Jawapan
6. (i) Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dibuka kepada lalulintas pada 1 Mac 2014. Untuk tujuan penyuraian trafik khususnya di bahagian pulau, empat buah projek utama sedang dilaksanakan iaitu Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan (FT006) Dari Bayan Lepas Ke Teluk Kumbar, Projek Menaiktaraf Jalan Negeri (P10) Dari Batu Maung Ke Jalan Sultan Azlan Shah, Projek Membina Flyover Merentasi Persimpangan Batu Maung dan Projek Menaiktaraf Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (FT3113) Dari Batu Maung Ke Jambatan Pulau Pinang. Keempat-empat projek ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
(ii) Adalah diakui bahawa lebih sempurna sekiranya keempat-empat projek ini dirancang pelaksanaannya dan disiapkan seiring dengan penyiapan Projek Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah terutamanya bagi Projek Menaiktaraf Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (FT3113) yang menghubungkan jambatan sepanjang 24 kilometer tersebut dengan Bandar George Town. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan projek ini lewat dimulakan. Antara faktor-faktor tersebut adalah faktor peruntukan kewangan serta isu pengalihan utiliti yang menyebabkan rekabentuk asal iaitu lebuhraya at grade ditukarkan kepada struktur bertingkat (elevated structure).
(iii) Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis aset utiliti di bawah rangkaian Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan ianya merupakan utiliti yang amat penting kepada operasi kilang-kilang di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas (FIZ) seperti bekalan gas, elektrik, air dan lain-lain. Kerja-kerja pengalihan utiliti tersebut dijangka akan memakan masa yang lama untuk dilaksanakan iaitu melebihi 24 bulan. Selain itu, pelaksanaan pembinaan berdasarkan rekabentuk asal yakni lebuhraya at grade turut dijangka akan menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya. Sehubungan itu, kajian semula perlu dilaksanakan supaya rekabentuk jalan sepanjang 3.2 kilometer ini dapat diubah kepada pembinaan struktur bertingkat (elevated structure) yang seterusnya mengelak pengalihan utiliti serta menjimatkan kos pengambilan balik tanah. Berikutan faktor-faktor tersebut, Projek Menaiktaraf Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (FT3113) tidak dapat disiapkan serentak dengan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.