menjalankan kerja-kerja pengorekan beting pasir yang telah menutup muara sungai di mana kerja ini telah bermula pada Februari 2014. Langkah-langkah lain yang diambil oleh JPS adalah dengan membina perangkap sampah, serta pengutipan sampah di dalam sungai dijalankan setiap hari, kerja-kerja rawatan air dan kempen kesedaran.

(c) Tindakan yang diambil oleh JAS terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran sungai adalah seperti berikut:

(i) Notis Arahan dikeluarkan kepada pihak terlibat untuk mengambil tindakan pembetulan bagi pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

(ii) Tawaran Kompaun dikeluarkan bagi kesalahan gagal mematuhi peraturan-peraturan seperti Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Turut dikeluarkan bagi parameter efluen yang tidak mematuhi standard pelepasan.




(iii) Tindakan Mahkamah diambil bagi kilang yang mengeluarkan efluen di mana parameter efluen adalah tidak patuh standard pelepasan. Tindakan yang sama turut diambil bagi kilang yang gagal mematuhi Notis Arahan serta kilang dilesenkan yang gagal mematuhi syarat lesen.
Kembali