MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Penyusuan susu ibu amat baik untuk kesihatan dan pembesaran bayi. Untuk menjayakan program ini, sila nyatakan (a) Berapakah tempat penyusuan susu ibu sedia ada di pusat membeli-belah dan lain-lain tempat awam di Pulau Pinang? (b) Sejauh manakah kesedaran awam tentang kewujudan tempat penyusuan. (c) Perancangan Kerajaan Negeri dalam mempromosikan/penambahbaikan kemudahan ini.
Dun -
Exco YB. CHONG ENG
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan
16. Penyususan susu ibu sangat digalakkan berdasarkan kepada kajian-kajian yang telah dilaksanakan. Kesedaran tentang penyusuan ibu dikalangan ibu-ibu moden juga semakin meningkat dari semasa ke semasa. Sekarang bukan lagi alasan untuk tidak menyusukan bayi dengan wujudnya kesedaran di kalangan ibu dan pelbagai kemudahan serta akses tempat untuk menyusu di kebanyakkan lokasi awam.

a) Berdasarkan maklumat daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), terdapat 37 tempat penyusuan susu ibu yang sedia ada di pusat membeli-belah dan lain-lain tempat awam di sekitar Pulau Pinang. Manakala Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pula menunjukkan terdapat sebanyak 94 lokasi penyusuan susu ibu yang terdapat di pusat membeli belah, Jabatan Kerajaan, pejabat swasta dan lain-lain lokasi awam.
Selain itu, kemudahan bilik menyusu turut disediakan di semua fasiliti kesihatan iaitu di semua enam (6) buah hospital kerajaan dan 36 buah klinik kesihatan/klink kesihatan ibu dan anak di Negeri Pulau Pinang.

b) Keperluan untuk mewujudkan tempat penyusuan di tempat awam amatlah tinggi memandangkan kesedaran para ibu untuk menyusukan bayi mereka semakin meningkat. Aktiviti-aktiviti promosi oleh pihak Kerajaan, NGO dan swasta dikalangan ibu-ibu lepas bersalin mengenai kepentingan dan khasiat susu ibu turut meningkatkan lagi permintaan terhadap tempat menyusu di lokasi awam. Oleh yang demikian kemudahan tempat menyusu telah menjadi satu kemestian penting sebagai kemudahan kepada golongan ibu pada masa kini.

c) Melihat kepada keperluan dan kepentingan tempat penyusuan ibu di lokasi yang menjadi tumpuan awam, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah bagi mempromosikan/menambahbaik kemudahan-kemudahan tersebut melalui:-
(i) mensyaratkan pemaju untuk menyediakan tempat penyusuan susu ibu bagi pemajuan yang melibatkan tempat awam dan pusat membeli-belah semasa peringkat pemprosesan pelan oleh MPPP, dan syarat ini perlu dipatuhi sebelum pertimbangan kelulusan diberikan
(ii) mempromosikan Senarai Semakan Gender untuk Reka Bentuk Bandar dan Perumahan (Gender Checklist for Urban Design and Housing) bersama dengan pihak berkuasa tempatan untuk semua projek pembangunan di Pulau Pinang. Senarai Semakan Gender untuk Reka Bentuk Bandar dan Perumahan merangkumi peruntukan untuk bilik penyusuan selain bilik air yang lebih lengkap dan selamat dengan ciri-ciri yang memenuhi keperluan wanita.

(iii) menyarankan penyediaan tempat menyusu untuk Jabatan-jabatan yang berurusan dengan orang awam sebagaimana yang dipraktikkan oleh MPSP. Ruang penyusuan ini dilengkapi dengan kemudahan kerusi rehat dan peti sejuk beku.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut menggalakkan supaya tempat awam seperti pusat membeli-belah dan lain-lain menyediakan kemudahan tempat penyusuan. Bagi usaha ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengusahakan untuk memasukkan komponen kemudahan mesra bayi di tempat awam di dalam Garis Panduan Rekabentuk Sejagat yang dibentuk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kembali