MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Apakah penguatkuasaan Kerajaan Negeri terhadap pencemaran sungai dan laut oleh kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab.
Dun -
Exco YB. CHOW KON YEOW
Perkara Pengairan

Jawapan
14. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Di bawah peruntukan undang-undang ini, terdapat peraturan-peraturan khusus bagi mengawal pelepasan air buangan dari industri seperti berikut:-

(i) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan)(Minyak Kelapa Sawit Mentah) 1977

(ii) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan)(Getah Asli Mentah) 1978

(iii) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009

(iv) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009

(v) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Effluen Perindustrian) 2009.



Tindakan perundangan yang boleh diambil adalah seperti berikut :

(i) Notis Arahan

(ii) Tawaran Kompaun

(iii) Tindakan Mahkamah

(iv) Penahanan Operasi Kelengkapan /Perintah Larangan

(v) Gantung Lesen /Pembatalan Lesen bagi kilang-kilang yang dilesenkan dibawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

Kerajaan Negeri telah mewujudkan Pasukan Khas Menangani Isu Pencemaran Sungai dan Laut di Negeri Pulau Pinang. Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu terhadap semua punca-punca pencemaran termasuk kilang-kilang. Tindakan tersebut mengikut bidangkuasa dan undang-undang yang diguna pakai oleh semua agensi.

Tindakan MPSP dalam menangani masalah ini adalah seperti berikut:

Tindakan Jangka Pendek

(i) Pendidikan awam bersepadu (JPS, JAS, Pejabat Daerah Tanah, Jabatan Kesihatan Negeri, MPSP).

(ii) Persampelan kualiti air sebelum dan selepas program oleh JPS.

(iii) Notis, kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Kebersihan dan Keselamatan Awam) MPSP 1980.

(iv) Notis, kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Lesen 1980 atas kesalahan tiada lesen.

(v) Notis dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Daerah di bawah Kanun Tanah Negara.


Tindakan Jangka Panjang

(i) Tindakan penempatan semula atau tindakan perobohan.

(ii) Penambahbaikan loji IWK.

MPPP juga menguatkuasakan undang-undang untuk menangani masalah ini melalui pengeluaran Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Kebersihan dan Keselamatan Awam) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1980.

Bagi memastikan kawalan pencemaran saliran, MPPP telah mengenakan syarat dalam permohonan lesen iaitu pengusaha industri tidak membuang air kumbahan atau air limpahan masuk ke dalam saliran awam. Dalam hal ini, pihak industri yang dikesan tidak mematuhi syarat berkenaan, tindakan pembatalan atau penarikan balik lesen akan dikuatkuasakan oleh MPPP.
Kembali